Belia dan komunikasi digital / Belia sebagai ahli masyarakat komunikasi digital
Disediakan oleh:
Abdullah Adnan Mohamed
Pensyarah Kanan &
Haslinda Hashim. KTP-Trans B
Pensyarah
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Marc Prensky melabelkan golongan belia yang hidup di zaman ini sebagai “digital native”. Istilah tersebut merujuk kepada golongan yang lahir dan membesar ketika era aplikasi komunikasi digital digunakan secara meluas di dalam 24 jam kehidupan manusia. Sebagai anggota masyarakat ‘digital native’, terdapat banyak kelebihan komunikasi digital yang boleh dimanfaatkan oleh para belia pada hari ini.
Sebagai anggota masyarakat “digital native”, terdapat banyak kelebihan dan peluang yang tersedia untuk diekploitasi. Bagi belia yang berbakat, bakat mereka boleh di ketengahkan di laman-laman sosial yang berkaitan. Sebagai contoh, belia yang mempunyai bakat dalam bidang seni boleh merakam hasil seni mereka, memuatkan naik ke laman internet dan pelayar laman sesawang sosial serta boleh berkongsi pandangan dan memberikan kritikan yang membina untuk menambahbaik kreativiti hasil seni. Jika mereka bernasib baik, hasil seni mereka itu boleh membawa pulangan yang lumayan. Kaedah ini juga terbukti berkesan apabila terdapat banyak bakat terkenal di seluruh dunia telah mengecapi kejayaan melalui kaedah ini. Masyarakat umum pasti tentu mengingati kisah penyanyi tersohor dari negara barat yang bermula dari rakaman yang dimuat naik ke laman sesawang sosial.
Belia juga boleh menfaatkan aplikasi komunikasi digital di dalam memasarkan produk-produk perniagaan yang mereka hasilkan sendiri untuk menembusi pasaran yang lebih besar dan membawa pulangan yang amat lumayan. Contohnya, seorang pengusaha keropok goreng bersambal dari Sabak Bernam telah berjaya memasarkan produk beliau sehinggakan pengusaha ini perlu menambahkan kapasiti pengeluaran akibat dari tempahan yang bertambah hasil dari pengikalanan melalui laman-laman sesawang dan aplikasi teknologi komunikasi. Limpahan rezeki beliau juga dikongsi oleh penduduk kampung yang di ambil bekerja untuk memenuhi tempahan yang semakin bertambah.
Laman sesawang juga menjadi pilihan belia yang mencari peluang-peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta. Capaian yang lebih pantas terhadap iklan-iklan pekerjaan boleh menjimatkan kos kepada majikan dan bakal pekerja. Dokumen-dokumen yang berkaitan boleh dimuat naik oleh pemohon dan dapat dicapai oleh majikan di dalam masa yang pantas, seterusnya dapat dinilai dan disenarai pendek. Calon yang disenarai pendek akan dimaklumkan secara atas talian. Segalanya menjadi mudah, pantas, murah dan cekap. Masa yang dapat dijimatkan secara tidak langsung dapat digunakan untuk meningkatkan produktiviti syarikat. Bagi belia, penggunaan aplikasi atas talian untuk memohon pekerjaan sangat bermakna sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan mereka jika dokumen perlu dihantar secara pos. Ini memberikan satu kelegaan kepada belia yang masih belum bekerja dan berhasrat mencari pekerjaan.
Belia pada hari ini sangat bertuah kerana mereka dapat mencapai maklumat-maklumat yang berbentuk ilmiah dengan hanya melayari perpustakaan maya. Mereka boleh menilai dan mengkaji dengan lebih lanjut sebarang maklumat yang disampaikan oleh guru, pengajar atau orang disekeliling mereka secara lebih kritis. Rujukan-rujukan yang dibuat boleh memantapkan pemahaman mereka terhadap maklumat-maklumat dan ilmu yang baru mereka terima. Contohnya, pelajar yang mempelajari struktur paru-paru di dalam mata pelajaran sains di sekolah dapat mencari maklumat bergambar melalui sumber di atas talian yang lebih menarik dari segi paparan visual. Ini mengukuhkan pemahaman dan boleh menarik minat mereka untuk mengkaji lebih lanjut. Hasilnya, pengalaman pembelajaran mereka menjadi sangat menarik dan positif.
Sewaktu negara di landa bencana banjir baru baru ini, gambar gambar yang di kongsi hasil aplkasi komunikasi digital di kalangan warga yang perihatin telah membangkitkan satu kesedaran dan semangat untuk membantu mangsa mangsa bencana. Perkongsian gambar gambar ini diikuti bantuan bantuan yang diusahakan oleh orang ramai dari serata negara membuktikan bahawa teknologi komunikasi ini boleh menjadi sesuatu yang sangat baik.
Mesikipun aplikasi komunikasi digital menjanjikan seribu satu macam potensi kebaikan, ia juga terdedah kepada pelbagai cabaran yang perlu ditangani dengan bijak. Kemampuan mengakses maklumat yang tidak dikawal boleh membawa kemudaratan yang besar kepada individu dan memberi kesan kepada masyarakat. Belia perlu mempunyai kemampuan untuk menapis maklumat yang diakses agar mereka tidak menjadi mangsa manipulasi dan ekploitasi pihak-pihak yang berkepentingan. Akses kepada bahan-bahan tidak bersesuaian seperti laman-laman sesawang yang menggalakkan aktiviti-aktiviti tidak sihat atau pendedahan kepada idea-idea militan dan subversif perlu disertakan dengan kemampuan untuk membuat penilaian yang rasional. Ini perlu supaya para belia tidak menjadi mangsa “serangan saraf” yang menyasarkan golongan muda yang mudah dipengaruhi. Pemikiran-pemikiran radikal senang meresapi jiwa anak-anak muda yang berada pada tahap umur yang agresif, senang mengambil sebarang tindakan tanpa justifikasi rasional dan mengambil kira norma-norma ajaran agama serta kewarasan akal fikiran.
Komunikasi di hujung jari juga memberikan kesan kepada penggunaan bahasa komunikasi yang bersifat ringkas, mudah, tidak mengikut tatabahasa dan system ejaan yang hanya di fahami di kalangan anak anak muda sahaja. Perkara ini bukanlah baru. Ianya telah disuarakan sejak komunikasi bermula dengan sistem pesanan ringkas dan pola ini berkembang dengan pelbagai kaedah komunikasi berasaskan internet seperti yang wujud pada hari ini. Sebagai generasi pewaris ketamadunan bangsa dan bahasa, adalah di bimbangi perkara perkara ini, walaupun dirasakan remeh bagi sesetengah khalayak, ianya boleh memberi kesan terhadap sejarah peradaban bahasa didalam jangka masa yang panjang. Perkara yang merisaukan ialah, kesan negatif dari perkara ini meemberi kesan terhadap komunikasi lisan para belia.
Pun begitu, bagaimanakah anak anak muda ini dapat mengetahui sesuatu maklumat yang diterima dari aplikasi komunikasi digital itu baik? Apakah yang perlu di lakukan sebelum menghantar maklumat atau input yang diterima kepada pihak lain? Sebaik baik perkara yang perlu di lakukan ialah bertenang dahulu; jangan terlalu teruja untuk menghantar sebarang maklumat di dalam gambar atau teks kerana tindakan sedemikian boleh mendatangkan risiko jika sesuatu yang disampaikan tidak sahih. Allah telah memberikan panduan didalam surah Al Hujurat ayat 6 yang bermaksud,
{Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan} Al Hujurat: 6.
Barangkali, langkah terbaik apabila menerima sesuatu berita yang tidak diketahui kepastiannya adalah dengan memadamkan maklumat tersebut dan tidak sesekali menghantar tanpa sebarang usul periksa, bimbang terjebak didalam perkara dosa. Belia ahli masyarakat digital perlu selalu mengingat-ingatkan diri tatkala mereka asyik dengan penyebaran maklumat menggunakan aplikasi teknologi komunikasi tentang firman Allah didalam surah Al Qaf ayat 16-18 yang bermaksud
{Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)}.
(Surah Qaaf 50:16-18)
Kesimpulannya, aplikasi komunikasi memberikan banyak kebaikan jika digunakan sebaiknya. Sebaliknya, ia boleh mendatangkan musibah jika tidak berhati-hati. Belia yang bijak akan membuat pertimbangan pertimbangan yang sewajarnya agar kelak tidak menyesali perbuatan yang dilakukan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.