Buku Lean Manufacturing Tools menang di Iran
Buku berjudul Lean Manufacturing Tools terbitan Penerbit UMP terpilih sebagai buku teks terbaik dalam bidang kejuruteraan industri oleh Universiti Islam Azad, Iran dalam Majlis Anugerah Penerbitan anjuran universiti itu pada 20 Januari 2016 yang lalu.
Buku yang ditulis oleh pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Shahryar Sorooshian itu turut dicadangkan sebagai rujukan kepada pengurusan industri kejuruteraan berikutan kualiti kandungannya yang baik dan sesuai dibaca oleh pemain industri serta pelajar lepasan ijazah.
Pengarah Penerbit UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Ghani Awang berkata, pihaknya amat menggalakkan kerjasama dengan universiti luar bagi memperkenalkan produk penerbitan UMP ini kepada masyarakat antarabangsa.
“Kemenangan ini amat membanggakan kami kerana ia merupakan kejayaan pertama pada tahun ini yang diraih oleh Penerbit UMP di peringkat antarabangsa.
“Justeru, saya mengharapkan lebih banyak lagi peluang seperti ini pada masa akan datang bagi membuktikan keupayaan pensyarah kita dalam menghasilkan buku yang baik dan berkualiti tinggi,” katanya.
Hasil daripada kemenangan itu, Dr Shahryar memperoleh hadiah berbentuk wang tunai serta sijil penganugerahan buku teks terbaik dari universiti tersebut.