UMP terima bantuan zakat pendidikan MUIP berjumlah 200 ribu
Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan Zakat Pendidikan daripada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak RM 200,000 dalam usaha membantu pelajar susah pada 7 Januari 2016 yang lalu.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir menerima replika cek yang disempurnakan Kebawah Duli yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Adnan Haji Yaakob Menteri Besar Pahang. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato' Sri Muhammad Safian Ismail, dan Timbalan Yang di-Pertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Menurut Dato’ Dr. Daing Nasir, UMP amat menghargai sumbangan dari pihak MUIP ini yang diharapkan menerusi bantuan ini universiti dapat menyalurkannya kepada pelajar yang amat memerlukan.
Katanya, walaupun kebanyakan pelajar universiti menerima pembiayaan daripada pelbagai agensi termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terdapat juga pelajar daripada keluarga miskin yang terpaksa membantu keluarga menggunakan wang tersebut.
"Permohonan dibuka kepada semua pelajar yang ditimpa kesusahan yang dibantu melalui bantuan sara diri ataupun bantuan yuran pengajian dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sentiasa memantau kebajikan mereka dari semasa ke semasa agar mereka tidak tercicir dalam pengajian.
Begitu juga dengan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) yang turut berperanan menjalankan Program Jejak Asnaf dalam usaha membantu pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang susah,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan itu dapat menampung keperluan pengajian pelajar selain meringankan beban keluarga mereka. Selain UMP turut sama menerima bantuan Zakat Pendidikan adalah Jabatan Agama Islam, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Majlis penyerahan zakat diadakan bersempena Majlis Perasmian Pasaraya Darulmakmur Cawangan Jengka Bandar Tun Abdul Razak anjuran jabatan itu.