Seminar Keibubapaan tingkat motivasi pelajar
Seramai 300 ibu bapa dari beberapa buah sekolah sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Seminar Keibubapaan anjuran UMP Advanced Education (UAE) dengan kerjasama RTC Pahang pada 16 Januari 2016 yang lalu.
Seminar menampilkan penceramah terkenal iaitu YM Dr. Tengku Ismadi Tengku Mohamad menerusi tajuk `Transformasi Pendidikan Era Globalisasi.’
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang merasmikan program di Dewan Auditorium Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK).
Menurut Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, program ini merupakan salah satu program yang dijalankan dalam Program Transformasi Luar Bandar (NBOS 4) di bawah inisiatif kerjasama universiti.
“Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan pelajaran dan pendidikan masa kini.
Selain itu juga menerusi pakar motivasi ini dapat memberi panduan kepada ibu bapa mengenai persediaan anak–anak mereka menjelang hari peperiksaan,” katanya.
Peserta terdiri daripada ibu bapa daripada lima buah sekolah antaranya seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Indra Shahbandar (SMKIS), Sekolah Rendah Kebangsaan Indra Shahbandar (SRKIS), Sekolah Kebangsaan Nenasi (SKN), Sekolah Kebangsaan Serandu (SKS), Sekolah Kebangsaan Runcang (SKR) dan Sekolah Kebangsaan Mercong Jaya (SKMJ) serta melibatkan staf UMP.
Dalam seminar ini YM Dr. Tengku Ismadi banyak memberikan tip-tip, pengalaman dan ilmu agar dapat menjadikan anak-anak yang hebat .
Katanya, untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang mestilah mengetahui cara yang berkesan bagi mendorong, mendidik dan membimbing mereka.
Tambahnya, antara yang perlu dititikberatkan dalam pendidikan anak adalah menerusi pemakanan sunah seperti kurma, kismis dan madu .
“Sebagai ibu bapa kita perlu mengenali rakan–rakan anak-anak kita dan setiap pergerakan mereka. Anak-anak ini kita perlu menganggap mereka sebagai rakan dengan ibubapa agar mereka mudah untuk berkongsi,” katanya.
Bagi peserta Rubiah Ali, 51, yang merupakan ibu kepada lima orang anak berkata, program ini banyak memberi tip-tip yang baik dalam mendidik anak–anaknya. Beliau mengharapkan dapat mempraktikkan ilmu yang dikongsikan hari ini demi kejayaan anak-anaknya.