Budaya Pemberian Duit Raya
Disediakan oleh:
Dr. Noor Raha Mohd Radzuan
Pensyarah Kanan,Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Bulan Ramadhan sudah hampir ke penghujung dan lagu-lagu raya sudah mula berkumandang di corong-corong radio serta televisyen. Anak-anak kecil yang paling gembira bila tiba hari raya. Duit raya, baju raya, kasut raya, tudung raya, songkok raya adalah antara perkara yang tidak boleh tidak ada bila hari raya menjelang. Kebanyakan persiapan tersebut telah disediakan pada awal bulan Ramadhan lagi, malah ada yang sudah membeli sebelum Ramadhan tiba. Hanya duit raya yang akan diberikan pada hari raya nanti.
Budaya bersalaman
Pengalaman semasa kecil membuatkan kita yang dewasa memahami keseronokan anak-anak kecil mendapat duit raya. Pada masa dahulu, walaupun diberikan 50 sen sebagai duit raya, anak-anak kecil sudah amat gembira. Masa berlalu dengan pantas, zaman berubah. Pemberian duit 50 sen sebagai duit raya sudah ditelan zaman. Pada zaman serba canggih ini, jumlah minimum duit raya sekurang-kurangnya RM1 yang mana nilainya adalah lebih kurang sama dengan 50 sen pada zaman dahulu. Setiap kali bersalaman dengan bapa saudara atau ibu saudara, mereka pasti menghulurkan duit raya. Ibu bapa akan memastikan anak-anak kecil ini menyimpan duit raya yang diterima dengan baik.
Antara budaya yang baik diterapkan sebelum menerima duit raya adalah anak kecil itu mesti bersalaman dengan orang tua dahulu. Budaya bersalaman adalah contoh budaya yang baik, walau pun dikatakan kita menggalakkan anak-anak kecil untuk meminta duit raya. Dari sudut yang positif, dengan bersalaman juga, kita akan dapat mengenali anak-anak saudara yang jauh yang mungkin hanya ketika hari raya sahaja kita berjumpa. Dari segi sosial, bersalaman adalah satu tanda kemesraan sesama insan. Ia juga adalah simbol penghormatan antara generasi muda dan tua. Dalam konteks hari raya, bersalaman sebelum memberi duit raya kepada anak-anak kecil dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara. Ramai ibu bapa yang mengajar anak-anak kecil mencium tangan orang tua semasa bersalaman dan ini adalah perkara yang baik, kerana ia mengajar anak-anak kecil itu mengenai status generasi serta konsep penghormatan. Dari sudut pandangan Islam, Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang yang bersalaman. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, yang bererti:
Sesungguhnya seorang muslim itu jika bertemu saudaranya kemudian bersalaman oleh kedua-duanya, maka gugurlah dosa-dosa mereka sebagaimana berguguran daun-daun dari pokok yang kering ditiup oleh angin kencang, melainkan kedua-duanya diampuni semua dosa mereka meskipun banyak seperti buih di lautan. (Hadis Riwayat Thibrani)
Ketika mereka sudah baligh, ibu bapa haruslah mengajar anak-anak tentang mahram dan menekankan hanya yang mahram sahaja dibenarkan bersalam, yang bukan mahram, adalah haram pula untuk bersalam.
Galakan solat lima waktu
Para ibu bapa juga harus menekankan mengenai solat lima waktu semasa mengerjakan puasa. Ada sesetengah kita terlepas pandang mengenai kewajipan solat di dalam mengajar ibadah puasa kepada anak-anak kecil kita. Ada yang berpuasa penuh 30 hari, tetapi tidak cukup solat 5 waktu sehari semalam. Hal ini adalah bercanggah dengan ajaran agama iaitu solat adalah tiang agama. Solat 5 waktu wajib ditunaikan. Bagaimana duit raya dapat memotivasikan anak-anak kecil bersolat 5 waktu? Ada sesetengah ibu bapa akan memberikan duit raya berdasarkan jumlah hari anak-anak berpuasa penuh. Contohnya, jika anak itu berpuasa 30 hari, maka duit raya yang akan diterima adalah RM30. Sekarang, cuba kita guna taktik baru, iaitu jumlah hari berpuasa bergantung kepada cukupnya solat 5 waktu. Contohnya, jika dia berpuasa penuh 30 hari, tetapi hanya 15 hari solatnya cukup 5 waktu, maka duit rayanya akan dipotong dan dia hanya akan diberi duit raya sebanyak RM15. Dalam hal ini, anak-anak kecil disarankan mempunyai kalendar puasa dan solat di mana mereka boleh menandakan hari-hari yang cukup puasa dan cukup solat. Mudah-mudahan dengan cara ini, anak-anak kecil kita akan terlatih untuk berpuasa serta cukup solat 5 waktu. Secara tidak langsung, kita juga telah menekankan kewajipan solat 5 waktu di samping berpuasa pada bulan Ramadhan.
Galakan menabung
Apabila mendapat duit raya, ada sesetengah anak kecil yang kehilangan duit rayanya. Hal ini adalah kerana mereka tidak tahu mengenai kelebihan menabung. Sebagai ibu bapa, itu adalah peranan kita untuk mendidik mereka untuk menabung. Ibu bapa haruslah memastikan anak anak kecil mereka menyimpan duit raya yang diterima dengan sebaik-baik mungkin. Kita boleh belikan tas tangan atau dompet untuk mereka meletakkan duit raya itu. Kita juga harus memantau proses menyimpan duit raya itu. Aktiviti mengira duit raya adalah perkara yang amat disukai oleh anak-anak. Mereka berlumba-lumba untuk menjadi orang yang paling banyak mengumpul duit raya dalam kalangan adik-beradik. Di sinilah peranan ibu bapa, kita haruslah menggalakkan mereka menabung duit raya yang diterima. Ajaklah mereka ke bank untuk menyimpan duit raya supaya mereka merasa lebih bertanggungjawab dan tahu proses yang berlaku di bank. Bagi anak-anak yang sudah besar, berikan mereka tanggungjawab untuk menekan butang nombor giliran, mengisi borang menyimpan wang dan pergi ke kaunter bersama adik-adik yang lebih kecil.
Berikan mereka peluang untuk melihat jumlah wang yang terkumpul di dalam buku bank tersebut. Sebelum menyimpan duit raya di bank, berikan 25 peratus dari jumlah duit raya untuk anak anak membeli barang yang mereka ingini. Perkara ini adalah salah satu galakan untuk anak-anak kecil menabung kerana dengan ini mereka tahu yang mereka akan mendapat ganjaran dari menabung. Malah duit raya itu adalah hak mereka. Mereka akan lebih gembira untuk menabung pada masa akan datang.
Justeru, pemberian duit raya sempena AidilFitri ini bukanlah satu budaya yang tidak memberikan kebaikan, walaupun ada yang mengatakan bahawa pemberian duit raya ini mengajar anak-anak menjadi materialistik. Lihatlah dari segi positifnya. Semoga Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat memberikan kita banyak kebaikan di dunia dan di akhirat.