Drama “Namaku Bedah” kongsi keindahan kampus
Pekan, 14 Februari- Keindahan kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi pilihan pihak produksi Tanah Beris Film Sdn Bhd (TBFP) dalam menjayakan penggambaran drama slot Kelakarama 20 episod dengan judul `Namaku Bedah’ yang mula disiarkan 5 Februari lalu dalam siaran televisyen TV9.
Syarikat TBFP merupakan sebuah syarikat produksi penerbitan program-program televisyen untuk stesen kerajaan dan swasta malah TBFP banyak memaparkan kisah- kisah realiti kehidupan dan komedi antaranya drama popular yang diterbitkan syarikat ini seperti Lara Cinta Ameena, Mencari Indah, Tangisan Izara dan Rajuk. Menurut Pengarah Drama, Shuhaimi Lua Abdullah berkata, drama ini mengisahkan seorang remaja yang malu dan tidak menyukai namanya Bedah dan berusaha untuk menukar namanya sebagai Puteri Anis sebelum masuk ke Universiti. “Pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk proses menukar namanya. Namun setelah memasuki Universiti pelbagai kejadian lucu yang berlaku sehingga akhirnya Bedah merasai tindakannya menukar namanya tersebut satu kesilapan besar sehingga dia menyesal dengan tindakannya itu,” katanya.
Drama yang menjadi pilihan Shuhaimi ini merupakan adaptasi novel hasil penulisan Mohd Sharemy Ikmal. Dengan karya genre lawak pada kali ini namun sarat dengan pengajaran. Bagi Shuhaimi, kedudukan strategik UMP dengan landskap yang indah telah menarik perhatian beliau untuk menjalankan sesi pengambaran di sini. Baru-baru ini berlangsung Majlis Minum Petang Pengurusan UMP bersama Produksi TBFP melibatkan pelakon, krew dan staf juga pelajar UMP yang turut sama menjayakan drama. Antara barisan pelakon yang hadir adalah Niezam Zaidi, Razak Ahmad, Rosnah Mat Aris, Rashidah Jaafar, Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana serta dua (2) orang pelakon baru Aishah Azman dan Syainie Aida. Dalam program ini Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir mengharapkan kerjasama ini dapat memberi peluang kepada universiti dalam memperkenalkan kemudahan dan keindahan kampus UMP Pekan kepada masyarakat umum. Secara tidak langsung ianya dapat menarik minat bakal pelajar untuk memilih universiti sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka. Penggambaran yang berlangsung ini juga melibatkan staf dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta, Pusat Kesihatan Universiti, pengurusan Kolej Kediaman 5, Pusat Sukan dan Kebudayaan dan Pejabat Naib Canselor. |