Pendidikan Fleksibal Amanat Tahunan Menteri Pendidikan Tinggi
Bertemakan Pendidikan Fleksibal mampu merubah landskap pendidikan tinggi negara apabila akses pendidikan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat dan untuk semua lapisan masyarakat.
Dalam menyampaikan ucapan, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, tahun 2015 merupakan tahun lahirnya istilah `soaring upwards’ yang membawa maksud peningkatan berterusan dengan kejayaan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pelbagai bidang termasuklah pencapaian cemerlang politeknik dan kolej komuniti.
“Tahun lalu juga menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 selaku pengerusi ASEAN, Kuala Lumpur Declaration on Higher Education dibentangkan dan diterima semua ahli negara ahli ASEAN.
“Malaysia bakal menerajui dua bidang utama iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Mobility melalui Quality Assurance,” katanya yang berucap di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya pada 18 Januari 2016 yang lalu.
Menurut beliau penerimaan deklarasi bersejarah ini sangat bermakna kepada ASEAN KOMUNITI di mana pendidikan tinggi sebagai penggeraknya.
Menyentuh mengenai cabaran ekonomi dan kewangan tahun 2016 ini beliau mengingatkan warga KPT dan IPT perlulah sentiasa komited, bersatu dan terus berusaha gigih untuk membela nasib rakyat dalam memastikan program pendidikan tinggi terus dilaksanakan.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru warga IPT untuk terus mengambil langkah proaktif dan kreatif dalam menjana pendapatan selaras dengan Lonjakan 5 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) termasuk mengukuhkan jalinan alumni dalam dan luar negara, membuka potensi aset, mewujudkan ekosistem keusahawanan, mewujudkan sistem kewangan wakaf dan endowmen serta meningkatkan pengkomersilan idea.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir yang hadir dalam majlis amanat berkata, pihak KPT turut berhasrat mengarusperdanakan pendidikan TVET yang merupakan salah satu fokus utama tahun 2016 ini selaras dengan Lonjakan 4 PPPM(PT) dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti.
Mengulas mengenai perkara ini katanya, di bawah RMK11, 45 peratus (225,000) pelajar lepasan SPM disasarkan memasuki bidang TVET menjelang 2020 dan jumlah ini akan meningkat kepada 301,000 menjelang 2025 manakala 1.5 juta pekerjaan berasaskan TVET juga diwujudkan menjelang 2020 dan menggambarkan pentingnya TVET dalam landskap pembangunan negara.
Ujar Dato’ Dr. Daing Nasir, UMP bersama-sama Jaringan Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kualiti TVET di peringkat pendidikan tinggi, terutamanya dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja berkualiti malah berinovasi.
“Dalam melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, kerajaan juga memulakan projek rintis Integrated Grade Point Average (iCGPA) yang berfungsi sebagai mekanisma pentaksiran dan pelaporan dalam bentuk Spider Web dalam mengambil kira pembangunan pelajar dari segi adab, keilmuan dan keupayaan merentasi lapan domain tertentu,” katanya.
Justeru katanya, setiap universiti perlu melakukan transformasi reka bentuk kurikulum agar lebih komprehensif, relevan dan bersedia memenuhi keperluan iCGPA ini, termasuklah elemen kesukarelawanan yang memberi peluang pelajar menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Turut ditekankan dalam amanat, peranan pensyarah dan pegawai sokongan yang merupakan nadi dan roh kepada pendidukan tinggi. Seperti yang digariskan dalam Lonjakan 2 PPPM (PT) iaitu Kecemerlangan Bakat, pihak KPT telah menurunkan kuasa autonomi kepada universiti awam dalam melaksanakan empat laluan kerjaya iaitu pengajaran, penyelidikan, kepimpinan institusi dan pengamal professional yang memberi laluan terhadap peluang untuk merancang masa depan kerjaya masing-masing.
Dalam masa yang sama IPT juga diminta memberi tumpuan terhadap kerjasama inovasi yang membawa kepada pengkomersilan idea dengan memberi perkhidmatan sebagai perunding pakar dan solutions provider kepada industri dengan menyampaikan latihan, menerbitkan buku dan menjalankan kontrak penyelidikan.
Pihak KPT juga sedang menyediakan buku panduan bagi membantu IPT mentransformasi penyampaian pendidikan tinggi yang memfokuskan governan dan kecekapan Lembaga Universiti; produktiviti dan kewangan; trek kerjaya dan pembangunan kepimpinan; pengurusan prestasi dan pelaporan kewangan serta penjanaan dana dan endowmen yang membolehkan UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti membangunkan dan memantapkan pelan transformasi masing-masing.