30 mahasiswa T-REX sampai ke kemuncak Gunung Liang
Kelab Rekreasi (T-REX) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya sampai ke puncak Gunung Liang yang terletak di Behrang, Perak dengan ketinggian 6,343 kaki dari aras laut dalam merealisasikan Misi Pendakian ke Gunung Liang pada 10 Febuari 2016 yang lalu.
Program selama 3 hari 2 malam ini melibatkan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UMP dari pelbagai fakulti.Kumpulan pendaki telah berjaya menawan puncak Gunung Liang Timur dan Barat dengan pendakian yang mengambil masa selama sembilan jam untuk sampai ke puncak.
Pengarah program yang juga Presiden T-REX, Muhammad Syarif Al’Azmi, 22, berkata, laluan pendakian semakin mencabar apabila semua peserta terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan termasuk cerun setinggi 60º-80º dengan laluan berbatu untuk ke puncak. Mereka bermalam di kem yang mempunyai sumber air yang terhad.
“Selain dapat memantapkan mental, fizikal dan spiritual individu, objektif pendakian ini dapat mengeratkan hubungan baik dan sebagai menjayakan agenda gaya hidup sihat yang dilancarkan UMP.
Program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa yang minat dalam aktiviti rekreasi serta sukan lasak,” katanya.
Menurutnya, kesemua pendaki berjaya menamatkan pendakian tanpa sebarang kecederaan serius.
“Sikap kerjasama, berdisiplin dan cekap jelas ditunjukkan oleh kesemua para peserta dan mendapat tanggapan positif dari pihak jurupandu pendakian,” katanya.
Sementara itu, pendaki Ain Rashida Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), 23 berkata, aktiviti sebegini dapat melatih diri seseorang individu untuk lebih berdisiplin dan memupuk sikap bertanggungjawab.
Selain itu, program ini dapat mempromosikan nama UMP dalam kalangan penggiat sukan lasak di luar sekaligus menunjukkan bahawa mahasiswa UMP tidak hanya memfokuskan aktiviti dalam dewan kuliah bahkan menceburi aktiviti lasak di luar kampus.
Kelab Trex kini mempunyai 400 orang ahli berdaftar yang aktif dan giat menjalankan pelbagai aktiviti lasak termasuklah acara larian, kem induksi dan pameran hidupan eksotik.