UMP terima sumbangan zakat BIMB sebanyak 30 ribu untuk bantu mahasiswa
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM30,000 kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk disalurkan kepada mahasiswa kurang berkemampuan.
Zakat berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Kumpulan Syariah, BIMB, Mohd Nazri Chik kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam satu majlis di UMP Pekan pada 12 Februari 2016 yang lalu.
Profesor Dato' Dr. Daing Nasir melahirkan ucapan penghargaan kepada BIMB di atas sumbangan ini bagi membantu keperluan mahasiswa UMP.
Katanya, UMP amat menghargai keprihatinan BIMB dalam melunaskan kewajipan sosial korporatnya dengan menyalurkan sumbangan zakat untuk dimanfaatkan oleh para pelajar.
“Setakat ini ramai pelajar telah menerima manfaat hasil daripada pemberian sumbangan zakat perniagaan ini dan pihak pentadbiran UMP berterima kasih kerana keprihatinan tersebut," katanya.
Menurut beliau, tidak dinafikan segelintir mahasiswa datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan menghadapi kesukaran dalam menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.
Tambahnya lagi, sumbangan itu diharap dapat digunakan sebaik-baiknya oleh penerima sepanjang menjalani kehidupan sebagai mahasiswa universiti.
Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, peruntukan itu ialah salah satu usaha BIMB mencapai keseimbangan terutama dalam mewujudkan nilai murni kepada semua pemegang kepentingannya.
Ujarnya, pemberian zakat tersebut bertujuan untuk mengurangkan bebanan mahasiswa kurang berkemampuan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Pemangku Pendaftar, Abd Rahman Haji Safie, Bendahari, Zainudin Othman, Pengurus Perniagaan BIMB Cawangan Pahang, Dato' Abd Manan Talib, Pengurus Bank Islam Cawangan Kuantan, Amirudin Mohamed Ariffin, Pegawai Wilayah Timur, Muhamad Nazri Ramli dan Pengurus Perhubungan, BPF, Wilayah Timur, Mohd Luqman Hazim Mohd Rosmi.