Portal Rasmi PNC

PEJABAT NAIB CANSELOR

Cabaran Perlaksanaan Undang-undang Islam di Negara Moden Perlaksanaan Dalam Kalangan Non Muslim.

Disediakan oleh:

Aḥmad Irfan bin Ikmal Hisham
Pensyarah
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

Di antara keunikan Islām ialah ianya menawarkan cara hidup yang lengkap dalam kehidupan manusia, termasuklah yang berkaitan dengan undang-undang jenayah. Sistem kepercayaan Islām menuntut penganutnya untuk mempercayai setiap yang terkandung di dalam al-Qur’ān dan al-Ḥadīth, termasuklah undang-undang jenayah, serta berusaha untuk melaksanakannya di dalam negara umat Islām. Ini dinyatakan dengan jelas secara konsensus oleh semua sarjana Muslim tanpa terkecuali (al-Zuhaili, Fiqh al-Islām wa Adillatuhu, 6/427).

Sejak Menteri Besar Kelantan membentangkan Pindaan Enakmen Jenayah Syarī‘ah II (1993) 2015 pada 18 Mac yang lalu, perbahasan mengenai undang-undang tersebut telah menjadi perbualan ramai pihak, sama ada dalam kalangan orang awam, ahli politik dan sarjana. Ramai yang menimbulkan kebimbangan terhadap enakmen tersebut, sama ada daripada sudut keabsahannya berbanding nas syara‘, kemampuan perlaksanaan serta kesesuaian masa dan persekitaran. Antara kebimbangan yang dilontarkan ialah kebarangkalian perlaksanaan enakmen tersebut membawa kepada ketidakadilan di dalam sistem undang-undang, khasnya apabila membabitkan hukuman ke atas pesalah Muslim dan non-Muslim.

Di dalam membahaskan persoalan hukuman hudud ke atas non Muslim sebagai contohnya, Ibnu Qudamah (meninggal 1223 M) di dalam kitab al-Mughniy (rujukan utama Mazhab Hanbali) menyatakan bahawa pendakwaan membabitkan Muslim dengan non-Muslim dhimmiy, perlu dijalankan mengikut undang-undang Islām. Akan tetapi sekiranya membabitkan perbicaraan sesama non-Muslim, maka mereka perlu diberikan pilihan untuk diadili menurut cara mereka sendiri. Ini berasaskan kepada firman Allah bermaksud, “…kalau mereka (Non Muslim) datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka;” (al-Qur’ān, 5:42).

Sarjana Muslim juga bersepakat menyatakan bahawa undang-undang hudud hanya dilaksana kepada kelompok manusia yang bersifat mukallaf sahaja. Menurut Abū Hanifah (meninggal 767 M), undang-undang hudud hanya dilaksana kepada non Muslim berstatus dhimmiy (definisi tradisional: non muslim yang menjadi warga kepada negara Islām), dan tidak kepada non-Muslim berstatus al-musta’min (definisi tradisional: non-Muslim yang hanya memasuki negara Islām secara sah seperti dengan visa dan kebenaran pemerintah, lalu diberikukan hak dan perlindungan oleh pemimpin Islām). Pengecualian diberikan kepada jenayah qazaf (menuduh seseorang berzina tanpa keterangan saksi), maka ianya dilaksanakan ke atas non-Muslim al-Musta’min, dan pendapat ini disepakati oleh semua mazhab utama. Jenayah minum arak juga hanya dilaksanakan kepada Muslim sahaja.

Sementara Mazhab Maliki pula berpandangan yang non Muslim perlu dijatuhkan hukuman hudud apabila membabitkan jenayah qazaf, mencuri dan membunuh (qisas). Sementara jenayah zina pula dijatuhkan hukuman selain hudud (seperti takzir) bagi tujuan mendidik, kecuali membabitkan kes merogol wanita Muslim. Tiada hukuman hudud dikenakan bagi peminum arak.

Mazhab Shafi’e menyatakan hukuman hudud dikenakan ke atas non Muslim bagi jenayah zina, qazaf dan mencuri, tetapi tidak dikenakan ke atas peminum arak. Sementara bagi non Muslim berstatus al-musta’min, mereka dikecualikan daripada hukuman jenayah zina.

Sementara Mazhab Hanbali pula menyatakan hukuman ke atas penjenayah non-Muslim perlu diadili berdasarkan kepada agama dan kepercayaan penjenayah berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya agama seseorang penjenayah tidak melarang zina, maka tidak dijatuhkan hukuman hudud zina ke atasnya. Sebaliknya, sekiranya agama penjenayah melarang zina, maka hukuman hudud zina perlu dikenakan ke atasnya. Ini berdasarkan kepada Ḥadīth Ibnu Umar yang bermaksud, “Sesungguhnya nabi Muḥammad menjatuhkan hukuman hudud ke atas dua orang Yahudi yang berzina.” (agama Yahudi melarang zina, lalu dikenakan hukuman hudud zina).

Sekiranya dilihat daripada aspek ini sahaja, terdapat beberapa persoalan yang perlu dirungkai oleh sarjana. Antaranya ialah kebanyakan pengamalan undang-undang Islam, meliputi hudud, qisas dan takzir dilaksanakan secara total atau separa total, sejak daripada zaman nabi Muhammad (meninggal 632 M), tetapi terhenti dengan berakhirnya khilafah Othmaniyah (1924). Bahkan semasa zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni (meninggal 1556 M), baginda melihat keperluan untuk mewujudkan beberapa enakmen jenayah khas untuk rakyat non Muslim di bawah kerajaan Othmaniyah. Masyarakat non Muslim termasuk di barat mengiktiraf peranan baginda sehingga digelar The Magnificent dalam literasi sarjana barat kerana sumbangan pembangunan teks undang-undang moden yang harmoni tanpa berkompromi dengan syara‘ dan sentimen warga non Muslim.

Selepas jatuhnya kerajaan Othmaniyah, perkembangan perlaksanaan undang-undang syari‘ah tidak berlaku dalam kerangka perkembangan negara moden, melainkan perlaksanaan yang bersifat setempat di beberapa daerah dan negara, yang kebetulan majoriti signifikan adalah Muslim. Justeru, perkembangan terencat itu menyebabkan tiadanya eksperimen menyeluruh, membabitkan negara multiras moden.

Cabaran lain ialah memahami semua jargon dalam teks fiqh klasik, dalam konteks moden. Sebagai contoh, pengkategorian non Muslim antara dhimmiy, musta’min, mu’ahid dan harbi. Tinjauan semula terhadap kategori ini perlu diperjelaskan supaya perlaksanaan undang-undang syari‘ah dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

Sarjana moden seperti al-Zuhaili (Fiqh al-Islām wa Adillatuhu, 6/432) dengan jelas menyatakan bahawa persoalan perlaksanaan undang-undang jenayah Islām di zaman moden adalah merupakan satu cabaran yang agak besar, kerana membabitkan proses ‘taqnin’, atau menulis teks undang-undang yang disebut dengan laras bahasa tradisional di dalam al-Qur’ān dan al-Ḥadīth ke dalam bahasa perundangan moden. Justeru beliau cenderung menyatakan tiada negara moden yang menjadi contoh terbaik dan kayu aras ke atas perlaksanaan undang-undang tersebut, kerana ianya bersifat lokal. Kaedah perlaksanaannya banyak bergantung kepada faktor demografi negara berkenaan, seperti latar belakang ekonomi, campur tangan kuasa asing, kekuatan politik pemimpin tempatan melaksanakan Islām, pengaruh non-Muslim dan seumpamanya. Tuntas, realiti setiap negara Islām di zaman sekarang adalah berbeza.

Tuntas, terdapat banyak perdebatan mengenai perlaksanaan undang-undang syari‘ah di negara moden. Kebanyakannya bersifat akademik, justeru perlu dibuka ruang seluas-luasnya untuk perdebatan secara terbuka dalam kalangan sarjana, ahli politik, pihak berkuasa dan mahkamah. Cuma pastinya, sikap Muslim yang sebenar ialah mereka perlu wajib percaya akan keperluan dan keindahan perlaksanaan undang-undang syari‘ah tersebut di negara masing-masing, serta mengelak diri daripada memberikan kritikan yang bersifat menghina undang-undang langit ini. Selain itu, pemikiran simplistik juga perlu dielakkan ketika bersemangat melaksanakan undang-undang ini, sebaliknya perlu bersifat analitikal supaya perlaksanaannya tidak semata-mata berlandaskan tekstual, tanpa mengabaikan konstektual semasa.