PNC - Official Portal

VICE-CHANCELLOR OFFICE

UMP Tuan Rumah Dialog TN50 Alam Sekitar

 

 

 

Kuantan,  11 Mei - Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mendapat sambutan ramai apabila disertai lebih 1000 belia dalam kalangan warga UMP dan institusi pendidikan tinggi sekitar Kuantan dalam program yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang baru-baru ini. 

Hadir menyampaikan ucaptama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar manakala Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim sebagai moderator program dalam membincangkan elemen alam sekitar bertemakan `Aspirasi Masa Depan Alam sekitar Negara Kita’.

Menurut Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi berkata,  golongan belia daripada pelbagai latar belakang bakal mewarisi kepimpinan negara menjadi negara maju pada masa hadapan mengikut acuan negara kita sendiri. Ujarnya program ini bertujuan memberi maklumat mengenai persediaan bagi menghadapi masa hadapan melalaui  Transformasi Nasional  2050 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang memenuhi aspirasi penduduknya.

“Menerusi dialog ini juga kita dapat memperolehi pandangan atau aspirasi golongan belia terhadap gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) ini turut menggariskan 11 matlamat  utama dalam penjagaan Alam sekitar di Malaysia iaitu pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau, pembangunan indeks prestasi alam sekitar Malaysia, menggunakan tabung kemudahan alam sekitar global untuk kemudahan alam sekitar global serta mengukuhkan Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya.

Selain itu juga antara matlamatnya seperti meningkatkan kualiti air, air laut, udara, melindungi lapisan ozon, pembangunan kesedaran alam sekitar dan indek komitmen dan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta perubahan iklim. 

 

Bagi pengurusan air secara berkesan pula, secara purata Malaysia menerima hujan sebanyak 972 bilion Kubik Meter (BCM) setahun yang mana 496 BCM (51%) daripada jumlah tersebut menjadi air permukaaan , 63 BCM (6 %) merupakan recaj air tanah dan 413 BCM (43%) disejat semula ke atmosfera. 

Kegunaan utama sumber air di Malaysia ialah bagi tujuan domestik, industri dan pengairan dalam sektor pertanian yang banyak bergantung kepada air permukaan. 

Di Malaysia, taburan hujan yang tidak sekata dari musim ke musim dan dari tahun ke tahun sehingga mengakibatkan ketidakseragaman taburan hujan, aliran permukaan air sehingga kadangkala menghadapi masalah kekurangan bekalan air dan bekalan air melebihi permintaan sehingga mengakibatkan banjir. 

Dalam menangani permasalah ini sebanyak RM 8.41 bilion telah diluluskan di bawah rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11) untuk mitigasi Banjir diseluruh negara dan sebanyak RM 49.5 juta peruntukan bagi melaksanakan program nasional water balance system (fasa 1) bagi negeri yang mengalamai masalah kekurangan air.

 

Tambahnya lagi, Malaysia juga merupakan antara 12 negara Mega Biodiversiti yang kaya dengan biodiversiti, sumber-sumber kita  mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan bagi menyumbang kepada penciptaan produk baru dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik.

Beliau berharap semua pihak untuk terus bekerjasama dalam melaksanakan peranan untuk sama-sama menjaga alam sekitar terutama dalam mengurangkan jejak karbon (Carbon Fooprint) melalui aktiviti dalam kehidupan seharian masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menyempurnakan sesi penanaman pokok di padang berhampiran Kompleks Sukan UMP Gambang. Pada masa yang sama turut menerima lebih 500 borang penyertaan Rakan Alam Sekitar yang terdiri dari pelajar UMP, Kolej Komuniti Kuantan dan IKBN Pekan.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim mengharapkan menerusi dialog ini dapat memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam kepada para belia terutamanya mahasiswa universiti untuk sama-sama bersedia dalam mencapai matlamat ini dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Turut hadir dalam program,  Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Haji Hamim Samuri, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,  Dato’ Sri Azizan Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar UMP, Abd Hamid Majid.