UMP sumbang kelengkapan sekolah anak-anak yatim dan asnaf
Kuantan, 27 Disember – Seramai 80 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada anak-anak golongan keluarga asnaf dan anak yatim sekitar Kuantan dan Pekan menerima pakaian dan kelengkapan sekolah baharu dalam program Kembali ke Sekolah baru-baru ini.
Program dianjurkan UMP advanced Education (UMP Advanced) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan Persatuan Graduan Alumni UMP sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga. Hadir sama dalam program, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. Menurut beliau program ini merupakan salah satu inisiatif MyGift UMP sebagai membantu pelajar UMP dan masyarakat setempat bagi meringankan beban keluarga untuk sesi persekolahan. “Penyertaan sukarelwan UMP yang terdiri dari gabungan kerjasama beberapa badan di UMP seperti UMP advanced Education (UAE), Persatuan Wanita UMP (Matahari), Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Persatuan Graduan Alumni UMP untuk bersama-sama turun padang untuk melancarkan Program tangungjawab sosial Korporat (CSR) ini sangat membanggakan,” katanya.
Menerusi sumbangan ini akan memberi manfaat kepada murid-murid ini yang telah bersedia untuk ke sekolah apabila mereka menerima sepasang baju sekolah, kasut, stokin, alat tulis dan beg sekolah. Selain itu sikap dermawan dalam kalangan masyarakat kampus ini diharapkan dapat diteruskan bagi membudayakan sikap keperihatianan terhadap golongan yang memerlukan dan mengekalkan momentum pada masa hadapan. Menurut salah seorang ibu tunggal, lizawati Mustafa, 34, beliau amat berterima kasih kepada UMP yang sentiasa membantu memberikan kelengkapan persekolahan bagi tiga anak beliau yang berusia dari 9 hingga 12 tahun. Dengan sumbangan ini dapatlah meringankan beban untuk persekolahan mereka. Bagi anaknya, Intan Maisrah,12, dia amat teruja untuk memulakan sesi persekolahan dengan pakaian baharu serta dapat memilih sendiri peralatan sekolah yang diidamkan selama ini.
Hadir sama Penasihat Persatuan Alumni, Tuan Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman serta 30 sukarelawan yang terdiri dari staf, pelajar UMP dan alumni UMP yang turut bersama-sama membantu melancarkan program ini. Program Kembali ke Sekolah ini menyaksikan seramai 145 pelajar menerima sumbangan yang digerakkan sukarelawan sebanyak dua kali penganjuran menjelangnya sesi persekolahan pada tahun ini. |