Ketepatan Ramalan: Reliti atau Fantasi
Disediakan oleh:
Dr. Zuriani Mustaffa
Pensyarah Kanan
Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian
Universiti Malaysia Pahang
Tahun 2014 melabuhkan tirai dengan genangan air mata rakyat Malaysia, terutamanya warga di Pantai Timur. Banjir besar yang melanda beberapa buah negeri, terutamanya Kelantan menyaksikan negeri Cik Siti Wan Kembang umpama hilang dari peta Malaysia. Air menutup sebahagian besar daratan, rakyat bukan setakat kerugian harta benda bahkan ada yang turut kehilangan ahli keluarga. Tiada siapa menduga pada tahun 2014, musim tengkujuh bukan sekadar menyapa warga Malaysia sebagaimana biasa, sebaliknya meninggalkan seribu satu pengajaran buat kita sama.
Dalam menghadapi situasi sebeginilah perlunya ramalan. Manusia dan ramalan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Bersesuaian dengan fitrah manusia yang sukakan kepada perkara-perkara yang baik sahaja membuatkan manusia suka meramal. Ini adalah untuk memastikan perancangan yang sewajarnya dapat dilakukan. Contohnya, para pelabur komoditi meramal turun naik harga demi meraih keuntungan dan meminimumkan risiko, Jabatan Meteorologi meramal taburan hujan untuk meramal kemungkinan banjir dan sebagainya. Namun tidak semua ramalan dilakukan demi kepentingan peribadi atau untuk persediaan awal. Ada juga yang meramal sekadar untuk suka-suka sahaja, contohnya para peminat bola sepak meramal kemenangan pasukan masing-masing (tanpa mengambil kira soal pertaruhan yang mungkin wujud).
Sebelum menulis dengan lebih lanjut, ingin dijelaskan di sini bahawa konteks ramalan yang akan dibincangkan di sini adalah bukan seperti ramalan nasib, ramalan bintang zodiak atau apa-apa ramalan yang dilarang di dalam Islam. Sebaliknya, ramalan yang akan dibincangkan adalah ramalan dalam konteks komputer sains namun diceritakan secara general agar mudah difahami masyarakat umum.
Sebagaimana masyarakat umum, komuniti akademik juga tidak terkecuali dalam bidang ramalan bahkan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan makalah ilmiah yang diharapkan dapat menyumbang kepada komuniti. Pelbagai algoritma telah digunakan oleh para ahli akademik dalam merapatkan jurang kadar kesalahan berbanding situasi sebenar. Dalam bidang komputer sains, penggunaan kaedah Mesin Pembelajaran (MP) atau dikenali sebagai "Machine Learning" terutamanya Rangkaian Neural Buatan (Artificial Neural Network) yang berasaskan keajaiban ciptaan otak manusia sememangnya tidak asing lagi. Dengan perkembangan ilmu yang semakin meluas, kaedah Mesin Sokongan Vektor (Support Vector Machines) yang berasaskan Teori Pengajaran Statistik (Statistical Learning Theory) mula memberikan saingan hebat. Algoritma-algoritma berkenaan bukan sekadar digunakan sebagai algoritma tunggal bahkan turut dimantapkan lagi dengan penghibridan dengan algorithma Kepintaran Gerombolan (Swarm Intelligence-SI) yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, contohnya seperti algoritma Optimisasi Koloni Semut(Ant Colony Optimization), Koloni Lebah Buatan (Artificial Bee Colony) dan banyak lagi. Berfungsi sebagai alat optimisasi, algoritma SI digunakan sebagai alat untuk mengoptimisasi parameter MP agar keputusan yang lebih baik dapat dicapai.
Namun begitu, sejauh mana kajian ramalan yang kita lakukan, untuk mendapatkan keputusan dengan ketepatan yang tinggi merupakan satu cabaran yang hebat. Malahan ada para ahli akademik mengatakan yang ramalan yang tepat adalah mustahil, namun ramalan yang buruk akan mendatangkan bahaya. Adakalanya, kadar peratusan secara keseluruhan yang dihasilkan agak memuaskan, namun apabila perbandingan yang lebih teliti dilakukan, keputusan menunjukkan masih banyak yang perlu diperbaiki.
Sejarah lalu telah membuktikan bahawa ramalan adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Tahukah anda bahawa pada tahun 1949, majalah Popular Mechanic meramal bahawa berat komputer adalah seberat 1.5 tan. Namun begitu, lebih setengah abad kemudian, kita semua melihat mendiang Steve Job tersenyum memegang komputer riba yang sangat nipis dengan hanya sebelah tangan. Mungkin kerana itulah ada yang mengatakan, ramalan merupakan satu seni untuk mengatakan apa yang bakal berlaku, dan kemudian menjelaskan kenapa ianya tidak berlaku.
Sebagai orang Islam, adalah tidak salah untuk kita meneroka ilmu, malahan itulah yang digalakkan oleh agama. Kita tidak boleh menafikan kepentingan ramalan. Situasi banjir yang telah disebutkan awal tadi merupakan contoh signifikan yang mudah difahami. Bermula dari gelombang pertama hingga ke gelombang ketiga, banjir besar tahun 2014 menjadikan beberapa buah negeri terutamanya Kelantan lumpuh. Tidak ada siapa yang menduga ini yang bakal dialami oleh warga Kelantan. Jika semua ini sudah diramal, pasti tidak ada yang terkejut melihat Manik Urai umpama sebuah lautan. Disinilah lahirnya kepentingan ramalan agar perancangan awal dapat disusun.
Kita perlu meramal. Ramalan adalah satu cabang sains yang ilmunya sudah terkandung di dalam Al Quran, hanya tinggal untuk diterokai oleh manusia. Namun, perlu juga diingat bahawa masa hadapan kekal sebagai rahsia Allah Maha Pencipta. Mungkin apa yang berlaku adalah tidak sebagaimana yang kita ramalkan. Namun di sebalik apa yang berlaku, ada hikmah yang telah ditentukan olehNya. Semoga kita tidak kufur, tidak hanya nampak ujian kesusahan yang diturunkan Allah, namun lupa seribu satu nikmat yang telah dianugerahkan olehNya sebelum ini. Wallahualam.