Portal Rasmi PNC

PEJABAT NAIB CANSELOR

UMP galak budaya inovasi dalam kalangan penyelidik muda

Kuantan, 13 Februari - Pertandingan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2019 yang masuk edisi kesembilan penganjurannya menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai medan penggalakan dan penyuburan budaya inovasi  dalam  kalangan para penyelidik sama ada staf akademik mahu pun mahasiswa  UMP termasuk penglibatan rakan-rakan penyelidik tiga Universiti Awam dalam rangkaian universiti teknikal (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).  

Pertandingan menyaksikan sebanyak 407 penyertaan diterima pada tahun ini yang merupakan peningkatan 21 peratus  berbanding 335 penyertaan pada tahun 2018. Edisi CITREX kali ini juga melibatkan penyertaan sulung bagi kategori Sekolah Menengah. Inisiatif ini mendukung aspirasi universiti untuk memasyarakatkan teknologi menerusi galakan terhadap penyuburan STREAM (Science – Technology –Reading – Engineering – Arts – Mathematics) dalam kalangan pelajar sekolah. 

Menurut Naib Canselor UMP, Prof Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, sebanyak 203 penyertaan membabitkan Staf UMP, 13 penyertaan daripaa jaringan universiti teknikal ( MTUN), 173 penyertaan pelajar UMP dan 18 penyertaan pelajar Sekolah Menengah membabitkan Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Teknik dan Maktab Rendah Sains MARA dalam CITREX 2019 kali ini. 

“UMP juga mempelawa pelajar sekolah untuk menyertai lebih banyak pertandingan termasuklah National STEM Colloqium, Pahang Hackathon dan Pahang FoxHunting yang dijadualkan bakal berlangsung pada pertengahan tahun ini di UMP.

Begitu juga peluang terbuka buat  penyelidik dalam kalangan staf akademik dan mahasiswa UMP serta rakan-rakan sekolah dan institusi luar juga untuk mengambil bahagian dalam  International Festival of Innovation on Green Technology (iFINOG) yang bakal berlangsung pada 19 hingga 21 April ini," katanya yang hadir menyampaikan hadiah dan 13 anugerah khas terbaik kepada para pemenang. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr. Wan Azhar Wan Yusoff. 

Pertandingan menyaksikan mahasiswa UMP, Nurul Jannah Baharuddin bersama penyelidik lain, Puteri Nur Najihah, Faris ‘Imadi Shamsul, Muhammad Zulhilmi Shamsul Amran , Edward Ang Sheng Hui dan Dr Muchamaf Oktaviadri  berjaya membawa pulang pingat emas dan dinobatkan Penyelidikan Terbaik (Kategori Pelajar)  melalui kajian Seal Strength Tester Machine (SSTM) yang digunakan untuk menguji sama ada bungkusan produk mempunyai kebocoran secara automatik. 

Manakala pensyarah UMP, Nor Azhar Ahmad dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian meraih pingat emas dan Anugerah Penyelidikan Terbaik (Kategori Staf) dengan penghasilan Hee Doo (Sensing  Made Easy) yang berfungsi bagi mendapatkan  kesan kualiti udara dengan menggunakan alat (device) yang lebih murah dan tepat berbanding produk lain di pasaran. Lebih menariknya penyelidikan ini mampu untuk menganalisa keadaan kualiti udara dan akan memberikan cadangan untuk tambah baik kualiti udara menerusi aplikasi. Ahli kumpulan terdiri daripada Dr.Rahmah Mokhtar,Fauziah Zainuddin,Roslina Abd Hamid,Amirul Husni Abdul Ghaffar,Khairul Adlan Ismail,Lai Mom Cin,Chia Zhen Hon dan Nazira Azman.