Sambutan Maulidurasul 1438 Hijrah Peringkat UMP disambut meriah
Kuantan, 14 Disember- Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun ini menuntut kita sama-sama menghayati perjuangan dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Sempena mengingati tarikh bersejarah ini, seramai lebih 1000 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) berarak sambil mengalunkan selawat memuji keperibadian terpuji Rasullullah SAW dalam Sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat tahun 1438H yang berlangsung di UMP Gambang hari ini. Perarakan diketuai oleh Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim diiringi pengurusan tertinggi dengan diikuti 35 kontigen gabungan pelbagai jabatan dan fakulti yang berarak sejauh 1.2 kilometer bermula dari Masjid UMP menuju ke Kompleks Sukan UMP.
Di antara yang hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti), Prof. Dato' Dr. Ishak ismail, Bendahari, Zainuddin Othman dan Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan, Dr. Mahyuddin Ismail. Menurut Profesor Dato’ Daing Nasir, bertemakan “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” ini sangat signifikan dalam konteks penyuburan persaudaraan insani kerana agama Islam itu sendiri merupakan agama kasih sayang dan perpaduan yang menyatukan, sekaligus mengingatkan kita akan pentingnya sifat hormat-menghormati dan percaya-mempercayai sesama insan. “Hal ini bukan sahaja amat relevan dalam konteks kemajmukan kaum dan agama di negara kita, malah turut signifikan untuk ditekuni dalam konteks kehidupan berorgarnisasi yang kita jalani sebagai penjawat awam dan warga di Universiti ini. Malahan sekiranya warga sesuatu organisasi mengambil mudah soal kesamaan matlamat yang diupayakan oleh kesatuan pemikiran dan tindakan, maka sukarlah bagi organisasi tersebut ditadbir dengan cekap dan berkesan. Hal ini sekiranya berlarutan merisikokan organisasi tersebut kepada anarki,” katanya.
Selain itu, adalah adalah penting untuk terus menekuni dan menghayati legasi agung yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sejak zaman-berzaman sebagai prinsip pemandu (guiding principles) yang utama dalam kehidupan peribadi dan kehidupan berorganisasi supaya kita[-sentiasa berada pada landasan kebenaran dan keberkatan. Beliau menyeru agar seluruh warga dapat sama-sama memuliakan keputeraan Junjungan Agung, Nabi Muhammad S.A.W. dengan menghadiahkan sebanyak mungkin kata pujian, salam dan selawat dihadiahkan kepada baginda yang telah memimpin kita menuju kehidupan yang diredhai Allah Ta’ala. Ujar beliau, sirah perjuangan dan dakwah tersebut boleh digali iktibarnya dari pelbagai aspek dan dimensi yang sentiasa relevan dari masa lalu hinggalah ke hari ini sebagai suluh pedoman dan panduan yang berguna untuk kita menguruskan kehidupan dan pekerjaan sehari-hari.
Program yang merupakan acara tradisi UMP itu turut diserikan dengan ceramah maulidur rasul yang disampaikan Ustaz Uwais Al-Qarni Abd Wahab, Ustaz Nik Ibrahim Nik Abdullah dan Ustaz Tuan Sharifuddin Mohammad Saad. Majlis turut dimeriahkan dengan acara penyampaian hadiah sempena pertandingan perbarisan terbaik. Tempat pertama dimenangi oleh kontigen yang diwakili Jabatan Bendahari diikuti Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan pusat kesihatan Universiti, Jabatan Pendaftar, UMP Advanced Education (UMP Advanced) dan UMP Holding. Manakala bagi kontingen pelajar dimenangi Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) diikuti Pembimbing Rakan Siswa (PERSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Persatuan Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (ProTech). |