Kolokium PPTI bincang tentang Infografik
Lebih 50 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengikuti Program Kolokium Pentadbir Siri 1/2016 anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI) bagi meningkatkan pemahaman mengenai penggunaan Infografik yang menjadi trend dalam menyampaikan maklumat di Dewan Bankuet, UMP Pekan pada 3 Februari 2016 yang lalu.
“Infografik adalah merujuk kepada informasi yang disampaikan dalam bentuk grafik yang menarik, sehingga penyampaian data dan informasinya lebih mudah difahami.
“Selain merupakan trend masa kini informasi yang dipaparkan juga lebih senang diingati dan difahami,” kata Timbalan Pegawai Teknologi Maklumat & Komunikasi, Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK), Wan Azlee Haji Wan Abdullah.
Beliau yang memberikan pencerahan tentang topik ini berkata, kebanyakan teknik penyampaian masa kini lebih berbentuk Infografik.
“Dengan visualisasi data informasi lebih kompleks ini dapat menarik perhatian pembaca serta memahami dengan lebih mudah dan cepat.
“Terdapat tiga jenis Infografik iaitu statik, animasi dan interaktif. Namun, apa yang kita lihat sekarang trend penyampaian maklumat masa kini lebih banyak menggunakan teks dan visual.
“Mesej berbentuk Infografik ini lebih cepat sampai memandangkan otak manusia dapat menangkap informasi yang disampaikan menerusi Infografik berbanding teks,” katanya.
Selain itu katanya, menerusi satu visual yang menarik dapat memberi gambaran keseluruhan isi kandungan mengenai sesuatu info.
“Secara tidak langsung perkara yang rumit akan menjadi mudah difahami serta memudahkan penerimaan info melalui gambaran visual,” tambah beliau.
Bagi peserta kolokium, Norhidayah Mohamad dari Pejabat Naib Canselor berkata, program hari ini banyak memberi idea utuk beliau mengaplikasikan Infografik dalam melaksanakan tugas terutama dalam penyediaan slaid perbentangan.
Hadir sama bekas Pemangku Presiden PPTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais dan Arman A. Rahim yang merupakan Presiden PPTI yang baharu dilantik pada Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas bagi sesi 2016/2018.