Projek Kongsi Rezeki UMP Bantu Pelajar
Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan Program Kongsi Rezeki: Cheap Lunch Take Away sebagai usaha membantu pelajar mendapatkan bantuan makanan yang diagihkan dengan kadar RM1 sahaja.
Program Kongsi Rezeki ini yang dijalankan dengan kerjasama kafeteria universiti menyediakan sebanyak 400 pek makanan untuk diagihkan kepada para pelajar UMP di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan khususnya yang merasakan diri mereka mempunyai masalah kewangan yang kritikal dan layak untuk menerima manfaat ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pihak JHEPA mensasarkan pelajar ini dapat membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan.
“Program sebegini dapat memberi kesedaran kepada warga UMP sekaligus rasa bersyukur yang sangat tinggi diaats rezeki yang telah diberikan kepada diri masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, program ini juga sebagai menyokong usaha universiti yang memperkenalkan program MyGift UMP yang mengalakkan seluruh warga dan orang ramai menyumbang bagi membantu insan lain yang memerlukan bantuan.
Menurut Pegawai Psikologi, Nur Azila Osman, kebiasaanya pelajar yang kurang berkemampuan akan mengikat perut untuk menikmati makanan kerana faktor kekurangan sumber kewangan terutamanya di hujung semester dan kita tidak mahu psikologi pelajar terganggu.
Sementara itu, Siti Norhidayah, 22 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) yang kini menuntut di tahun ketiga berpendapat program sebegini wajar diteruskan saban tahun bagi membantu pelajar yang dari golongan susah. Selain itu, program sebegini sungguh bermakna buat pelajar walaupun sekadar sumbangan makanan namun besar ertinya bagi pelajar.
Begitu juga dengan Ashwindran Naidu A/L Sanderasagran, 24 dari FKM kini di tahun kedua pengajian menyatakan sokongan terhadap program ini yang sangat membantu para pelajar tatkala pelajar berdepan dengan musim peperiksaan.
Program itu dijalankan selama seminggu iaitu bermula dari 4 hingga 8 Januari 2016 yang lalu sempena minggu peperiksaan.