Memasyarakatkan Teknologi Agenda Keterampilan UMP
Kuantan, 16 Februari- Menjelang 15 tahun usia Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini dimaknakan dengan ketrampilan cemerlang organisasi dan warga Universiti ini secara menyeluruh dengan meliputi semua dimensi yang menyumbang kepada persepsi, tanggapan dan penilaian umum terhadap keunggulan dan ketulenan pencapaian yang cemerlang. Daripada hanya 303 mahasiswa pada tahun 2002, jumlahnya telah meningkat kepada 10,404 orang pada tahun 2016. Sehingga kini UMP telah melahirkan seramai 16,812 graduan di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, hasil komitmen warganya, universiti ini cemerlang dalam penarafan MyRA UMP dengan 4 Bintang, disenaraikan pada kedudukan ke-58 terbaik di dunia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking yang menyaksikan UMP berjaya meningkat 131 anak tangga berbanding kedudukan 189 dunia pada tahun 2015. “Pencapaian ini adalah satu juzuk daripada banyak lagi aspek keterampilan yang perlu ditampilkan oleh UMP kepada umum. Justeru, cabaran yang mendepani kita kini ialah untuk mengupayakan goal congruence tersebut kepada aspek-aspek keterampilan UMP yang lain secara holistik. Dengan tema “Memasyarakatkan Teknologi: Agenda Keterampilan UMP” telah tiba masanya bagi UMP melihat aspek peranan sosialnya secara strategik dengan memanfaatkan sumber dan bakat yang dimilikinya berdasarkan Petunjuk-petunjuk Utama Prestasi (KPIs) yang digariskan dalam Pelan Strategik UMP bagi tahun 2016,” katanya.
Tema ini merujuk kepada gaya pendekatan tindakan UMP dalam menyediakan penyelesaian saintifik, teknikal atau inovasi terhadap sesuatu isu dan masalah yang dihadapi masyarakat. Penyelesaian tersebut secara langsung atau tidak langsungnya boleh disalurkan dalam bentuk hard technology atau soft technology secara interdisiplinari, atau dirujuk sebagai translational oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat Tahun Baharu beliau pada 12 Januari 2017 yang lalu,” katanya semasa menyampaikan Amanat Tahunan Naib Canselor UMP kepada seramai 5000 warga UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang. Ujar Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir, penyelesaian boleh berbentuk hard technology atau soft technology, maka sewajarnya ianya merentasi pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang tidak terhad kepada bidang sains tulen dan kejuruteraan semata-mata, tetapi turut melibatkan bidang sains sosial dan sastera. Justeru katanya, untuk gemilang sebagai sebuah universiti yang memasyarakatkan teknologi, maka sumbangan sewajarnya dipandu oleh kayu ukur global sebagai rujukan (reference). Dalam hal ini, beliau mengesyorkan supaya konteks sumbangan UMP tersebut berkisar kepada keperluan Sasaran Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) dengan indikator yang telah disepakati di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang tahun 2030. Sekiranya diamati, sebahagian sumbangan UMP dalam penghasilan teknologi sebenarnya telah mengisi sebahagian daripada 17 SDG itu bermakna apabila UMP sebenarnya memiliki kapasiti dari sudut sumber, bakat dan kepakaran yang membolehkannya maju lebih jauh, sekaligus membina ketrampilannya dalam konteks ini. Tatkala Universiti ini berusaha untuk membangunkan prinsip-prinsip kolaborasi bersepadu, nilai bersama (shared values), ekosistem inovasi, kepesatan teknologi dan penyesuaiannya secara pantas, adalah penting bagi para penyelidiknya memberi tumpuan kepada kajian yang mengarah kepada pembangunan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan komuniti yang disasarkan sebagai penerima manfaat. Bagi memastikan kelestarian jaringan ini dengan manfaat jangka panjang kepada komuniti, penyelidik yang terlibat perlu membina keakraban dengan komuniti sasaran selain mengekalkan hubungan yang erat dengan industri dan pembuat dasar dalam ekosistem yang saksama. Antara tugas penyelidikan yang utama ialah untuk menjangkaui keperluan masa hadapan yang belum lagi luas diketahui. Sebagai contoh, impak yang dijana hasil pembangunan teknologi baharu terhadap pembaharuan dasar, ekonomi, budaya, persekitaran dan masyarakat. UMP sendiri telah memiliki teknologi yang dibangunkan secara langsung atau tidak langsung bersama komuniti melalui enam kluster utama iaitu: Kluster Alam Sekitar, Kluster Tenaga, Kluster Kesihatan, Kluster Teknologi Maklumat, Kluster Pembinaan, dan Kluster Umum.
UMP juga akan memulakan penyelidikan berpandukan teknologi untuk pasaran melalui Newcleus Centres. Newcleus Centre adalah pusat pembangunan produk dan adalah pengisian kepada ITECS (Industrial Tehchnology and Engineering Creativity Space) di kampus Pekan. NewCleus Centre pada dasarnya merupakan pusat penyelidikan berpandukan industri yang diintegrasikan ke dalam ekosistem universiti yang mana ianya mengaplikasikan konsep yang sama dengan makmal pembangunan berpandukan nilai komersial yang merupakan sebahagian dari syarikat teknologi swasta. Pusat ini akan menjadi platform kepada pemegang taruh (stakeholders) untuk bekerjasama dalam pembangunan produk yang diterajui industri. Bersesuaian dengan Lonjakan 1 PPPN-PT (Graduan yang holistik, berbudaya keusahawanan dan seimbang), peranan pelajar UMP dalam agenda Memasyarakatkan Teknologi infrastruktur, dasar, dan galakan yang sedia ada bakal menjadikan pelajar UMP sebagai agen dalam mengimarahkan teknologi dalam kalangan masyarakat.
UMP turut meraikan sambutan ulang tahun ke-15 UMP sejak ditubuhkan pada 16 Februari 2002. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Pendaftar, Abd. Hamid Majid, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail dan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail. |