PNC - Official Portal

VICE-CHANCELLOR OFFICE

545 mahasiswa baharu mendaftar program Diploma

Kuantan, 25 Jun–Seramai 545 mahasiswa baharu mendaftar bagi mengikuti pengajian di peringkat diploma di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi sesi akademik 2018/2019 semalam. Sebanyak 62 peratus daripada bilangan yang mendaftar melibatkan mahasiswa lelaki manakala 38 peratus adalah mahasiswa perempuan bakal mengikuti pengajian di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Fakulti Kejuruteraan Awam Sumber Alam (FKASA).

Hadir sama menyambut mahasiswa baharu, Naib Canselor UMP, Prof. Dato. Sri Ts. Dr.Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Abd. Hamid Majid. Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 mahasiswa yang menerima sumbangan Skim Bantuan Insentif Pendidikan dan Biasiswa Program Anak Pekan Cemerlang.

Menurut Prof. Dato. Sri Ts. Dr. Daing Nasir, menerusi Skim Bantuan Insentif pendidikan kepada mahasiswa terpilih menerima  wang tunai sebanyak RM 1000  bagi  manfaat kepada mahasiswa baharu dalam meringankan beban keluarga yang  mempunyai masalah kewangan dan kurang berkemampuan.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadikan universiti komuniti dan usaha pengumpulan dana bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Manakala Biasiswa Program Anak Pekan Cemerlang pula merupakan pembiayaan pendidikan yang diberikan kepada mahasiswa cemerlang sekitar negeri Pahang bagi menyambung pengajian di UMP dengan segala perbelanjaan pengajian dan yuran asrama ditanggung sehingga tamat pengajian.

Kemudahan ini memberi peluang mahasiswa bina keyakinan diri bagi mengejar impian sekaligus menikmati masa depan dengan lebih cerah. Beliau turut menasihat agar mahasiswa memanfaatkan peluang dan belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan.

Bagi mahasiswa baharu, Muhammad Redha Selamat Abdullah yang dipilih dalam program ini ternyata amat gembira dan tidak menyangka rezekinya berganda apabila bukan sahaja berpeluang masuk ke UMP malahan menerima Biasiswa Program Anak Pekan Cemerlang.

Dengan bantuan ini dapat meringankan beban keluarganya memandangkan ibunya kini mengalas peranan ketua keluarga sejak ayahnya jatuh sakit sejak beberapa tahun lalu. Beliau juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan UMP serta bernekad  akan belajar bersungguh-sungguh.

FacebookTwitterGoogle+