Pelan Pembangunan Pendidikan: Satu Acuan Tersendiri
Disediakan oleh:
Dr. Mohd Rashid bin Ab Hamid
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains & Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi Negara yang bakal dilancarkan tidak lama lagi merupakan satu dokumen yang menggariskan kehendak dan keperluan yang perlu dipenuhi dan dicapai dalam menjadikan pelanggan utama kepada sesebuah institusi pengajian tinggi antaranya agar pelajar menjadi graduan yang bersifat holistik, seimbang dan berminda berkeusahawanan. Pelan yang dirancangkan bukanlah satu dokumen yang disediakan hanya dengan perbincangan dalam masa beberapa hari atau minggu malah telah melalui pelbagai sesi pemurnian dan penerangan awal bagi memantapkan isi kandungan teras pelan berkenaan bersama dengan pelbagai pihak dan lapisan pemegang taruh.
Usaha ini adalah kesinambungan dan penjajaran kepada kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang menggariskan tujuh teras antaranya adalah meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguh penyelidikan dan inovasi, memperkasa institusi pengajian tinggi, mempergiatkan pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selaras dengan pelan pendidikan Malaysia (Malaysia Education Blueprint), pelan ini dirangka dalam tempoh masa tertentu bagi menggariskan apakah elemen-elemen yang perlu dicapai dan melihat keberhasilan penunjuk-penunjuk yang dirancang dalam satu jangka masa yang ditetapkan. Dengan kata lain, pelan ini seolah-olah memberikan nafas baru dalam memberikan lonjakan kepada peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia. Seperti mana pelan atau model kecemerlangan prestasi yang menggariskan pemboleh ubah – peboleh ubah tertentu yang penting atau pun kritikal dalam mencapai kecemerlangan organisasi, begitulah pelan pendidikan pengajian tinggi ini.
Mungkin bagi sesetengah pihak, pelan ini merupakan satu retorik semata, namun usaha murni yang dibuat perlu dinilai dan diperhalusi bagi membentuk dan merencana sektor pengajian tinggi ke satu tahap yang membanggakan dan setaraf dengan institusi-institusi pengajian tinggi di luar Negara.
Umpama sasaran kita dalam melaksanakan dan mencapai objektif dalam sesuatu pekerjaan, pelan ini merupakan satu usaha bagi pihak pemegang taruh khususnya pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan IPT dalam mengorak langkah dengan lebih laju lagi di samping menjadikan IPT di Malaysia sabagai satu hab pendidikan bukan sahaja di peringkat serantau malah di persada antarabangsa.
Semestinya, kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak dalam memberikan apa-apa perkhidmatan kepada pelanggan atau sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita. Dalam konteks pendidikan, secara umumnya, kita perlu melihat dengan lebih telus dan mendalam apakah yang kita kehendaki dan perlu capai dalam menjadikan sesebuah IPT itu bukan sahaja tersohor atau gah dek kerana pembangunan fizikalnya sahaja malah aspek bukan zahir yang perlu dititikberatkan.
Penekanan utama antaranya adalah menggalakkan usaha pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning yang sentiasa meniti di bibir setiap orang sepatutnya tidak terhenti pada satu-satu tahap pendidikan sahaja, walhal ia perlu dijadikan satu budaya yang perlu meresapi dalam kalangan rakyat untuk mendapatkan ilmu melalui pelbagai cara dan kaedah. Ini disebabkan pembelajaran sepanjang hayat dapat mendidik kita dalam meletakkan dan memposisi ilmu di tempat yang tinggi dan berusaha memahami dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari.
Pendek kata, pelan pengajian tinggi ini merupakan satu pelan tindakan yang menyeluruh dalam usaha mengtransformasikan sektor pengajian tinggi khususnya universiti awam di Malaysia. Dengan 10 lonjakan yang digariskan, pelan ini dilihat sebagai satu pelan yang menyeluruh dan sesuai dalam masa sedekad mendepani cabaran dan merealisasikan lonjakan-lonjakan yang digariskan dalam membentuk hala tuju universiti awam.