10 pelajar bukan Cina cemerlang dalam Ujian Kefasihan Bahasa Mandarin Peringkat Antarabangsa
Seramai 10 orang pelajar bukan Cina dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) cemerlang dalam ujian kefasihan Bahasa Mandarin pada peringkat antarabangsa dalam keputusan yang diumumkan pada 15 Januari 2016 yang lalu.
Ujian yang dikenali sebagai “Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK)” dibangunkan dan diiktirafkan oleh China. Ujian HSK setaraf dengan IELTS atau TOFEL, iaitu menguji tahap penguasaan Bahasa Mandarin bagi orang yang mempelajari Bahasa Mandarin. Ujian HSK mempunyai enam tahap bagi menguji kemahiran mendengar, membaca dan menulis.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan dan Bahasa Mandarin (MLCC), Yong Ying Mei yang juga Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), pelajar UMP telah menduduki ujian HSK pada akhir tahun lalu di Institut Kong Zi Universiti Malaya (UM) dan keputusan baharu diterima dari negara China selepas dua bulan menduduki peperiksaan.
“Keputusan yang diterima amat membanggakan apabila tiga pelajar UMP yang menduduki ujian HSK tahap 1 dan tujuh orang pelajar menduduki ujian HSK tahap 2 mendapat markah penuh dalam ujian HSK itu.
“Inimembuktikan bahawa pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan juga mampu menguasai bahasa asing dengan cemerlang.
“Cabaran yang dihadapi dalam pembelajaran bahasa yang selain dari bahasa ibunda perlu diatasi dengan usaha dan rajin," katanya.
Baginya, pembelajaran bahasa asing sebagai nilai tambahan kepada pelajar bukan Cina demi peluang pekerjaan yang bersaing hebat pada zaman teknologi.
Lebih membanggakan, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) yang menduduki ujian HSK tahap 1, Dzutika Muhamed dan Nabila Mohd Adzan mendapat markah penuh 200/200.
Sementara itu, Nurzuriati Kamarudin melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada guru Bahasa Mandarin dan MLCC dalam menganjurkan kursus Intensif Ujian HSK yang memanfaatkan pelajar .
Begitu juga dengan Zulhilmi Mohd, pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), pelajar yang mendapat markah yang paling tinggi dalam ujian HSK tahap 2 dengan markah 190/200 berkata, nyanyian lagu bahasa Mandarin dalam kelas dapat membantu beliau bercakap bahasa Mandarin dengan lebih yakin.
Minat belajar bahasa Mandarin dan juga menjadikan Shila Amzah sebagai inspirasi dalam bercakap bahasa Mandarin dengan fasih seperti beliau menurut Norhaida Wati Binti Mamat, 21, dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) yang juga cemerlang dalam ujian HSK tahap 2.
Walaupun tiada asas dalam bahasa Mandarin, Mohamad Ikhwan Mohd Rashid, 21, dari FTeK yang mempelajari bahasa Mandarin selama 56 jam dalam 2 semester sangat gembira kerana lulus ujian HSK tahap 2 ini.
Di samping itu, Nurul Syammimi Zulkaranai Hassan, 21, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) melahirkan rasa berbaloi dengan usaha yang dicurahkan dalam pembelajaran bahasa Mandarin dan mencapai kecemerlangan dalam ujian HSK tahap 2.
Turut berjaya, Nur Fazliana Muhamad Razali, 21, pelajar dari FKASA yang menduduki ujian HSK tahap 2 mengharapkan peluang ini satu bonus bagi menambah peluang pekerjaan pada masa depan.