Cabaran Menjadi Pendidik Di Era Globalisasi
Disediakan oleh:
Dr. Hasnah Hussiin
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Pernahkah kita terfikir bagaimana kita boleh menjadi diri kita sekarang sama ada kita seorang professor, doktor, jurutera, pegawai kerajaan, pekerja sektor swasta, jururawat, polis, tentera, pengurus dan sebagainya. Siapa yang mendidik kita sehingga kita mampu berdikari dan mempunyai kerjaya dalam kelas kita yang tersendiri. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ia adalah hasil didikan para guru atau pendidik. Sama ada guru atau pensyarah, mereka merupakan gabungan dua dalam satu iaitu nama berbeza tetapi mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu mendidik anak bangsa. Kadang kala masyarakat melihat peranan pendidik tidak lebih dari mendidik anak bangsa tanpa mengetahui cabaran dan liku yang mereka terpaksa tempuh demi menunaikan tanggungjawab yang bukan mudah untuk dilakukan.
Secara umumnya, melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik telah melalui fasa yang berbeza iaitu masa kini yang lebih dikenali sebagai era globalisasi dan era zaman sebelum globalisasi. Menjadi pendidik di era globalisasi kini sangat mencabar. Apakah cabarannya? Antara cabaran yang paling besar adalah untuk mendidik anak bangsa mencintai ilmu. Dunia globalisasi hari ini memperlihatkan munculnya banyak gajet-gajet yang boleh menarik minat dan pada masa yang sama mengheret remaja untuk membuang masa dan tidak menghiraukan pelajaran. Kebanyakan remaja pada hari ini dilihat hanyut dan hidup dalam dunianya yang tersendiri bersama gajet-gajet tersebut. Kecintaan terhadap ilmu semakin berkurangan. Mengapa dikatakan demikian memandangkan remaja masa kini banyak menghabiskan masa melayani gajet-gajet berbanding membaca buku dan mengulangkaji pelajaran. Ini merupakan cabaran yang sangat hebat bukan sahaja kepada pendidik bahkan kepada negara memandangkan negara memerlukan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan tinggi untuk memimpin negara pada masa depan.
Cabaran seterusnya yang mungkin masyarakat di luar sana tidak terfikir adalah pendidik kini tidak lagi menjadi pendidik semata-mata, bahkan mereka juga melakukan pelbagai kerja di luar dari bidang kerja mereka. Perkara ini jika tidak diuruskan dengan baik mungkin akan menjejaskan tugas hakiki mereka iaitu mendidik anak bangsa. Bagi seorang pensyarah di IPT mereka dikehendaki menjalankan penyelidikan bergeran dan hasilnya mereka perlu menghasilkan produk apabila tamat penyelidikan. Ini amat membebankan sesetengah pensyarah kerana jika mereka tidak ada penyelidikan ia akan memberi kesan kepada markah SKT individu dan jabatan. Apatah lagi sekarang ini setiap universiti dan institusi berlumba-lumba untuk menghasilkan lebih banyak produk penyelidikan dan benda baru. Universiti yang kurang penyelidikan akan tercorot dan tidak popular di mata dunia. Selain itu, ada juga pendidik yang dilantik mengetuai jabatan-jabatan tertentu, menjadi penceramah, fasilitator dan penasihat kelab-kelab pelajar. Masa cuti juga telah dipenuhi dengan pelbagai kursus dan bengkel anjuran institusi bagi memantapkan lagi kerjaya setiap pendidik. Disebabkan itu, pendidik pada masa kini terpaksa bijak menguruskan masa agar tugas hakiki sebagai pendidik tidak terabai.
Menjadi pendidik pada masa kini memerlukan seseorang yang tinggi ilmunya. Ini bermakna seseorang pendidik tidak boleh berpuas hati dengan tahap pendidikan yang dimiliki kini. Justeru itu, dapat dilihat ada antara guru-guru yang dihantar oleh jabatan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika sebelum ini mereka memiliki diploma, maka mereka perlu menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan jika sebelum ini mereka guru lulusan ijazah maka mereka akan dinasihatkan untuk sambung belajar ke peringkat sarjana. Manakala jika anda sebagai pensyarah pula, kebanyakannya akan dinasihatkan oleh pihak universiti untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah. Setiap universiti pada hari ini juga memerlukan lebih ramai pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah dan ini secara tidak langsung akan menaikkan nama sesebuah universiti. Bagi menyahut seruan tersebut ada antara pendidik yang menyambung pelajaran secara sepenuh masa dan separuh masa. Cabaran sangat besar jika seseorang pendidik itu belajar sambil bekerja kerana mereka perlu bijak menguruskan masa untuk bekerja, belajar, keluarga dan juga urusan kewangan.
Sekolah pada masa ini berusaha untuk menjadi sekolah cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan juga STPM. Setiap sekolah ada targetnya sendiri. Untuk merealisasikan target tersebut maka guru-guru terpaksa bekerja keras bagi memastikan pelajar mencapai target sekolah dan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Di sini dapat dilihat tugas seorang guru tanpa henti dan mengenal penat lelah berusaha mengadakan kelas tambahan dan tusyen pada sebelah petang dan malam. Semuanya bagi mencapai target yang diharapkan. Barangkali sesiapa juga boleh bayangkan tugas seorang guru dari pagi sampai malam tanpa henti. Itulah jasa guru untuk menaikkan nama sekolah dan institusi dan terpaksa mengorbankan masa-masa berharga mereka.
Zaman globalisasi juga memperlihatkan pelbagai pengaruh positif dan negatif kepada kehidupan masyarakat masa kini. Kesan negatif seperti gejala sosial seakan menjadi makanan muda mudi dan golongan remaja masa kini. Dalam hal ini pelajar sekolah dan IPT tidak terkecuali dari menerima tempias kesan negatif tersebut. Antaranya ada dalam kalangan para pelajar masa kini yang terjebak dengan gejala sosial seperti masalah disiplin, pergaulan tanpa batasan, terpengaruh dengan budaya kuning, merokok, buli, pengaruh negatif melalui gajet-gajet canggih yang mereka miliki dan sebagainya. Keadaan ini sebenarnya boleh mencemarkan nama baik sekolah dan universiti apabila ada kalangan pelajarnya yang terlibat dengan dadah, anak luar nikah, judi, kaki cyber dan lain-lain gejala yang bertentangan dengan budaya orang Timur atau Islam. Masalah ini memberikan tamparan hebat kepada guru dan para pendidik kerana di samping mendidik anak bangsa dengan ilmu-ilmu dunia, mereka juga perlu berperanan mendidik dan menasihati anak bangsa dengan didikan keagamaan, kaunseling dan moral dengan penuh berhemah. Walau pun pada dasarnya ia merupakan tanggungjawab ibu bapa di rumah, namun pada hari ini tugas tersebut telah dipikul oleh pendidik memandangkan sekolah atau universiti adalah ibu bapa kedua kepada para pelajar.
Akhir sekali adalah cabaran dalam aspek pengajaran dan pembelajaran. Jika masa dahulu, pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah dan bilik kuliah bertemankan papan hitam dan kapur atau pen marker. Kini zaman sudah berubah. Para pendidik terpaksa mempelajari teknik-teknik terbaru serta alat bantuan mengajar yang lebih canggih. Para pendidik kini perlu pandai dan perlu bijak menggunakan teknologi yang ada bagi disesuaikan dengan pengajaran dalam kelas. Para pendidik tidak boleh bersikap tradisional dalam menyampaikan ilmu kerana generasi IT tidak sama dengan generasi papan hitam dan kapur pada masa dahulu. Dalam hal ini para pendidik masa kini perlu mempersiapkan diri dengan kaedah pengajaran menggunakan teknologi terkini yang lebih cepat, efektif dan yang paling penting ia perlu berjaya menarik minat pelajar untuk belajar. Segala kaedah terkini mengenai pembelajaran secara dalam talian umpamanya perlu dipraktikkan. Semua ini merupakan cabaran kepada pendidik kerana mereka perlu berusaha bagi memastikan sesi pembelajaran dalam kelas dapat membantu pelajar untuk lebih memahami apa yang telah dipelajari dengan menggunakan apa saja teknologi terkini. Pendidik yang tidak mempraktikkan teknologi dalam pengajaran akan dianggap ketinggalan zaman.
Walau apapun cabarannya dan walaupun teknologi sentiasa berubah, tugas dan tanggungjawab pendidik tetap sama iaitu mendidik anak bangsa. Tugas hakiki mereka iaitu mendidik tidak boleh diketepikan memandangkan jika cara didikan salah, maka kesannya sangat besar kepada pembangunan modal insan pada masa akan datang. Begitu juga dengan sekolah dan IPT, peranan mendidik haruslah menjadi keutamaan daripada hal-hal yang lain.