Program Advokasi Ilmuwan Bincang Pencemaran Alam Sekitar
Kuantan, 15 Februari- Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Advokasi Ilmuwan bertajuk `Pencemaran Alam Sekitar:Tiada Penyelesaian?’ bertempat di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang.
Objektif program tersebut diadakan bagi mengupas isu semasa yang berlaku dalam negara dan pada kali ini berkisar kepada isu pencemaran alam sekitar yang berlaku di seluruh negara. Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mashitah Mohd Yusoff berkata, pencemaran alam boleh berlaku apabila elemen yang tidak diperlukan oleh faktor-faktor fizikal seperti air, udara, tanah dan sebagainya memberi kesan negatif kepada fungsi faktor-faktor fizikal sehingga memudaratkan eko sistem serta mengganggu kehidupan manusia.
“Kebanyakan elemen pencemar yang wujud itu ada kalanya memberi kesan terhadap aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan demi kelangsungan hidup termasuklah pembangunan penempatan, industri, pertanian, pembalakan dan sebagainya,” katanya.
Justeru katanya, setiap pihak memainkan peranan dalam menangani isu ini dan seharusnya satu jawatankuasa ditubuhkan dalam memastikan penyelarasan secara bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan, badan-badan NGO dan masyarakat setempat. Prof. Dr. Mashitah merupakan salah seorang panel dalam membincangkan tajuk ini bersama-sama ahli panel lain iaitu Prof. Dato’ Dr. Mazlin Mokhtar dari Majlis Profesor Negara (MPN)dan Tuan Hj. Rosli Zul dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang. Pemudahcara untuk program yang berlangsung selama satu jam ini menampilkan Sayed Munawar Sayed Mustar dari Radio Televisyen Malaysia (RTM). Penganjuran program advokasi ilmuwan siri 1/2017 ini berkonsepkan dialog dan forum melibatkan penyertaan panelis yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Hadir sama dalam program, Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunos dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin. |