Peradaban Sukarelawan Bantu Mangsa Musibah
Disediakan oleh:
Dr. Noor Raha Mohd Radzuan
Pensyarah
Pusat Bahasa Moden Dan Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Bencana banjir besar yang menimpa sebahagian besar dari Semenanjung Malaysia terutamanya negeri-negeri pantai timur dan sebahagian negeri pantai barat dilaporkan bencana banjir terburuk dalam tempoh 100 tahun. Ia seolah-olah bencana tsunami yang dialami oleh Bandar Acheh sepuluh tahun yang lalu. Tsunami kecil atau tsunami bukit adalah jolokan nama bencana banjir yang melanda negara kita baru-baru ini. Terdapat banyak bantuan dari pihak kerajaan, NGO serta orang perseorangan disalurkan untuk membantu golongan ini, bermulanya musibah ini berlaku, semasa banjir berlaku sehingga kini, selepas semua air banjir sudah surut, iaitu pasca banjir. Operasi pasca banjir dikatakan lebih mencabar melihatkan kepada kemusnahan harta benda persendirian, harta benda awam, dan ini juga termasuk kehilangan nyawa yang tersayang semasa banjir besar berlaku. Sehingga hari ini, bantuan fizikal dari sukarelawan masih dialu-alukan untuk membantu kawasan yang teruk dilanda banjir. Terdapat beribu-ribu sukarelawan dari IPTA, IPTS serta institusi NGO bergerak setiap hari memberikan sumbangan dan pertolongan kepada mangsa banjir tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik.
Ini amat dituntut dalam Islam seperti firman Allah yang bermaksud, "Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa." (Surah Al-Maidah, ayat 2). Malah Nabi Muhammad SAW juga bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang tidak mengambil berat permasalahan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan mereka”. Ini amat jelas bahawa sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia amnya, kita mestilah mengambil peduli mengenai hal ini serta memberikan pertolongan yang sebaik-baiknya.
Jika kita mempunyai kekuatan minda serta fizikal, kita boleh menyumbang dari segi kekuatan fizikal dengan menyertai skuad-skuad sukarelawan. Telah banyak sukarelawan pergi membantu, tetapi keadaan dikawasan terjejas banjir masih memerlukan bantuan sebagai operasi pasca banjir. Dalam ketaksuban membantu, kita sebagai sukarelawan haruslah membawa nilai-nilai peradaban yang baik untuk memastikan kewujudan kita sebagai sukarelawan akan diingati dan dihargai, bukannya dicela dan dikatakan mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain.
Persiapkan diri secara holistik.
Ketika kita pergi ke tempat yang dilanda musibah untuk memberikan bantuan, para sukarelawan dinasihatkan untuk mempersiapkan diri masing-masing secara fizikal serta rohani dan mental. Sayugia diingatkan bahawa para sukarelawan perlulah mempersiapkan diri secara holistik untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Secara fizikalnya, sukarelawan haruslah sihat dan tidak mempunyai penyakit berjangkit. Ini adalah kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan atau membebankan diri-sendiri malah ia mungkin akan memberikan jangkitan kepada sukarelawan yang lain. Malah, mangsa banjir juga cenderung untuk mendapat penyakit berjangkit itu.
Selain dari kekuatan dan kesihatan diri, para sukarelawan juga haruslah menyediakan barang keperluan diri seperti tuala, baju bersih, sabun untuk digunakan selepas proses membersihkan kawasan dilanda banjir. Kita tidak pula sepatutnya meminta barang-barang keperluan seperti itu dari pihak tuan rumah contohnya. Ini akan membebankan pihak mereka.
Persiapan secara rohani juga amat penting. Sebelum ke tempat bencana, sukarelawan beragama Islam disarankan untuk mendirikan solat-solat sunat. Solat sunat adalah sangat dituntut sebagai salah satu cara untuk menyucikan hati individu. Selain itu, dengan melakukan solat sunat, kita dapat memperbetulkan niat kita iaitu untuk membantu mangsa dalam kesusahan seperti hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dari Umar bin Al-Khattab R.a. Ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan memperolehi hasil sesuai dengan niatnya itu.”
Oleh itu, kita perlulah menyucikan hati dan memperbetulkan niat agar dapat menghasilkan seorang sukarelawan yang bukan sahaja ikhlas memberi bantuan tetapi juga melahirkan sukarelawan yang bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan sesuatu kerja dan bantuan.
Dalam proses memberikan bantuan kepada mangsa banjir, kita haruslah pandai menjaga batas-batas syariat dalam Islam. Dalam kumpulan sukarelawan yang bercampur lelaki dan perempuan, para sukarelawan harus pandai menjaga gerak geri dan tingkah laku dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ini termasuklah batas-batas aurat dalam Islam. Dalam kesibukan menolong mangsa mangsa banjir, solat sebagai tiang agama tidak harus dilupakan. Janganlah kerana terlalu taksub untuk memberi pertolongan, kita lalai dengan tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada Allah swt. Sukarelawan juga dianjurkan untuk memperbanyakkan doa agar Allah memberi petunjuk dan memudahkan segala urusan bantuan yang bakal diberikan kepada mangsa bencana. Semoga bantuan yang akan diberikan akan memberi kebaikan kepada bangsa banjir.
Bertindak sebagai kaunselor
Selain itu, apabila tiba di tempat bencana, kita sering melihat mangsa yang ditimpa bencana mengalami ketidakstabilan emosi dan fizikal. Ini akan menjadi lebih teruk jika bencana tersebut adalah bencana kali pertama yang pernah mereka alami. Ini akan mengakibatkan mangsa menjadi trauma, sedih dengan kehilangan harta benda dan sebagainya. Oleh itu, para sukarelawan yang menyertai misi-misi bantuan perlulah sensitif dengan keadaan ini dan bertindak sebagai kaunselor. Elakkan bertanya pelbagai soalan kerana mereka berada dalam keadaan tertekan. Sebaliknya, sukarelawan perlu melatih diri untuk mendengar luahan mangsa bencana dan perlu ada perasaan rendah diri terhadap mangsa bencana agar mangsa merasakan masih ada yang mengambil berat atau menghargai mereka. Selain itu, sukarelawan juga boleh memberi kata-kata perangsang atau semangat kepada mangsa bencana agar mereka berasa gembira dan tidak putus harapan dengan apa yang berlaku. Selain itu, diingatkan juga bahawa sukarelawan dianjurkan untuk mencegah daripada sifat meninggi diri dengan mangsa banjir. Biar pun di tempat kerja, kita mempunyai pangkat dan gelaran, ini bukanlah masanya untuk kita menceritakan perihal diri sendiri. Harus diketahui bahasa fokus utama aktiviti sukarelawan ini adalah mangsa-mangsa bencana dan bagaimana cara terbaik untuk membantu mereka.
Bila tiba musim bencana, kita sering mendengar berita kurang enak seperti sikap ‘pilih bulu’, barangan bantuan disorokkan, hak dinafikan dan mangsa bencana dilayan tidak sama rata. Oleh itu, sukarelawan disarankan untuk sentiasa bersikap adil dan telus terhadap bantuan yang diberikan kepada mangsa bencana. Jangan memberikan pertolongan secara selektif. Para sukarelawan tidak seharusnya mempunyai sikap ‘pilih bulu’ dalam pengagihan bantuan kepada mangsa bencana. Memberikan layanan dan bantuan secara adil dan saksama tanpa mengira latarbelakang politik, agama dan bangsa adalah amat penting.
Ketika banjir melanda, golongan seperti orang-orang tua, orang sakit, ibu-ibu yang sarat mengandung, bayi serta kanak-kanak adalah golongan yang boleh dikatakan lemah dari segi fizikal. Apabila fizikal lemah, secara emosionalnya, mereka lebih sensitif. Oleh itu, adab haruslah dijaga ketika bersama golongan ini contohnya, mereka haruslah didahulukan ketika pertolongan diberi. Sentiasa hormat pada mereka pada ketika itu dapat melegakan perasaan sedih dan gundah gulana akibat kejadian banjir. Selain bersedekah dengan kudrat, kita juga boleh bersedekah dengan senyuman. Membantu mangsa banjir bukanlah suatu tugas yang senang. Ia amat mencabar dan meletihkan. Mencabar minda dan fizikal. Oleh itu, sebagai sukarelawan, kita haruslah sentiasa bermanis muka kerana dengan senyuman, kita dapat pahala sedekah dan juga dapat meringankan beban mangsa banjir.
Jauhi perasan riak
Apabila kita bersama dengan misi bantuan, anggaplah ia adalah sebagai satu tugasan untuk kita. Oleh itu buatlah tugasan itu dengan sebaik mungkin. Pada ketika ini, memang banyak kumpulan penyelamat serta kumpulan bantuan memberikan pertolongan. Sebagai ahli kumpulan tersebut, jangan lah kita merasa riak kerana dapat membantu golongan yang dilanda musibah ini. Perasaan bangga kerana kumpulan kita membawa lebih banyak barang bantuan seperti makanan dan pakaian haruslah dibuang. Ini bukanlah masanya untuk kita mendabik dada dengan pertolongan kita kerana mangsa bencana tidak memfokuskan kepada perkara siapa lebih hebat dan lebih banyak memberikan bantuan. Pada masa ini tumpuan mereka adalah bagaimana keadaan semasa mereka dan bagaimana untuk menghadapi hari hari mendatang. Oleh itu, sebagai sukarelawan, tumpukan fokus anda kepada semangat membantu golongan ini dan lupakan mengenai siapa lebih dan siapa kurang. Sebagai ahli sukarelawan yang membawa bantuan secara pukal kepada mangsa-mangsa banjir, adalah juga digalakkan untuk kita membawa sedikit buah tangan sendiri seperti buah-buahan, kuih-muih atau gula-gula untuk dibawa sepanjang aktiviti kesukarelaan itu. Contohnya gula-gula boleh diberikan kepada anak-anak kecil disepanjang misi bantuan tersebut dan ini pasti akan membuatkan mereka tersenyum dan lebih gembira. Ini lah matlamat aktiviti sukarelawan, untuk melihat mangsa-mangsa banjir tersenyum dengan kehadiran kita.
Berselfie sudah menjadi trend di kalangan masyarakat kini. Tetapi kita harus tahu bila dan di mana untuk kita berselfie. Jangan lah ber selfie ketika berada di kawasan ditimpa bencana. Ini bukan sahaja menunjukkan ketiada adaban kita, malah menjadikan bencana itu seolah-olah barang permainan kita. Apakah tujuan kita berselfie pada saat itu? Untuk berbangga yang kita telah sampai di tempat yang dilanda musibah? Sebagai sukarelawan, kita harus pandai menjaga tingkah laku agar tidak menghiris perasaan mereka lagi. Kita tidak tahu apakah yang terlintas di fikiran mangsa-mangsa banjir itu ketika dilihat kita sedang berselfie dan ketawa berdekah-dekah.
Dalam kita bersemangat untuk membantu membersihkan tempat tempat dilanda banjir, terdapat juga golongan yang tidak mampu untuk membantu mangsa banjir secara fizikal. Jika kita tidak mampu membantu dengan kekuatan tubuh badan, kita masih lagi boleh membantu mangsa banjir dengan cara lain, iaitu dengan menghulurkan bantuan kewangan. Bantulah sebanyak mana yang kita mampu dan ikhlas kerana hanya keikhlasan hati akan dipandang oleh Allah swt, dan bukannya jumlah wang tersebut. Untuk golongan yang tidak mampu memberikan sumbangan fizikal, mereka masih lagi boleh berdoa kerana doa mempunyai peranan yang cukup hebat. Oleh itu, berdoalah untuk kesejahteraan dan keselamatan mangsa-mangsa banjir walau pun mereka tidak mengetahui akan doa kita. Ini amat dituntut dalam Islam sebagaimana hadis Rasulullah SAW riwayat Muslim yang bermaksud “Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama,” (HR. Muslim no. 4912). Betapa hebatnya doa orang Islam untuk Muslimin yang lain yang mana Malaikat akan mengaminkan doa tersebut dan mendoakan kembali untuk pendoa tadi.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengalami bencana banjir. Pada saat ini lah, kita sebagai rakyat Malaysia harus bersatu padu untuk membantu membangunkan semula semua yang telah diranapkan oleh banjir. Percayalah, terdapat banyak kebaikan yang dibawa oleh banjir besar kali ini jika kita melihat bencana ini sebagai titik tolak kepada perpaduan rakyat Malaysia. Semoga kita semua belajar dari kesilapan yang lalu untuk kesejahteraan di masa hadapan.