Portal Rasmi PNC

PEJABAT NAIB CANSELOR

UMP Terima Mahasiswa Baharu Mendaftar

 

 

                   

Kuantan, 27 Mei - Seramai 394 mahasiswa baharu ditawarkan tempat bagi mengikuti 5 program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi akademik 2017/2018 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertempat di Kompleks Sukan UMP Gambang baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 99 orang pelajar baharu yang mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal manakala seramai 93 orang mengikuti  program Diploma Kejuruteraan Kimia  (Loji Proses) menerusi Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli. Seramai 77 orang pelajar yang mengikuti Diploma Sains Komputer, 71 Diploma Kejuruteraan Awam dan 54 orang mengambil jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim hadir meraikan kehadiran pelajar baharu dan keluarga kepada semua pelajar baharu yang berjaya menyambungkan pengajian ke peringkat Diploma.

Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan Intensif Pendidikan bernilai RM 1000 kepada lima orang pelajar baharu yang mempunyai latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah dan miskin.  Ujarnya, inisiatif ini merupakan salah satu program di bawah MyGift UMP  dalam meringankan beban pelajar untuk mendaftar masuk universiti.  

“Pemilihan pelajar yang memerlukan bantuan ini adalah berdasarkan saringan di peringkat Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni  yang  bertujuan bagi membolehkan para mahasiswa baharu yang mempunyai masalah kewangan  memulakan pengajian di sini,” katanya.

                   

UMP juga menyediakan kaunter rundingan yang melibatkan Jabatan Bendahari, Bahagian Pengurusan Akademik dan Unit Pembiayaan dan Kebajikan Pelajar bagi membantu memberi nasihat dan rundingcara bagi pelajar yang mempunyai masalah berkaitan yuran pengajian dan sebagainya.

Menurut salah seorang penerima sumbangan Intensif Pendidikan ini, Rashwinee Nair A/P Sukumaran, 18, yang mengambil jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal amat berterima kasih dengan sumbangan dan bantuan yang UMP berikan. Walaupun datang bersendirian tanpa ditemani ayah kerana sakit namun ketibaannya disambut oleh staf UMP yang membuatkan beliau betul-betul terharu.

Ujar Rashwinee yang berasal dari Alor Gajah, Melaka ini, sejak ibunya meningggal dunia tahun lalu dan ditambah pula ayahnya sakit akibat kemalangan jalan raya menyebabkan kehidupan keluarganya hanya banyak bergantung kepada bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Melaka.

Program turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal  Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus  dan Pendaftar UMP, Abd Hamid  Majid.