Kelantangan Di Laman Media Sosial: Emosi Mengatasi Ilmu
Disediakan oleh:
Noor Azlinda Zainal Abidin
Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Tidak dinafikan pengguna laman media sosial di Malaysia begitu ramai sekali. Kebanyakan pengguna terdiri daripada para pelajar, pekerja mahupun surirumah. Mempunyai akaun facebook, twitter, instagram sebagai contoh merupakan satu trend masa kini yang mana kebanyakan maklumat dapat dimuatturun mahupun diakses hanya melalui telefon pintar. Dengan pelbagai pakej yang ditawarkan oleh syarikat komunikasi jalur lebar, para pengguna dapat menikmati semaksima yang mungkin penggunaan dalam talian di mana sahaja mereka berada pada bila-bila masa. Bagi membuka akaun mana-mana laman media sosial, pengguna hanya perlu mendaftar dengan memberikan beberapa maklumat peribadi dan boleh mempunyai seberapa banyak akaun yang mereka mahu.
Justeru, dengan kemudahan yang ada, banyak masa digunakan untuk berbual di alam maya bersama rakan-rakan di laman media sosial bagi berbincang mengenai isu yang diutarakan. Dari isu sukan, fesyen, agama mahupun politik, perbincangan kadang-kadang menjadi lebih hangat apabila isu-isu sensitif dibualkan sehingga mengundang pergaduhan mahupun mengguriskan hati sesetengah pihak. Lebih menyedihkan apabila seseorang yang berkawan lama boleh memutuskan persahabatan dengan hanya menekan butang unfriend disebabkan pertelingkahan pendapat dalam sesuatu isu. Kelantangan menyuarakan pendapat ini secara tidak langsung mencerminkan peribadi seseorang itu. Susunan kata-kata, penggunaan simbol-simbol serta hujah-hujah yang digunakan kadang-kadang menggambarkan sikap serta pemikiran sebenar seseorang individu. Kematangan memberi serta menerima pendapat tidak langsung digunakan seolah-olah hanya pendapat yang diberikan itu benar.
Inilah yang dikatakan apabila emosi melangkaui segalanya. Sikap keterbukaan dalam memberi pendapat bagi isu yang dibincangkan diakhiri dengan pertelingkahan serta penggunaan kata-kata kesat. Ada yang mengatakan orang Malaysia boleh dibawa berbincang secara santai mengenai makanan, sukan dan hiburan tetapi tidak sekali-kali apabila isu agama serta politik diutarakan. Maka timbullah pelbagai persoalan, tanda tanya serta mempertikaikan pandangan orang lain dan mengenepikan langsung pendapat mereka. Cuba perhatikan respon dalam mana-mana post dan amati.
Kenapakah ini terjadi? Bukankah orang Malaysia dikatakan kaya dengan sifat lemah lembut serta berbudi bahasa? Adakah kewujudan teknologi sebegini mematikan sifat yang dimiliki selama ini ataupun teknologi membentuk satu sifat sepunya yang baru oleh komuniti siber Malaysia. Komen berbaur perkauman juga turut menjadi salah satu ancaman ke atas perpaduan rakyat Malaysia dan ini adalah amat merisaukan. Bayangkan masa yang diperuntukan di alam maya khususnya laman media sosial memakan lebih masa dari membaca buku mahupun berkomunikasi dengan orang sekeliling. Sifat negatif dari komen-komen di laman media sosial secara tidak langsung turut mempengaruhi sikap pembaca dan sekiranya tidak ditangani akan membentuk sikap seseorang itu. Rasa benci, marah dan geram akan menjadi lebih parah lagi sekiranya diapi-apikan oleh komen-komen yang lain.
Maklumat yang diterima hasil dari komen yang dibaca akan dikira benar dan menjadi fakta tanpa sebarang rujukan primer. Ini amatlah membimbangkan sekiranya sikap tidak ambil kisah mengenai kesahihan sumber serta mempercayai sesuatu tanpa pengetahuan serta rujukan yang sahih dijadikan amalan, ia boleh mendatangkan fitnah yang akan memporakperandakan sesuatu masyarakat, institusi mahupun organisasi. Justeru, apakah yang patut dilakukan atau siapa yang perlu bertanggungjawab dalam hal sebegini?
Perubahan sebenar perlu dilakukan bermula dari diri sendiri. Budaya cintakan ilmu khususnya melalui pembacaan wajar dipupuk bagi melahirkan masyarakat yang berfikir sebelum bertindak atau berkata-kata. Bacaan ilmiah dapat membantu dari segi membentuk peribadi terutamanya dari segi berkomunikasi. Rujukan pembacaan juga perlu diambil kira dari segi kesahihan serta ianya perlulah dibaca oleh kedua-dua belah pihak. Kebolehan memberi pendapat serta menyuarakan hujah-hujah berdasarkan bacaan dapat menunjukkan kematangan seseorang itu serta keluasan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Penggunaan perkataan yang sesuai juga perlu dititikberatkan kerana ini kadangkala membawa pelbagai intepretasi oleh para pembaca yang lain. Sikap keterbukaan dalam menerima pendapat yang bercanggah haruslah dijadikan amalan. Terimalah seadanya. Tidak semua orang akan bersetuju dengan pendapat kita. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Kadangkala terdapat kelemahan yang kita ada dalam diri ini yang masih perlu diperbaiki lagi. Laman media sosial seharusnya dijadikan tempat bertukar fikiran, berkenalan dan bukannya laman untuk menunjukkan siapa juara.
Selain dari itu, budi bahasa juga hendaklah dijaga kerana ia mencerminkan sikap dan peribadi kita. Penggunaan kata-kata yang tidak sesuai boleh digantikan dengan perkataan yang lebih santai yang tidak membentuk suasana ataupun keadaan yang tegang dalam perbualan di alam maya. Keadaan menjadi lebih teruk lagi sekiranya penulis yang memberi komen tersebut merupakan kakitangan awam atau seseorang yang mempunyai kedudukan dalam mana-mana organisasi. Secara tidak langsung ia menjatuhkan nilai sesebuah organisasi.
Keperluan untuk mengaplikasikan didikan agama dalam berkomunikasi amatlah dituntut. Berbual dengan penuh adab serta tidak menyakiti hati orang lain. Sekiranya ingin menegur, tegur dengan penuh hikmah. Adakalanya berdiam adalah lebih baik dari berkata-kata. Sekiranya ingin berkata-kata, ucaplah perkara yang baik-baik. Fitnah dan hasutan bukanlah ajaran agama dan tidak seharusnya dijadikan amalan.
Pendidikan di sekolah tidak seharusnya dipersalahkan. Nilai-nilai murni turut disepadukan dalam kurikulum dan diintegrasikan di dalam subjek-subjek yang diajar. Di dalam latihan lisan juga, para pelajar turut diajar cara-cara berkomunikasi dalam kumpulan. Sebagai contoh, dalam peperiksaan MUET, pelajar didedahkan cara berkomunikasi dalam kumpulan. Mungkin subjek komunikasi di alam maya perlu dimasukkan dalam kurikulum supaya pelajar lebih cakna dalam menggunakan laman media dengan lebih arif lagi. Walau bagaimanapun untuk masa terdekat ini, apa yang perlu ditekankan oleh warga pendidik mahupun sekolah adalah bagaimana pelajar mengaplikasikan nilai-nilai ini di alam maya.
Ibubapa juga tidak ketinggalan dalam membantu menangani masalah ini dari merebak sehingga menjadi seperti barah dalam pemikiran mahupun peribadi anak-anak. Tanamkan sifat rajin membaca serta berbincang dengan mereka mengenai sesuatu isu. Tidak salah untuk berfikiran secara kritikal tetapi hendaklah kena pada tempatnya terutamanya dalam menyuarakan pendapat. Selitkan nasihat-nasihat agar mereka menyedari apa yang harus mereka perbaiki. Belajarlah juga menerima pendapat anak-anak dan bersikap terbuka kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu dalam membentuk peribadi anak-anak. Ibubapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak. Perhatikan serta awasi post anak-anak ketika mereka berinteraksi di laman sosial.
Kita selaku pengguna media laman sosial mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama serta dapat memberi sumbangan dalam menangani masalah. Jadilah contoh kepada para pengguna laman media sosial yang lain. Kemampuan mengawal emosi dalam memberi pendapat mahupun hujah berjaya menunjukkan yang seseorang itu bijak dalam menyampaikan pendapat. Sekiranya masih terdapat beberapa komen yang kurang menyenangkan, tidak perlulah dilayan bagi mengelakkan ketegangan. Dengan cara ini, keadaan akan kembali tenang.
Kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan untuk kita dalam penggunaan laman media sosial. Undang-undang penggunaan laman media sosial juga tidak berapa ditekankan oleh kerajaan hanya kerana di atas kepercayaan kepada individu iaitu rakyat Malaysia. Justeru, belajarlah menggunakan landasan ini dengan bijak dan jangan sampai memakan diri sendiri.