PNC - Official Portal

VICE-CHANCELLOR OFFICE

Persidangan ICCEIB fokus masa depan bidang kejuruteraan kimia dan industri bioteknologi

Kuala Lumpur, 1 Ogos- Persidangan International Conference of Chemical Engineering and Industrial Biotechnology (ICCEIB) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya mengumpulkan seramai 225 peserta  daripada golongan akademik, industri dan agensi dari dalam dan luar negara termasuk Korea Selatan, Vietnam, Thailand, Indonesia, India, Rusia, Jepun, United Kingdom, Nigeria dan Sudan  yang  memfokuskan tentang  bidang kejuruteraan kimia dan industri bioteknologi antarabangsa.  

Persidangan buat kali keempat ini dianjurkan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) dengan kerjasama Institute Energy Malaysia, Center of Excellence for Advanced Research in Fluid Flow dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Ianya turut mendapat sokongan pihak International Association for Hydrogen Energy dan International Journal of Hydrogen Energy.

Hadir merasmikan program Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Gazali   Abas, Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusoff dan Dekan FKKSA, Profesor Zulkafli Hassan.

Menurut Prof. Dato’ Sri Dr. Daing, persidangan ini  menyediakan platform untuk ahli-ahli sains akademik dan penyelidik untuk bertukar-tukar dan berkongsi pengalaman mereka dalam kejuruteraan kimia dan bioteknologi melalui pembentangan dan penerbitan dalam memperkenalkan teknologi terkini dan langkah-langkah penyelesaian dalam isu makanan, tenaga dan air bagi tujuan pengkomersilan dan penjanaan ekonomi di negara.

“Persidangan ini juga dapat berkongsi hasil penyelidikan terkini dan kemajuan dalam bidang kejuruteraan kimia dan industri bioteknologi kepada masyarakat dan industri bertepatan bertemakan penyelesaian teknologikal dengan mengekalkan keutamaan FEW itu terhadap Makanan (Food), Tenaga (Energy) dan Air (Water) serta Kimia Termaju (Advanced Chemical) sebagai bidang keutamaan bagi ICCEIB 2018,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 318 hasil penerbitan hasil ilmiah isu khas bagi manuskrip berkualiti bakal diterbitkan dalam  jurnal bersitasi tinggi dan Scopus Indexed seperti Catalysis Today, International Journal of Hydrogen Energy, Industrial & Engineering Chemistry Research, Journal of Chemical Technology & Biotechnology, Chemical Engineering & Technology, Journal of Environmental Chemical Engineering, Indonesian Journal of Chemistry and Bulletin of Chemical Reaction Engineering & Catalysis.

Hadir menyampaikan ucaptama adalah Prof Weeratunge Malalasekera dari University of Loughborough UK dengan tajuk  “Renewable energy and role of hydrogen as a future fuel" dan Prof (Neal) Tai-Shung Chung dari National University of Singapore (NUS) membincangkan tajuk “Sustainability by designing polymer membranes for water reuse, seawater desalination and osmotic power generation.” Manakala Jan Peter Bredehoeft, BASF Petronas membentangkan tentang tajuk “Energy optimization by BASF’s verbund concept" dan Prof Ir. Dr. Nor Aishah Saidina Amin dari Universiti Teknologi Malaysia “Photocatalytic Carbon Dioxide Reduction to Fuels in Monolith Reactor" dan Murali Samudram, Nestle (Malaysia) Sdn. Bhd. berkongsi tentang tajuk “Sustainability Strategies and Practice in Nestle Malaysia.”

Turut berlangsung pameran daripada Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), RGS Corporation Sdn Bhd, Center of Excellence For Advanced Research In Fluid Flow (CARIFF), Malaysian Chemical Engineering Technologies Sdn. Bhd. (MALCHEM), CHEMPEX Sdn. Bhd., dan UMP Holdings Sdn. Bhd.