Portal Rasmi PNC

PEJABAT NAIB CANSELOR

Menolak Hadis Mengundang Penyelewengan Dalam Agama Islam

Disediakan oleh:
Dr.Mansor Bin Sulaiman
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

 

Baru-baru ini berlaku kegemparan dalam masyarakat Malaysia berkenaan isu anti Hadis. Ia diikuti dengan pelbagai diskusi dan perbincangan berkenaannya termasuk di kalangan mereka yang tidak memahami maksud Hadis itu sendiri. Secara umumnya, Hadis adalah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad, meliputi kata-kata, perbuatan dan ikrar baginda. Telah sabit dengan dalil yang qat’ie (putus) bahawa Nabi Muhammad adalah Rasulullah iaitu utusan Allah bagi menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Keimanan terhadap kerasulan ini menuntut ketaatan dan berpegang kepada apa yang dibawa baginda. Penolakan terhadap Hadis pula bukan sekadar memberi implikasi penolakan terhadap Nabi Muhammad tetapi juga penidakkan terhadap kandungan al-Quran itu sendiri. Ini disebabkan ia bercanggah dengan nas-nas daripada al-Quran yang menunjukkan hadis sebagai sumber rujukan kepada umat Islam, antaranya firman Allah dalam ayat 7, Surah al-Hashr yang bermaksud: “Apa yang diberikan Rasul kepada mu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah”. Dalam nas yang lain, Allah menjelaskan peranan hadis sebagai penerang kepada kandungan al-Quran menerusi firman Allah dalam ayat 44, Surah al-Nahl yang bermaksud: “Dan kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan”.

Al-Qurtubi menyatakan bahawa maksud penerangan Nabi Muhammad terhadap al-Quran yang disebutkan dalam nas di atas adalah dalam dua bentuk. Pertama perincian terhadap perkara-perkara yang bersifat mujmal (ringkas) di dalam al-Quran seperti perincian hadis berkenaan perkara-perkara berkaitan hukum zakat yang tidak dijelaskan oleh al-Quran. Kedua, penerangan tentang hukum yang tidak disebutkan langsung oleh al-Quran seperti hukum pengharaman memakan  daging haiwan buas bertaring yang hanya diperolehi menerusi Hadis.

Realiti juga menunjukkan telah berlaku kesepakatan di kalangan umat Islam sejak daripada zaman Nabi Muhammad sehinggalah hari ini berkenaan kewajipan mengambil hukum daripada Hadis serta keperluan menjadikannya sebagai rujukan bagi hukum-hukum syariah. Tidak ditemui pengamalan pada masa sahabat dan selepasnya yang membezakan antara hukum yang berdasarkan al-Quran dan Hadis. Bahkan terdapat banyak riwayat pada zaman awal Islam yang menunjukkan kedudukan Hadis sebagai sumber rujukan tanpa sebarang syak lagi. Antaranya kisah yang disebutkan al-Qurtubi berkenaan teguran seorang faqih bernama Abd al-Rahman Ibn Zaid terhadap seorang lelaki yang sedang berihram tetapi memakai pakaian berjahit. Teguran beliau telah disambut oleh lelaki tersebut dengan meminta dibacakan ayat al-Quran yang menjelaskan berkenaan pakaian ihram yang sepatutnya. Lalu beliau membacakan firman Allah dalam ayat 7, Surah al-Hashr yang bermaksud: “Apa yang diberikan Rasul kepada mu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah”. Nas ini dikemukakan beliau disebabkan hukum tersebut hanya boleh didapati menerusi Hadis dan bukan al-Quran.

Berdasarkan penjelasan di atas, kedudukan Hadis sebagai rujukan dalam Islam merupakan perkara yang tidak sepatutnya dipertikaikan khususnya oleh umat Islam. Penolakan terhadapnya hanyalah mengundang penyelewengan yang besar berikutan sebahagian besar hukum-hakam syariah adalah dirujuk daripadanya. Malahan sejarah menunjukkan bagaimana terselewengnya pengikut-pengikut ajaran samawi seperti Yahudi dan Nasrani lantaran penolakan terhadap kerasulan Nabi Muhammad walaupun baginda telah disebutkan di dalam kitab-kitab mereka sebagai rasul yang terakhir sepertimana firman Allah dalam ayat 146, Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui”