Persidangan FGIC bincang kesedaran integriti dan tadbir urus korporat
Kuantan, 3 April- Dalam meningkatkan pengetahuan tadbir urus dan integriti yang lebih berkesan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) menganjurkan persidangan bertemakan tadbir urus korporat bertemakan inovasi dan kelestarian yang mendapat kerjasama daripada Malaysia Institut of Corporate Governance (MICG) bertempat di Dewan Besar, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjong Lumpur, Kuantan selama dua hari mulai hari ini.
Persidangan buat julung kalinya ini adalah lanjutan daripada penubuhan “FIM Governance & Integrity Centre (FGIC)” yang berpusat di Fakulti Pengurusan Industri (FIM) di UMP Gambang dengan matlamat utama mendidik masyarakat agar menghayati isu etika dan integriti dalam proses pembangunan negara. FGIC melaksanakan proses latihan, penyelidikan, penerbitan dan kempen kesedaran.
Persidangan dirasmikan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi dan Presiden MIC, Dato’ Yusli Mohamed Yusoff. Dalam masa yang sama Dato’ Sri Diraja Haji Adnan melancarkan “Anti-Bribery System Checklist (ABMSC)” serta “Journal of Governance and Integrity”.
ABMSC telah direkabentuk untuk mengukur, mengesan dan menghalang risiko kejadian rasuah dan salah-laku dikalangan pengurusan atasan, pelabur, warga-kerja, pelanggan dan pemegang taruh yang lain. Dalam program ini juga akan membentangkan hasil gandingan padu daripada pensyarah UMP dan pegawai dari Yayasan Pahang tentang nilai-nilai korporat seperti sidiq, amanah, tabligh dan fathonah.
Menurut Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, persidangan ini juga sebagai satu perkongsian pengetahuan dalam mendidik warga kerja dan masyarakat agar menjadi insan yang berakhlak mulia dan memupuk budaya kerja yang tulus, cekap dan berintegriti.
“Penganjuran ini bakal menjadi pemangkin dalam usaha UMP dan YP untuk memberikan garis-panduan dan usaha untuk membina satu masyarakat yang bersatu, harmoni, bermoral dan beretika. Oleh itu kita memerlukan kesedaran, komitmen dan kerjasama semua pihak untuk memberikan lonjakan terhadap tahap integriti agar ianya menjadi gaya hidup dan budaya setempat. Ianya penting kerana isu tadbir urus korporat dan integriti ini mempunyai kesan amat ketara kepada maruah dan kedaulatan negara Malaysia ke arah menjadi negara maju,” katanya.
Tambah beliau, sesi perkongsian akademia dan industri juga telah dijadualkan hari ini dengan penampilan tiga orang panel yang mewakili kerajaan, ahli akademik dan industri agar dapat berkongsi pandangan dan perspektif mereka dalam bidang tadbir urus dan ke arah meningkatkan kecemerlangan operasi dan penyampaian perkhidmatan.
Terdapat tiga forum yang dijadualkan untuk membincangkan tajuk-tajuk seperti; Bagaimana untuk melonjakan badan-badan berkanun kerajaan; Initiatif-initiatif mengalakkan tadbir urus korporat dan integriti dan autonomi dan Tadbir urus korporat di Institusi Pengajian Tinggi.
Selain itu, ahli-ahli korporat dan para akademik juga akan membahaskan 40 kertas kerja yang berkaitan dengan tadbir urus korporat dan integri hasil kajian pembentang, yang dapat membawa kepada cadangan untuk memperbaiki isu tadbir-urus korporat dan integriti pada masa hadapan. Pembentang kerja kerja telah membabitkan penyertaan daripada dalam dan luar negara.
Persidangan dua hari ini telah menarik minat nama-nama besar dalam bidang korporat termasuklah Dato’ Yusli Mohamed Yusoff , Dr. Mohd Nizam Mohd Ali dari Institut Integriti Malaysia, Pengarah Coalition for Business Integrity Berhad, Lee Min On, Jeremy Nasrulhaq dari Malaysian Airport Berhad dan Mantan Pengarah, Malaysian Oversight Board, Nik Hasyudeen Yusoff. Manakala ahli-ahli akademik termasuklah Dekan Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan UNITAR, Prof. Dr. Susela Devi, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumuni) UMP, Prof. Dato Yuserrie Zainuddin serta Penasihat Undang-undang dan Pegawai Integriti Universiti Sains Malaysia, Dr. Khairul Anuar Che’ Azmi.