Belia Perlu Versatil Menceburi Bidang Keusahawanan
Disediakan oleh:
Dr. Zuraina Ali
Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan
KTP Trans-B (Modul Keusahawanan)
Universiti Malaysia Pahang
Tuntutan kerja dewasa ini banyak memerlukan para belia untuk berdikari walaupun ada dikalangan mereka yang telah bergraduat daripada Institusi Pengajian Tinggi. Terdapat diantara mereka yang meminati bidang keusahawanan namun kurang arif akan ilmu yang perlu dituntuti untuk mengusasai bidang ini. Di dalam seminar Keusahawanan Belia anjuran Majlis Belia Negeri (MBN), Muhamad Yusoff Mohd Noor yang merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Fokus Pembangunan Belia, Wanita dan Kesejahteraan Rakyat, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang menyarankan para belia perlu menjalani transformasi minda untuk berjaya di dalam bidang keusahawanan. Justeru, amalan sikap positif dan budaya kecemerlangan perlu dipupuk dalam diri setiap para belia. Walaubagaimanapun, cabaran utama menerokai bidang ini ialah untuk menjadi versatil sebagai seorang usahawan. Huraian seterusnya membincangkan pendekatan yang praktikal untuk menjadi seorang yang berbakat didalam bidang ini.
Salah satu di antara cara untuk menjadi versatil didalam bidang keusahawanan adalah dengan memasarkan diri melalui penyertaan sebagai ahli dalam persatuan profesional. Para belia seharusnya aktif dalam aktiviti yang dijalankan oleh badan keusahawanan profesional didalam mahupun di luar negara. Mereka perlu menghadiri jamuan makan tengahari atau makan malam sekali sebulan anjuran persatuan professional bagi memupuk people skills dengan berkenalan dengan ahli baru. Langkah ini secara langsung bukan sahaja dapat mendaftarkan diri para belia untuk menjadi ahli dalam badan keusahawanan professional tetapi mereka juga dapat menambah kenalan yang mempunyai minat yang sama didalam bidang keusahawanan. Jadikan keahlian didalam badan professional ini sebagai ruang untuk bertukar pandangan dengan rakan-rakan baru. Penyertaan mereka juga dapat memberi peluang untuk menyertai bengkel yang diadakan oleh persatuan tersebut.
Melibatkan diri didalam bidang penulisan adalah salah satu cara untuk menjadi seorang usahawan versatil. Idea yang dilahirkan melalui penulisan dapat mencipta peluang untuk mereka lebih dikenali dan seterusnya membuka ruang untuk bergiat didalam bidang keusahawanan. Malahan dengan kerajinan para belia menulis, idea mereka akan dapat dijual dimana-mana. Untuk mendapatkan idea penulisan, pengalaman belia sendiri berkecimpung dalam bidang keusahawanan adalah modal utama. Idea mereka ini seterusnya boleh dimuatkan di dalam buku, E-book dan rakaman audio. Dengan menulis, para belia sebenarnya dapat merebut peluang kedua jika mereka mampu memberi ceramah atau menjadi fasilitator dengan menengahkan idea yang ditulis oleh mereka. Bahkan, menjadi penceramah merupakan jalan pintas untuk para belia menjadi seorang pakar didalam bidang keusahawanan. Mereka boleh memulakan langkah untuk berkecimpung sebagai penceramah dengan menghubungi pertubuhan keusahawanan ataupun memberi ceramah secara percuma.
Membaca merupakan resepi untuk menambah ilmu dan seterusnya membantu para belia menjadi versatil didalam bidang keusahawanan. Untuk melibatkan diri dalam bidang ini, para belia perlu membaca untuk mendapatkan pengetahuan mengenai bidang yang diminati ini. Malahan membaca adalah asas kepada bidang keusahawanan. Ilmu yang diperolehi daripada pembacaan dapat membuka ruang untuk para belia memulakan perbualan dan secara tidak langsung membina persahabatan dengan kenalan baru. Pembacaan juga dapat mengembangkan minda para belia dan seterusnya membantu mereka untuk membina rangkaian perniagaan. Membaca mengajar para belia mengetahui perbendaharaan kata tertentu atau jargon di dalam bidang keusahawanan. Justeru, belilah majalah atau buku yang berkaitan dengan keusahawana atau perniagaan agar idea-idea baru dapat membantu para belia lebih cemerlang dalam bidang ini. Secara khusunya, buku-buku yang yang berkisahkan mengenai Perniagaan, Kepimpinan dan Pembangunan Peribadi dapat membantu para belia untuk membangunkan skil keusahawan. Walaubagaimanapun, perkara paling penting untuk diingati adalah mereka perlu bersedia untuk mempraktikkan apa yang telah dibaca.
Teknologi komunikasi yang serba canggih iaitu internet dapat membantu para belia untuk menjadi usahawan versatil. Malahan mereka juga mampu untuk memulakan bidang keusahawanan maya melalui e-dagang atau perdagangan elektronik. Penggunaan Facebook, Instagram, Twitter, My Space dan seumpamanya dapat membantu mereka untuk berbuat demikian. Media sosial ini dapat dijadikan platform untuk para belia dikenali serta membolehkan usahawan lain dan orang awam mengetahui perniagaan yang ditawarkan oleh mereka. Pandangan, tunjuk ajar serta pengalaman daripada sesama belia dapat membantu diri masing-masing untuk berkembang didalam bidang keusahawanan. Penggunaan Twitter, umpamanya, dapat membantu para belia untuk berjumpa dengan seseorang yang berpotensi untuk dijadikan rakan kongsi. Melalui Facebook, para belia dapat memberikan semangat serta perangsang sesama sendiri dengan menekan Share, Comment dan Like. LinkedIn walaupun digunakan oleh golongan profesional, merupakan salah satu platform yang sesuai untuk membina kenalan diperingkat antarabangsa. Kemudahan yang disediakan oleh media sosial ini dapat memperkenalkan para belia kepada bakal pelangggan mereka.
Bagi para belia yang pro-aktif, mereka boleh menghubungi para individu yang berjaya dalam bidang keusahawanan. Sememangnya banyak ilmu yang dapat dipelajari daripada pengalaman para individu ini. Tidak dapat disangkalkan bahawa usahawan yang berjaya ini adalah orang yang luar biasa dan mereka dapat memberikan idea yang cemerlang dan lain daripada yang lain terutamanya dalam mencipta produk dan memberi servis yang mampu mengubah kehidupan manusia. Para belia seharusnya mendapatkan resipi kejayaan para usahawan yang telah berjaya sebagai panduan untuk mereka berjaya pada satu hari nanti. Secara khususnya apabila para belia bertemu dengan usahawan yang berjaya, mereka harus mendapatkan rahsia kejayaan mereka dengan mengetahui ciri keperibadian yang dimiliki oleh para usahawan ini. Belajar daripada mereka mengenai bagaimana para belia dapat membina minda yang cemerlang, optimis, bervisi, berinitiatif, serta bersemangat jitu didalam bidang keusahawanan.
Secara kesimpulannya, pendekatan didalam bidang keusahawan adalah luas dan para belia perlu berani untuk mencuba kesemua peluang yang berada disekeliling mereka. Menjadi usahawan memerlukan pengorbanan dan secara praktikalnya mereka harus mampu untuk menanggung segala risiko dan kemungkinan. Namun kesemua ini dapat diatasi jika para belia mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang ini. Oleh itu, sebelum para belia memulakan langkah didalam bidang ini, mereka perlu memastikan bahawa pulangan yang mereka perolehi satu hari nanti adalah untuk kepuasaan peribadi dan bukannya sesuatu yang dilakukan secara paksaan kerana natijahnya akan hanya membawa kepada kehampaan.