UMP cakna bantu kebajikan pelajar
Kuantan, 17 Januari- Isu masalah pelajar yang terpaksa `ikat perut ‘ di universiti sepatutnya tidak berlaku memandangkan setiap universiti awam mempunyai Tabung Kebajikan Pelajar yang diwar-warkan mengenai tujuan dan peranan tabung ini dalam membantu masalah kebajikan pelajar dari aspek kewangan, bantuan seperti perubatan, khairat kematian dan lain-lain sejak awal pelajar mendaftarkan diri.
Malahan pelajar yang bermasalah dinasihatkan supaya lebih prihatin dan mengambil tahu tentang saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan. Melalui bantuan yang disediakan sepatutnya tidak ada ruang bagi pelajar menghadapi masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa berlapar di universiti.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, universiti juga melipatgandakan pelbagai usaha bagi menjaga kebajikan pelajar terutamanya peranan yang dimainkan pihak Jabatan Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) melalui Unit Pembiayaan dan Kebajikan Pelajar serta Exco Perkhidmatan dan Kebajikan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Exco Kebajikan di peringkat fakulti dalam mengenalpasti pelajar susah atau yang memerlukan bantuan sepanjang pengajian.
“Sesi perjumpaan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mendapati tiada satu pun laporan kes pelajar yang tidak makan di universiti ini namun kebanyakan pelajar sanggup mengurangkan belanja makan sebagai langkah berjimat cermat dan berusaha merancang perbelanjaan mereka,” katanya dalam mempengerusikan sidang media bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Zenith Hotel Kuantan pada 17 Januari 2016 yang lalu.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Yang di-Pertua MPP UMP, Madyasir Ahmad Basir.
Ujar beliau, pelajar yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan bantuan daripada kaunselor, pengetua kolej kediaman atau terus ke kaunter pejabat JHEPA. Permohonan zakat juga dibuka setiap masa untuk membolehkan pelajar membuat permohonan pada bila-bila masa.
Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, UMP juga menawarkan skim tunai segera sejak beberapa tahun lalu untuk membantu pelajar yang mengalami masalah kecemasan termasuklah kematian mahupun kes kehilangan duit atau pelajar yang tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampung.
Setakat tahun lalu, katanya UMP telah membelanjakan sebanyak RM 323,438 bagi bantuan kebajikan. Jumlah ini termasuk RM 29,887 untuk elaun pelajar yang dilantik di bawah Skim Pelajar Bekerja (SPB) manakala jumlah ini juga melibatkan sumber dari tabung kebajikan pelajar, tabung zakat, tabung kolej kediaman dan tabung masjid.
Menurutnya, seramai 2,412 orang pelajar dan seramai 43 pelajar dalam SPB menerima manfaat termasuklah penerima bantuan zakat, bantuan yuran pengajian, khairat kematian, bantuan bencana, bantuan sara diri, sumbangan untuk perubatan serta pelbagai program yang dijalankan.
Selain itu, Pusat Keusahawanan UMP juga sentiasa menggalakkan pelajar menyertai program yang dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk berniaga termasuklah menawarkan ruang niaga, perniagaan tanpa premis, Car Boot Sales dan karnival keusahawanan dalam memberikan pendapatan mahasiswa sendiri.
Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) juga berperanan menjalankan Program Jejak Asnaf dalam usaha membantu pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang susah. PIMPIN juga menyediakan makan tengah hari pada hari-hari tertentu di masjid UMP.
Malahan Program Iftar Jamaie yang diadakan sejak dua tahun lalu menyediakan juadah makan secara percuma pada setiap hari Khamis dan hidangan bubur selepas Solat Jumaat untuk diagihkan kepada pelajar UMP yang layak menerima manfaat ini. Bukan sahaja menyediakan bantuan penyediaan makanan sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.
Menjelang peperiksaan, UMP melaksanakan Program Kongsi Rezeki: Cheap Lunch Take Away yang dijalankan bagi membantu pelajar dengan menyediakan makanan tengah hari yang bernilai lima ringgit dan dijual dengan harga seringgit sahaja sebagai usaha membantu pelajar meringankan beban pelajar.
Dalam usaha memasyarakatkan kampus, Persatuan Wanita UMP (Matahari) juga memperkenalkan Program Baucer Sinaran berbentuk tajaan makan tengahari untuk membantu pelajar yang kurang berkeupayaan.
UMP serius menangani isu kebajikan pelajar dan sentiasa meningkatkan usaha dalam membantu golongan yang memerlukan termasuklah memperkenalkan program MyGift UMP yang mengalakkan seluruh warga dan orang ramai turut sama menyumbang bagi membantu insan lain.
Sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP melalui potongan gaji, derma pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat dalam menyokong pembudayaan menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan ini pastinya dapat melonjakkan kegemilangan universiti dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP (2016-2020) bertemakan menjana kegemilangan.