Pelajar antarabangsa bergotong-royong bersihkan madrasah
Dalam usaha memasyarakatkan kampus, pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil inisiatif dengan menjalankan program mendekati membersihkan Madrasah Daniyah Durrulilmi di Kampung Padang Jaya,Jaya Gading anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Islam (PIMPIN) dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) pada 17 Januari 2016 yang lalu.
Madrasah Daniyah Durrulilmi yang bermaksud Agama Permata Ilmu telah beroperasi hampir lima tahun menempatkan pelajar yang berumur lingkungan lima hingga 12 tahun.
Bagi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pembinaan madrasah ini hasil bantuan orang ramai dengan menerima sumbangan sejak tiga tahun lalu namun masih serba kekurangan.
“UMP tampil dengan menyampaikan beberapa sumbangan dengan tujuan melengkapi keperluan pelajar di sini untuk memastikan ianya dapat dimanfaatkan untuk kegunaan pelajar,” katanya.
Usaha ini juga sebagai usaha dalam merealisasikan budaya dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Sesi pembersihan madrasah ini melibatkan tenaga sukarelawan yang terdiri daripada 12 orang pelajar antarabangsa yang bertungkus-lumus membersihkan bangunan baharu madrasah.
Sementara itu, Pengetua Madrasah, Ustaz Zulkiflee Hamid, 46 tahun yang mempunyai latar belakang pendidikan dari Pattani dan Yaman amatlah berbesar hati menerima kunjungan warga UMP yang dapat dirasakan begitu rapat dengan masyarakat.
“Pelajar dididik dengan ilmu Feqah, Usuluddin, Tasawuf, Ilmu Alaf serta tidak ketinggalan mengaji serta kelas Fardhu Ain,” katanya.
Bagi sukarelawan UMP, Muhammad Abdulqawi, 23 tahun dari Yaman kini menuntut dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia melahirkan rasa bersemangat bagi mengikuti program membersihkan sebuah madrasah. Bagi Abdulqawi penglibatannya sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak di madrasah ini kelak.
Turut hadir menyampaikan bantuan Pegawai Hal Ehwal Islam dari PIMPIN, Ustaz Md Abdu Ishak dan Ustaz Muhammad Sallehuddin Md Derus.
Pelajar bergotong-royong membersihkan lantai, tingkap dan mengecat madrasah bagi membolehkan pelajar memulakan pembelajaran di sini.