UMP perkenal EAP bantu staf bangunkan budaya cemerlang
Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan Program Bantuan dan Sokongan Staf yang dikenali sebagai Employees Assistance Program (EAP) dalam usaha membangunkan satu budaya cemerlang (a culture of excellence) dalam segala aspek. Ini termasuklah mengamalkan gaya hidup sihat, kesedaran dan pematuhan yang tinggi kepada peraturan dan amalan kehidupan lestari.
Program EAP merupakan satu inisiatif UMP untuk warga kerjanya dalam meningkatkan kepuasan kerja warga dengan memfokus kepada penawaran dan perkhidmatan untuk kesejahteraan staf. Program ini adalah hasil cetusan idea Naib Canselor UMP yang disampaikan dalam Majlis Amanat Naib Canselor pada tahun lalu.
Menurut Pemangku Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie, tujuan utama penubuhan EAP adalah untuk memberikan khidmat nasihat kepada staf UMP yang menghadapi kesulitan dalam urusan kerja, keseimbangan kerjaya dan keluarga, kesihatan fizikal dan emosi (wellness) serta isu perubahan kehidupan peribadi yang secara langsung memberi impak kepada kualiti, tumpuan dan prestasi kerja harian staf..
"Dengan penubuhan satu entiti baharu iaitu Unit Perundingan & Bantuan Staf (UPBS) ini, mereka akan memberi perkhidmatan nasihat kepada staf UMP yang menghadapi kesulitan dalam urusan kerja, keluarga, kerjaya dan kesihatan yang secara langsung memberi impak kepada kualiti," katanya.
Tambah beliau, program ini merupakan salah satu usaha aktif pihak pengurusan UMP untuk membantu staf berkenaan secara profesional dengan percuma dan jaminan kerahsiaan. Selain itu, staf berkenaan akan diberikan bantuan sama ada bentuk kaunseling pendek, konsultansi atau rujukan.
Program ini ditanda aras daripada amalan terbaik seumpamanya yang diwajibkan kepada staf semua universiti ternama dunia termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi memastikan kecemerlangan prestasi kerja dapat terus dikekalkan malah dipertingkatkan.
Bagi ketua UPBS, Haji Samsudin Abdullah, pada masa ini satu program roadshow giat dijalankan secara berkala melibatkan 32 pusat tanggungjawab bagi memberi penerangan dengan jelas dalam memberi maklumat secara terus kepada staf berkenaan objektif, perkhidmatan yang disediakan dan bagi mendapatkan maklumbalas staf kepada program yang dijalankan.
Beberapa inisiatif awal telah dilaksanakan UPBS bagi mewujudkan keperluan dalam melaksanakan EAP di UMP antaranya adalah mewujudkan Polisi EAP, Portal Rasmi, Sistem Permohonan dan statistik EAP, pembangunan bangunan dan ruang perkhidmat EAP dan juga menjalankan beberapa sesi pre-assessment dan program latihan yang berkaitan.
Bagi memastikan program ini memunyai reputasi dan kebolehpercayaan setara dengan fungsi yang dijalankan. Ia perlu dirujuk kepada badan-badan professional dan pengamal EAP di kalangan agensi atau organisasi yang telah lama melaksanakan prosedur ini melalui program penanda aras dan persidangan profesional bagi mendapatkan input terkini dan komprehensif.
Dalam arus dunia yang terus mengalami perubahan yang pesat dan dramatik, isu sumber manusia terus menjadi agenda yang perlu diberi perhatian sama ada oleh pengkaji akademik ataupun pengamal sumber manusia.
Melihat kepada fakta perubahan ini sebagai sesuatu yang perlu diberi fokus khususnya yang mempunyai kesan kepada persekitaran di tempat kerja termasuklah peningkatan pengaruh rangkaian sosial, kos penjagaan kesihatan dan penurunan motivasi dalam kalangan pekerja serta isu-isu peribadi yang memberi kesan langsung kepada produktiviti kerja.