Karnival Sfcf Bantu Mahasiswa Teroka Peluang Kerjaya
Disediakan oleh:
Qamaruddin Mohd Fauzi
Setiausaha Agung
Majlis Perwakilan Pelajar UMP
Penganjuran Karnival Kerjaya Sektor Berfokus (SFCF) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini memberi ruang kepada bakal graduan mendekati syarikat-syarikat berkaitan bidang pengkhususan masing-masing. Karnival anjuran Talent Corporation Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan karnival tahunan yang dianjurkan di universiti awam mahupun swasta yang terpilih melalui sesi pembentangan kertas kerja yang telah dilaksanakan awal oleh Talent Corporation Malaysia sendiri.
Dengan penglibatan 33 syarikat yang berkaitan bidang teknikal dan kejuruteraan telah berjaya menarik seramai 2700 peserta telah hadir sepanjang Karnival Kerjaya berasaskan sektor ini berlangsung termasuk mahasiswa dari UMP sendiri termasuk mahasiswa sekitar kuantan dan penduduk sekitar kuantan yang ingin mencari pekerjaan. Rata-rata peserta yang hadir menggunakan peluang ini untuk mendapatkan informasi berkaitan kerjaya di syarikat-syarikat berkaitan termasuk sesi temuduga terbuka yang telah dijalankan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung.
Sepanjang penganjuran karnival ini berlangsung, empat sesi Coffea Talk atau sembang kopi dengan syarikat-syarikat yang sudi berkongsi pengalaman di industri antaranya Hartalega Sdn Bhd, IBM, Mercedes-Benz Malaysia dan Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd. Sesi ini memberi ruang yang lebih luas selain ruang pameran yang disediakan, peserta diberi peluan untuk mengajukan soalan secara terus dengan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat ini bagi mendapatkan informasi peluang kerjaya.
Selain itu juga, konsep karnival kerjaya ini yang terbuka kepada mahasiswa universiti juga berjaya menarik minat mahasiswa bukan tahun akhir yang turut sama hadir bagi mendapatkan informasi. Ternyata objektif pertama Talent Corporation Malaysia bagi meningkat kesedaran berkaitan kerjaya dalam kalangan mahasiswa berjaya kerana mahasiswa sudah mempunyai kesedaran untuk mendapatkan informasi berkaitan laluan kerjaya yang mereka minati melalui penganjuran karnival kerjaya ini. Persediaan awal ini merupakan kunci kepada survival mahasiswa setelah bergelar graduan nanti atas faktor perkembangan pesat kemajuan negara dan persaingan sengit dengan bermulanya Komuniti Ekonomi ASEAN akhir 2015 ini.
Dengan ini, mahasiswa akan lebih pragmatik dengan mentransformasi diri dengan menambahkan ilmu, kemahiran dan bakat bagi memastikan mahasiswa yang dihasilkan lebih berdaya maju dan bersedia dengan keadaan semasa. Dalam meningkatkan kesedaran ini juga, Talent Corporation Malaysia berusaha dalam menghubungkan bakat mahasiswa dengan industri melalui aktiviti Industries-Student Engagement bagi membolehkan mahasiswa merapatkan hubungan mereka dengan industri. Dengan menjalinkan hubungan yang rapat dengan industri, mahasiswa boleh menggunakan hubungan baik tersebut untuk menjalankan lebih banyak program antara universiti dan industri selepas ini.
Objektif kedua penganjuran bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa yang bakal menjalani latihan industri dan mahasiswa tahun akhir. Dengan tawaran kerjaya oleh syarikat yang membuat pameran dalam karnival kerjaya ini membolehkan mahasiswa yang sedang berusaha mendapatkan tempat bagi latihan industri dan mahasiswa tahun akhir yang ingin mendapatkan tempat kerja membuat pilihan kerjaya yang bersesuaian. Dengan berjumpa secara berhadapan dengan wakil syarikat, mahasiswa berpeluang mendapatkan informasi program kerjaya yang ditawarkan oleh setiap syarikat antaranya sesi temuduga terbuka. Dengan itu, mahasiswa boleh menimba pengalaman awal ditemuduga oleh wakil syarikat dan menggunakan pengalaman tersebut bagi sesi temuduga akan datang. Ada juga mahasiswa yang mengambil peluang dengan menghantar resume kepada syarikat untuk ditemuduga oleh syarikat.
Inisiatif Talent Corporation Malaysia dalam objektif kedua ini melalui Structured Internship Program (SIP) menggalakkan mahasiswa mejalankan latihan industri di syarikat yang menjalin kerjasama dengan Talent Corporation Malaysia. Dengan itu, mahasiswa boleh menambahkan ilmu dan kemahiran yang dipaktikkan oleh industri bagi memberi pendedahan awal keadaan industri yang sebenar. Maka ia boleh memberi peluang mahasiswa mempraktikkan ilmu yang telah mereka belajar didalam kelas selama ini.
Objektif ketiga karnival kerjaya berfokuskan sektor ini adalah meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi mendapatkan tempat kerja dan mengatasi masalah pengangguran yang berlaku. Terdapat juga peserta yang hadir merupakan mereka yang sudah bergraduasi yang masih dalam proses mendapatkan kerjaya yang sesuai dengan kursus masing-masing. Dua program diperkenalkan bagi menggalakkan percampuran dengan kurikulum industri iaitu program Upskilling dan Graduate Employability Management Scheme (GEMS). Program yang dikelola oleh Talent Corporation Malaysia ini memberi ruang kepada mahasiswa mengembangkan bakat dan membolehkan mahasiswa membiasakan diri dengan keadaan industri. Dengan program ini juga, mahasiswa akan dilatih dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh industri. Program persediaan menghadapi industri ini membolehkan mahasiswa didedahkan dengan keadaan industri dengan latihan oleh syarikat-syarikat terpilih dalam masa enam bulan.
Pengalaman dua hari penganjuran SFCF anjuran Talent Corporation Malaysia memang memberi banyak pengalaman dan pendedahan berkaitan industri dan kerjaya. Matlamat Talent Corporation Malaysia sendiri dalam membina jalinan kerjasama yang baik antara kerajaan, industri dan bakat mahasiswa berjaya dijalin erat dalam pelaksanaan karnival kerjaya ini. Terutamanya kepada mahasiswa, setiap mahasiswa boleh fokus terhadap pembangunan kemahiran dan bakat sebagai solusi kepada isu pembangunan kerjaya yang mereka sering hadapi. Selain itu, pembangunan polisi oleh pihak kerajaan dan industri boleh membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pengalaman yang boleh mengasah bakat dan kemahiran yang mereka miliki. Seterusnya, kerjasama erat mahasiswa dan industri membolehkan industri lebih dekat dengan universiti bagi memastikan bakat yang dihasilkan oleh universiti selaras dengan permintaan industri dan memberi kebaikan kedua-dua belah pihak. Akhir sekali, program ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan sebagai pencetus kepada mahasiswa memasang niat dan cita-cita untuk mengubah diri sendiri dan mengembangkan bakat supaya boleh memberi kebaikan kepada pembangunan diri dan negara untuk masa akan datang. Tahniah! Mahasiswa UMP yang memanfaatkan program Sector Focus Career Fair UMP 2015 ini dan diharapkan penganjuran program ini terus memberi lebih banyak pendedahan kepada mahasiswa dan dapat mencapai matlamat meningkatkan kebolehpasaran graduan Malaysia suatu hari nanti.