Program Ceo@Fakulti Inisiatif Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan
- Disediakan oleh:
- En. Mohd Raizalhilmy Mohd Rais
Pengurus Kanan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat UMP (JJIM)
Merangkap Pegawai Fokal 1 CEO @ Faculty Programme
Kenyataan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi pada 7 Disember 2016 yang lalu menyatakan kadar purata kebolehpasaran graduan Malaysia meningkat sebanyak 1.1 peratus menjadi 77.2 peratus pada tahun 2016 dibandingkan 76.1 peratus pada tahun lalu. Kadar purata ini adalah berdasarkan hasil laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016 yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehingga 22 November 2016. Graduan TVET telah menunjukkan peningkatan kebolehpasaran graduan yang memberansangkan bagi tahun ini yang mana universiti-universiti teknikal Malaysia (MTUN) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1 peratus disusuli dengan Politeknik (88.6 peratus) dan Kolej Komuniti (97.2 peratus).
Salah satu di antara usaha berterusan pihak KPT dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan adalah melalui program CEO@Fakulti yang bermatlamat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan CEO/Tokoh Industri terkemuka dan pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara melalui sesi syarahan, siri kuliah jemputan, perbincangan panel pakar dan pengajaran bersama (Co-Teaching). Di samping itu inisiatif lain yang turut dilaksanakan adalah program Intervensi dan Program Pusat Kecemerlangan Industri (I-COE), Program Keusahawanan, Purata Nilai Gred Kumulutif Bersepadu @ iCGPA dan Program 2u2i.
Dalam membina momentum dan meletakkan asas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) [PPPM(PT)],program CEO@Fakulti adalah merupakan aspirasi di bawah Lonjakan 2 : Kecemerlangan Bakat iaitu kualiti IPT dan sistem pendidikan tinggi Malaysia akan cemerlang seandainya komuniti akademiknya juga cemerlang. Dalam konteks ini, komuniti akademik terdiri daripada pendidik, penyelidik, pemimpin institusi dan pengamal profesional hinggalah kakitangan sokongan. Lonjakan ini memfokuskan kepada peningkatan kualiti dan kepelbagaian bakat dalam sistem pendidikan untuk memastikan mereka releven, dirujuk dan dihormati atau lebih dikenali sebagai 3R (Respect, Reffered, Respect).
Bersandarkan kepada keperluan untuk menyokong sistem penyampaian Model Ekonomi Baru (NEM), kerajaan mengiktiraf manfaat yang unik dan istimewa menerusi kerjasama antara universiti dan industri. Sebagai sebuah negara yang bersandarkan ekonomi berasaskan inovasi maka ia adalah penting untuk melihat konsep kerjasama dan komitmen menerusi projek usahasama yang boleh menambah nilai perlu dipertingkatkan. Ianya merupakan tiga bentuk proses kerjasama di antara kerajaan, industri dan akademia serta memenuhi penerokaan kerjasama yang memberi manfaat kukuh kepada semua pihak.
Jalinan kerjasama strategik antara universiti dan industri merupakan satu wadah untuk menangani masalah teknologi dan sosial yang kompleks. Adakalanya sesuatu masalah tersebut adalah di luar bidang sesuatu pihak berkepentingan tertentu yang sepatutnya meransang bagi menggalakkan kerjasama dalam usaha untuk mencapai kejayaan. Dalam senario global yang menghadapi masalah teknologi yang kompleks, maka bentuk kerjasama strategik yang digariskan merupakan suatu keperluan yang lebih mendesak.
Tidak dapat dinafikan bahawa universiti merupakan sebuah institusi keilmuan yang menyediakan pakar dan intelektual yang luas pengetahuan dan kemahiran maka kerjasama tersebut di antara universiti dan industri ini perlu diperkukuhkan. Oleh yang demikian, peningkatkan kerjasama universiti – industri ini harus disinergikan dengan ahli akademik perlu memahami keperluan industri dan ianya boleh dimanfaatkan kepakaran komuniti akademik tersebut oleh pihak industri. Peranan universiti adalah untuk memindahkan teknologi dan pengetahuan bagi meningkatkan nilai dalam kemajuan dan pembangunan ekonomi di samping peranan dalam menghasilkan modal insan.
Kelangsungan hubungan universiti-industri dalam bentuk perkongsian dilihat semakin penting dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Industri terlibat secara langsung dalam memupuk dan menyokong pembentukan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Kerjasama strategik ini mampu menyokong kepada pembangunan produk dan perkhidmatan dengan nilai tambah yang baharu dalam menyumbang kepada penciptaan kekayaan.
Menerusi pendekatan program CEO@Fakulti ini yang sehingga kini melibatkan hampir 64 orang CEO melibatkan tokoh-tokoh korporat yang berwibawa daripada syarikat berkaitan kerajaan, industri-industri terkemuka dan Pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam, jangkaan keberhasilan program iaitu mahasiswa berpeluang untuk mengalami dunia sebenar termasuk aspek pentadbiran dan perkongsian amalan terbaik dan membolehkan pelajar berfikir lebih baik dan holistik. Selain itu Integrasi dan sinergi antara tokoh korporat dan pakar universiti ini sekali gus mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Antara tokoh korporat tersebut adalah CEO Air Asia, CEO Khazanah Nasional, Samsung, Scomi Engineering dan juga pegawai tinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara dan beberapa Ketua Setiausaha Kementerian.
Universiti Malaysia Pahang (UMP) tidak terkecuali untuk memperoleh manfaat daripada inisiatif oleh pihak KPT demi merealisasikan integrasi dan sinergi antara pakar-pakar industri dengan penyelidik universiti dan pelajar. Salah seorang CEO yang ditindikkan dengan UMP adalah Dr. Hari Narayanan yang merupakan Pengarah Urusan, Motorola Solutions (M) Sdn. Bhd. Sasaran yang ditetapkan kepada setiap CEO adalah mereka perlu terlibat untuk tempoh 20 hingga 30 jam setahun dengan aktiviti universiti samada di ‘host university’ atau ‘affiliate university’. Ternyata selepas setahun pembabitan Dr. Hari Narayanan sebagai CEO@Fakulti di UMP, beliau telah mencapai 70 jam pertemuan iaitu melebihi daripada sasaran yang ditetapkan sehingga beliau diiktiraf sebagai ‘The Most Dedicated CEO’ oleh pihak KPT.
Menyorot kembali perkongsian pengalaman dan kepakaran daripada pemimpin industri seperti Pengarah Urusan Motorola Solutions, ianya telah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pelbagai input secara terus daripada pihak industri yang mana ianya berguna dalam dunia kerjaya selain mampu meningkatkan kebolehpasaran dalam kalangan graduan kelak. Salah satu program yang dilaksanakan iaitu program Lecture by the CEO yang melibatkan hampir 300 pelajar kejuruteraan yang memperoleh pengetahuan berkenaan mereka bentuk dan menginovasikan produk-produk keluaran Motorola agar selari dengan keperluan dan kehendak manusia. Pelajar turut didedahkan bahawa setiap produk baharu yang diperkenalkan akan melalui pelbagai proses termasuk mendapatkan pandangan pengguna, pra rekabentuk, kajian lapangan dan sebagainya. Sesi interaktif ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar dengan mengambil peluang bertanya untuk mendapatkan penjelasan dan kefahaman lebih lanjut setiap topik yang dibentangkan.
Pelbagai program menarik disusun bagi menarik minat para pelajar seperti pengenalan berkaitan radio amatur, pelaksanaan ‘agile’ dalam pembangunan perisian, program motivasi untuk pelajar kejuruteraan, perbincangan kerjaya dan sebagainya. Malahan manfaat daripada kerjasama universiti – industri ini turut diperkukuh melalui sumbangan lapan set radio mudah alih dan radio amatur yang lengkap yang bernilai lebih RM 20,000 bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran pelajar dan penyelidik UMP selain sumbangan tanggungjawab sosial yang turut disumbangkan melalui tabung endowmen pelajar di bawah inisiatif myGift yang dilancarkan tahun ini.
UMP turut menerima pelantikan dua CEO baharu dari kelompok syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Ir. Azman Mohd serta Pegawai Tinggi Kementerian iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor semasa Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikan Pelantikan CEO Faculty programme yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Mac 2016 yang lalu. Sehingga kini, kedua-dua tokoh tersebut turut menyumbangkan masing-masing sebanyak 11 jam dalam pertemuan melalui beberapa aktiviti yang dilaksanakan seperti syarahan umum, bengkel dan perkongsian pengajaran.