Maulidur Rasul Peringkat UMP disambut meriah
Lebih 500 orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) berarak dan berselawat dari perkarangan Kompleks Pentadbiran Utama (KPU) menuju ke Masjid UMP di Pusat Aktiviti Pelajar, UMP Pekan sejauh dua kilometer sambil memperingati pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan syiar Islam pada 7 Januari 2016 yang lalu.
Perarakan diketuai oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama pihak pengurusan serta melibatkan 20 kontinjen daripada jabatan dan fakulti yang mengambil bahagian.
Hadir sama ahli Lembaga Pengarah Universiti, Syed Muhammad Hamzah Al-Junid Syed Abd. Rahman yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn. Bhd, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pemangku Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie.
Program anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor (PNC) dan Badan Kebajikan Staf Universiti (BKSU) itu bertujuan memperingati Hari Keputeraan Rasullallah SAW serta menghayatipengorbanan terhadap ummah serta mencontohi amalan baginda.
Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, walaupun kewajipan untuk mengingati junjungan agung kita, Nabi Muhammad SAW. tidaklah semata-mata terhad setiap kali tibanya ulang tahun tarikh keputeraan baginda iaitu pada setiap 12 Rabiulawal dalam kalendar Hijri.
“Namun, perhimpunan ini merupakan manifestasi iltizam dan tekad kita untuk mencontohi baginda dalam setiap lapangan kehidupan, selain ingatan yang berpanjangan terhadap baginda yang dilafazkan melalui selawat, salam dan doa pada etiap masa.
“Kita sesungguhnya amat bertuah kerana dilahirkan dalam agama fitrah ini dan amat beruntung kerana dipilih pula sebagai umat Nabi Muhammad SAW, penghulu sekalian Nabi dan Rasul.
“Justeru, sewajarnyalah kita mengambil pengajaran daripada riwayat hidup dan Sunnah yang dibawa oleh baginda, tidak hanya dalam kehidupan peribadi, tetapi juga dalam melunaskan kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam di universiti ini,” ujar beliau.
Selain itu, beliau mengingatkan tentang kesatuan yang dilambangkan sama ada dalam kalangan staf mahupun mahasiswa sewajarnya berganding bahu dalam merealisasikan aspirasi dan agenda semasa universiti ini yang bukan sahaja sebagai azam tahun baharu 2016, tetapi juga sebagai pemangkin kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Tambah beliau, tema ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ yang mendasari sambutan Maulidurrasul kali ini perlu diterjemahkan secara menyeluruh dalam konteks kewajipan kita sebagai seorang penjawat awam di UMP untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan dan pemegang taruh.
Sementara itu Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir turut menyampaikan pemenang perarakan yang dimenangi Jabatan Bendahari di tempat pertama. Diikuti Jabatan Pendaftar di tempat kedua dan Jabatan Hal- Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA).
Turut dipilih sebagai pemenang adalah gabungan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dan German Academic & Career Centre (GACC), Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH).
Majlis turut diserikan dengan ceramah yang disampaikan Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid yang berkongsi cerita tentang kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.