PNC - Official Portal

VICE-CHANCELLOR OFFICE

UMP Ceriakan Anak Yatim dan Asnaf Pilih Baju Raya

Kuantan, 6 Jun- Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah seramai 80 anak-anak yatim dan asnaf sekitar Nenasi, Kuala Pahang dan Kuantan apabila diberi peluang membeli-belah persiapan Aidilfitri di Pasaraya Mydin Kuantan hari ini.

Mereka yang datang bersama 30 keluarga menerima sumbangan baju raya dan barang keperluan dalam Projek Santun Kasih Lebaran anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) bersempena program Jejak Asnaf hasil inisiatif MyGift yang diperkenalkan universiti.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof Dato  Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Presiden Persatuan Matahari , Haryani Abdullah.

Menurut Prof. Dato' Sri Dr.Daing Nasir berkata, program menyantuni keluarga ini adalah hasil kesinambungan program MyGift yang dijalankan sepanjang tahun terutamanya dalam usaha membantu komuniti setempat.

“Bantuan ini sekurang-kurang dapat membantu meringankan beban dan merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan Ramadan dan menjelangnya Aidil Fitri tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Haryani berkata, program kali ini dibantu seramai 15 sukarelawan UMP dalam membantu keluarga ini memilih kelengkapan baju, seluar, kasut dan songkok ataupun tudung dengan nilai antara RM 100 hingga RM150. Selain itu setiap keluarga juga menerima sumbangan keperluan harian seperti beras, minyak, susu, tepung, gula dan lain-lain untuk meringankan beban keluarga menjelang Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

Manakala menurut pasangan Nor Fariza Mahidin ,31, dan suaminya Mohd Sairi Azuan,34 amat terharu dengan penerimaan pakaian raya untuk anak-anaknya pada tahun ini. Ujar Norfariza yang merupakan suri rumah, dengan pendapatan suaminya sebagai Pembantu Ladang hanya cukup untuk keperluan makanan  harian sahaja. 

Beliau amat menghargai sumbangan UMP dengan membelikan pakaian enam orang anaknya dan menyerahkan keperluan makanan untuk persiapan keluarganya berhari raya. “Ini pastinya pengalaman yang bermakna dan tidak akan dilupakan kerana buat pertama kalinya datang ke pasaraya ini dan memilih baju raya bersama anak-anak," katanya.