Portal Rasmi PNC

PEJABAT NAIB CANSELOR

Pengalaman Sahabat TH di Tanah Suci, Satu Perjalanan Rohani Menuju Ilahi

Disediakan oleh:

Hajjah Noor Azlinda Zainal Abidin
Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang.

Dijemput menjadi Duyufurrahman (Tetamu Allah) 1435 bagi mengerjakan ibadat haji merupakan satu anugerah yang tidak ternilai bagi saya. Berbekalkan ilmu yang tidak seberapa bersama suami, kami menyahut seruan haji ini dengan rasa penuh syukur dan hiba. Panggilan haji ini merupakan panggilan ketiga bagi kami yang mana sebelum ini tawaran haji terpaksa ditolak atas faktor anak masih kecil serta ekonomi yang tidak mengizinkan. Mengerjakan haji dalam usia 40 ini merupakan cabaran bagi ibu yang perlu meninggalkan anak-anak yang masih sekolah kepada ibubapa yang sudah berusia. Namun, berkat sokongan ibubapa, keluarga dan rakan-rakan, segala urusan dunia ditinggalkan buat 51 hari berkelana di tanah suci.

Teruja dengan kisah serta pengalaman rakan-rakan yang pulang dari mengerjakan haji beberapa tahun yang lepas, persiapan demi persiapan telah dibuat. Kursus Asas Haji turut dihadiri selama dua tahun tetapi masih tidak rasa ilmu yang ada cukup untuk dibawa ke sana. DVD serta lamanweb yang berkaitan turut dijadikan rujukan bagi mendalami ilmu ibadat Haji.  Pengalaman yang dikongsi oleh rakan-rakan yang telah menjadi tetamu Allah menjadi pembakar semangat untuk mengerjakan Rukun Islam yang kelima. Dalam perkongsian rakan yang telah ke sana, saya turut tersentuh dengan pengalaman beliau menjadi sahabat  TH ketika beliau mengerjakan haji lalu terpanggil untuk mencuba nasib sekiranya diizinkan Allah. Saya menyimpan hasrat untuk menawarkan diri menjadi Sahabat selepas saat itu.

Langkah pertama yang dilakukan adalah dengan menulis mesej FB kepada TH merisik khabar mengenai peluang untuk menjadi Sahabat namun syarat-syarat yang diletakkan agak tipis bagi diri ini untuk mendapat peluang.Tanggal 4 September 2014 penerbangan KT22 ke Madinah Al Munawarah.Setibanya di Madinah, kami ditempatkan di Movenpick buat beberapa hari. Hasrat ingin membantu serta menawarkan pertolongan kepada jemaah haji tidak terhalang walaupun tidak menjadi sahabat TH. Rasa cinta dan kasih pada sesama insan serta ingin membantu dalam apa jua cara.Teringat kisah seorang makcik yang sesat di Masjid Nabawi dan gagal untuk pulang ke hotelnya. Saya menawarkan bantuan untuk memimpinnya ke Hotel dan berjaya bertemu dengan anaknya yang turut mencari ibunya yang hilang. Mungkin hasil dari niat ingin membantu sambil beribadah telah dimakbulkan Allah. Ketika di Raudah, rakan sebilik telah kehilangan beg. Saya dan beberapa rakan lain membantu beliau dalam proses pencarian beg tesebut serta berpengalaman untuk berinteraksi dengan Polis Masjid Nabawi bagi membuat laporan tersebut. Alhamdulillah beg itu dipulangkan oleh Jemaah haji lain beberapa jam kemudian. Selain daripada membantu Jemaah Malaysia, saya turut membantu Jemaah dari negara lain terutamanya bagi yang takut untuk menaiki tangga bergerak (Escalator) dengan menghulurkan tangan sebagai tanda bantuan. Masih segar diingatan apabila saya menawarkan bantuan mengambil gambar bagi sekumpulan perempuan dari Afrika dan akhirnya dijemput mereka untuk bergambar dengan mereka sekali.

Setelah tamat tempoh berada di Madinah, perjalanan  menaiki bas ke Mekah mengambil masa 7 jam.  Di Mekah, saya dan suami di tempatkan di Burj Al Haram. Berkelana selama 41 hari di Mekah amatlah berharga. Kesihatan jemaah kini diuji. Adalah merupakan lumrah bagi yang berkongsi bilik untuk menjaga kebajikan serta hubungan sesama rakan sebilik terutamanya bagi rakan sebilik yang tidak sihat serta yang berusia. Mengambil makanan bagi mereka serta membeli ubat merupakan sesuatu yang tidak asing. Teringat ketika ingin pulang ke hotel, sepasang suami isteri Jemaah Malaysia yang baru tiba di Mekah sesat dan sedang memohon polis Mekah memberi arah. Saya terus ke arah mereka dan menawarkan bantuan bagi mereka dengan menghubungi talian TH di sana.Seminggu sebelum giliran jemaah untuk ke Arafah serta Mina, Pegawai TH telah hadir ke Maktab kami untuk sesi taklimat. Saya menawarkan diri untuk menjadi Sahabat walaupun difahamkan peluang agak tipis.  Alangkah gembira rasa hati  serta bersyukur apabila pegawai tersebut menyatakan boleh memandangkan terdapat kekosongan di Maktab kami. Maka, bermulalah tugas secara rasmi sebagai Sahabat. Ramai di kalangan Jemaah tidak berapa tahu Sahabat TH juga merupakan Jemaah yang mengerjakan haji juga. Tugas sahabat hanyalah membantu pegawai TH yang bertugas dan tidak langsung mengganggu ibadah kami disana. Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada Sahabat. Saya difahamkan Sahabat TH terdahulu sebelum saya ditawarkan tugas ini manakala saya pula menawarkan diri disaat-saat akhir.  

Tugas pertama, memaklumkan jemaah mengenai jadual perjalanan ke Mashair dari bilik ke bilik bersama rakan Sahabat yang lain. Hanya 4 orang Sahabat bertugas bagi Hotel ini. Jadi pembahagian tugas diberikan dan seorang perlu memaklumkan jemaah yang berada dibeberapa aras di hotel itu. Tugas yang agak mencabar tetapi seronok dalam melaksanakannya. Beberapa hari sebelum proses pergerakan masyair bermula, satu mesyuarat pertama yang saya hadiri bagi semua Sahabat TH diadakan di Land Premium. Ia diadakan di waktu malam selepas jemaah selesai mengerjakan solat isyak. Perjalanan Jemaah dari Hotel ke Arafah dan kemudiaannya ke Muzdalifah dan Mina dirancang rapi agar tiada masalah berlaku. Saya diberikan ves Sahabat TH untuk dipakai dan dengan penuh semangat tugas dilaksanakan dengan penuh amanah terhadap jemaah yang lain. Disinilah waktu kemuncak bermula. Terdapat 13 bas yang perlu dipenuhi oleh jemaah dan bagasi.  Bantuan dari segi melancarkan pergerakan jemaah dari bilik ke lobi dan seterusnya menaiki bas. Simpati lebih kepada golongan kurang upaya serta warga emas dengan mengangkat beg mereka. Ada juga yang memerlukan sahabat TH untuk memapah serta memimpin mereka.

Setibanya di Arafah dan Mina, peta yang diberikan oleh TH amat membantu bagi menunjuk arah kepada para Jemaah. Kedudukan khemah yang kelihatan sama menyebabkan banyak kes jemaah sesat. Selain dari bantuan tunjuk arah, Sahabat juga membantu dari segi pengedaran makanan yang diuruskan oleh Muasasah dilantik. Sahabat turut membantu membawa Jemaah ketika melontar. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila selesainya kami melontar di Jamrah, seorang jemaah wanita dari Maktab kami pengsan diketika itu. Puas kami usahakan agar beliau kembali sedar. Setelah itu, saya dan seorang lagi rakan Sahabat membantu beliau berjalan sehinggalah kami terserempak denga pegawai kesihatan  yang turut membawa rombongan jemaah untuk melontar. Satu lagi tugas yang saya rasa agak mencabar adalah apabila bertugas menjaga bilik gerakan TH bagi maktab kami. Pelbagai aduan diterima dengan penuh sabar.

Dalam melaksanakan tugas sebagai Sahabat TH sepanjang bertugas di Masyair, beberapa insiden yang mengajar saya erti sabar, bertimbangrasa,cekal dan syukur. Semua kita adalah sama. Rasa belas serta simpati terhadap golongan yang kurang upaya serta warga emas patutlah diambil kira semasa kita disana. Bertimbang rasa dan mengizinkan jemaah-jemaah ini untuk duduk didalam bas adalah sangat membantu. Sifat mementingkan diri sendiri patut dikikis dan mendahulukan mereka yang memerlukan. Ujian sabar juga turut dirasa terutamanya apabila perlu menunggu giliran berbaris samada ditandas mahupun menaiki bas. Kadang-kadang lebih baik diam dari berkata-kata. Dalam keadaan marah serta tidak puas hati, kata-kata yang bakal keluar dari mulut semestinya tajam dan menghiris hati yang lain.

Sesungguhnya pengalaman di sana sebagai Sahabat TH membantu saya mendekatkan diri dengan Allah. Sifat syukur dan sabar adalah dua perkara yang  saya selami selama menjadi tetamu Allah disana. Saya bersyukur kepada Allah kerana menjemput saya dan suami ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah serta menganugerahkan saya pengalaman sebagai sahabat TH.Sabar menghadapi kerenah beberapa jemaah tidak menghalang saya untuk berkhidmat dengan sebaik yang mungkin untuk Allah. Walaupun tidak berpeluang melakukan lawatan awal ke masyair bersama ahli Sahabat TH yang lain sebelum hari Wukuf serta tidak berpeluang untuk menghadirkan diri untuk menerima sijil Sahabat dalam majlis ringkas bagi Sahabat TH, saya yakin segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Memadailah dengan pengalaman ini, ia merupakan sebaik-baik anugerah Allah swt yang saya perolehi. Alhamdulillah.