Program KTP Kindy tingkat kemahiran pengasuh berbahasa Inggeris
Kuantan, 12 Februari – Dalam usaha meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) menganjurkan Bengkel KTP Kindy: Communication English & Effective Storytelling Techniques for Daycare Educators kepada pengasuh TASKA negeri Pahang bagi meningkatkan tahap profesionalisme pengasuh serta memupuk keyakinan kepada mereka untuk berkomunikasi.
Program kali ini membabitkan seramai 120 peserta daripada KTP Kindy dan anak-anak yatim dan miskin Nur Iman serta bimbingan sepuluh orang fasilitator dari UMP yang diadakan di Dewan Rumah Anak Yatim Nur Iman, Kampung Kempadang, Kuantan. Hadir sama dalam program Pemangku Timbalan Pendaftar Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat UMP (JJIM), Mohd Raizalhilmy Mohd Rais dan Ketua Program Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan merangkap Ketua Projek KTP Kindy, Dr Noor Raha Mohd Radzuan. Menurut Mohd Raizalhilmy, penganjuran program selaras dengan tagline UMP untuk memasyarakatkan teknologi di samping berkongsi kepakaran bersama masyarakat untuk memperkasakan tahap komunikasi Bahasa Inggeris dalam kalangan pengasuh TASKA negeri Pahang.
Selain itu juga menerusi program ini dapat memupuk keyakinan kepada pengasuh TASKA untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris dengan anak-anak asuhan di awal usia. Ia juga merupakan Pelan Pengukuhan Hubungan Kerjasama erat antara pihak akademia dan pihak industri dan masyarakat. "KTP ini bertujuan mengiktiraf dan menggalakkan pemindahan pengetahuan melalui pertukaran idea-idea kreatif dan inovatif, penemuan penyelidikan, pengalaman dan kemahiran antara Universiti Awam (UA), organisasi penyelidikan industri, agensi-agensi kerajaan dan masyarakat,” katanya. Sementara itu, Dr Noor Raha berkata, Program KTP Kindy atau Pemindahan Ilmu ini memperoleh geran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi pendedahan bagi meningkatkan tahap keyakinan diri bertutur dan bercerita dalam Bahasa Inggeris dan mengaplikasi kemahiran yang telah dipelajari dalam bengkel kepada anak-anak di TASKA. Katanya, program ini mempunyai dua modul iaitu Communication English dan Effective Storytelling Techniques serta mengandungi tahap penguasaan. Lebih menarik peserta juga didedahkan dengan Modul Kecerdasan Hati.
Menurut seorang peserta Jarinah Hj Sidek, 54 yang merupakan penyelia Taska Puspanita Termeloh melahirkan rasa bertuah kerana berpeluang mengikuti program ini kerana dapat membantu meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan kanak-kanak menggunakan Bahasa Inggeris dengan lebih mudah serta menarik minat kanak-kanak untuk belajar. |