Mengurus Kehidupan Di Masa Kegawatan Ekonomi
Disediakan oleh :
Dr. Hasnah Hussiin
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Kegawatan ekonomi merupakan satu igaun ngeri bagi sesebuah negara bangsa sama ada ia sebuah negara maju, membangun apatah lagi negara kurang maju. Walaupun ia memberikan reaksi dan kesan yang berbeza bagi sesebuah negara, tetapi perasaan rakyat tetap sama iaitu sudah pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada kehidupan mereka. Dalam hal ini, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa tidak terkecuali terkena tempias kegawatan ekonomi dunia yang berlaku di sekitar tahun 1997. Sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang mahasiswa pada masa itu, penulis ingin berkongsi pengalaman pahit manis mengalami sendiri suasana semasa negara ditimpa kegawatan ekonomi. Pendedahan pengalaman berharga ini bukan bermaksud untuk mengatakan kegawatan ekonomi itu tidak baik, tetapi lebih kepada untuk menyedarkan para pembaca di luar sana bahawa di sebalik kegawatan ekonomi, ada rahsia dan hikmah yang terbaik untuk sesiapa sahaja. Diharap dengan pendedahan pengalaman ini akan menjadikan pembaca di luar sana lebih bersedia dan berlapang dada jika sekiranya negara ini ditimpa kegawatan ekonomi.
Apa yang dapat saya lihat sebagai seorang mahasiswa yang baru tamat pengajian, kegawatan ekonomi yang melanda telah menyebabkan banyak sektor pekerjaan membekukan pengambilan pekerja. Pelbagai kerja telah saya mohon semuanya tidak berjaya disebabkan kebanyakan majikan ingin mengurangkan kos dan mereka begitu selective dalam memilih pekerja. Disebabkan itu, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan agar saya dapat diserap menjadi guru. Memang saya meminati bidang perguruan sejak kecil dan saya memang bercita-cita tinggi untuk menjadi guru. Walau bagaimanapun, bidang pengkhususan yang saya minati sudah penuh dan permohonan saya telah ditolak. Akhirnya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di salah sebuah universiti awam tempatan yang juga universiti tempat saya menghabiskan pengajian peringkat Sarjana Muda. Saya akhirnya akur, walaupun saya lebih berminat untuk mengenggam diploma pendidikan, tetapi nampaknya itu bukan rezeki saya. Bermula dari sini, saya telah diberikan peluang untuk menjadi Tutor/pengajar dan akhirnya apabila tamat pengajian peringkat Sarjana saya telah ditawarkan pula menjadi pensyarah di beberapa IPTS dan juga universiti awam tempatan. Seterusnya saya menyambung lagi pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan kini saya mempunyai kerjaya yang tidak pernah saya impikan iaitu sebagai pensyarah yang mempunyai status dan tanggungjawab yang tersendiri. . Apa yang berlaku telah menjadi iktibar kepada saya bahawa, kegawatan ekonomi yang lalu telah meletakkan diri saya ke peringkat yang lebih tinggi dari apa yang saya cita-citakan selama ini. Sejak dari itu, saya tidak lagi melihat kegawatan ekonomi sebagai satu musibah tetapi ia terkandung seribu hikmah yang boleh mengubah kehidupan seseorang menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.
Apa yang pasti masa depan adalah terletak atas kebijaksanaan seseorang itu menguruskan kehidupannya. Dalam hal ini, semasa kegawatan ekonomi, rakyat Malaysia perlu bijak bukan sahaja dalam menguruskan kewangan keluarga malahan mereka juga harus bijak mencari peluang untuk menambahkan pendapatan. Saya katakan begitu kerana masa kini tidak sama dengan zaman dahulu. Dunia hari ini menuntut setiap dari kita untuk bekerja keras dan perlu mencari pendapatan tambahan disebabkan taraf hidup yang semakin meningkat dan ia telah memberi kesan kepada penduduk yang tinggal di bandar mahupun di luar bandar.
Sebenarnya ada banyak pekerjaan di dunia ini yang tidak memerlukan modal atau modal yang banyak tetapi boleh memberikan hasil yang lumayan. Di sini saya gariskan beberapa pekerjaan yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan berminat serta boleh berkorban masa dan tenaga. Langkah pertama adalah tanyalah diri anda apa minat anda atau hobi anda? Adakah anda seorang yang suka menjahit, menulis, memasak, melukis dan sebagainya? Sebenarnya daripada hobi atau minat tersebutlah yang perlu kita pupuk dan jadikan ia sebagai hobi yang boleh mendatangkan pendapatan kepada anda. Di sinilah saya katakan rakyat Malaysia perlu bijak cari pendapatan tambahan.
Saya ambil satu contoh hobi yang boleh dikomersilkan iaitu menulis. Jika seseorang itu bekerja atau bekerjaya serta mempunyai masa yang suntuk untuk mencari pendapatan sampingan, menulis adalah jalan yang terbaik. Ini kerana menulis tidak memerlukan masa yang spesifik cuma ia bergantung kepada kebolehan seseorang mengaturkan masa terluang untuk menulis. Menulis membuatkan anda fleksibel, kerana anda boleh mencanai idea untuk menulis bila-bila masa di mana jua yang anda selesa. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bahawa menulis boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan. Pada hari ini sudah terdapat dalam kalangan wanita terutamanya yang sanggup berhenti kerja makan gaji semata-mata ingin menumpukan perhatian kepada kerja-kerja menulis.
Dunia penulisan kini telah mendapat tempat dan sambutan yang menggalakkan seperti penulisan kreatif, novel, bahan akademik dan bukan akademik. Justeru itu, tidak hairanlah ada yang sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menulis. Ingat!!! ada individu yang sudah menjadi jutawan hanya dengan menulis. Tengok sahaja novel Harry Potter yang telah membuatkan penulisnya jadi billionaire. Perkara ini tidak mustahil untuk rakyat Malaysia mencipta sesuatu karya penulisan yang boleh diterima di seluruh dunia. Malaysia juga telah mempunyai beberapa orang penulis yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan hanya dengan menulis novel.
Mungkin ramai di antara kita yang ingin menulis tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula, di mana harus bermula dan nak menulis pasal apa. Sebenarnya setiap orang pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain. Ada juga yang tidak perasan bahawa setiap orang pasti ada cerita sepanjang hidupnya. Ayuhlah berkongsi dengan orang di luar sana sama ada ia dalam bentuk pengalaman hidup, pengalaman rumahtangga, alam pekerjaan, travelog, dan sebagainya. Di kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang baru belajar hendak menulis. Ada banyak peluang untuk kita menulis sama ada di suratkhabar, majalah, novel, buku dan sebagainya. Di sini saya berikan sedikit tips secara umum bagaimana untuk seseorang itu memulakan penulisan.
Perkara yang pertama, idea akan datang bila-bila masa dan di mana jua. Oleh itu, kita mesti pandai menguruskan idea tersebut. Tidak perlu menyimpan idea itu mengikut susunan. Yang penting simpan sahaja idea tersebut secara lakaran di sana sini yang anda selesa. Secara amnya, apabila seseorang itu menyimpan hasrat untuk menulis sesuatu, idea itu akan datang sama ada semasa anda bekerja, memandu, berehat, bersembang bersama rakan, membeli belah dan sebagainya. Tugas anda adalah mencatat apa jua idea yang datang.
Perkara yang kedua, tidak perlu memikirkan apakah yang hendak ditulis untuk intro atau permulaan cerita, andainya anda ada idea untuk bab pertama atau bab akhir tulis sahaja. Ini kerana idea yang datang tidak mengikut susunan seperti mana yang kita inginkan. Tidak perlu khuatir kerana suatu masa kita akan susun semula idea itu mengikut turutan. Ada sesetengah penulis terpaksa berhenti di tengah jalan atau tidak mahu meneruskan penulisan disebabkan tidak mendapat idea hendak memulakan penulisan. Jadi dalam hal ini, menulis tidak perlu mengikuti proses yang rigid kerana pada peringkat awal sudah memadai seseorang itu sekadar melakarkan idea.
Seterusnya, tulislah apa sahaja yang anda suka sama ada ia berbentuk pendapat, buku rujukan andainya seseorang itu guru atau pensyarah dan novel atau penulisan kreatif berdasarkan pengalaman hidup anda atau pengalaman orang lain, atau berdasarkan keadaan dan isu masyarakat sekeliling. Semua itu boleh kita bukukan kerana pengalaman dan kisah hidup setiap manusia adalah berbeza-beza. Terpulanglah kepada diri individu itu sendiri untuk menggarapnya menjadi sesuatu yang menarik untuk dibaca oleh orang di luar sana.
Akhir sekali, tulislah atau catatlah di mana sahaja anda selesa sama ada komputer riba atau dalam buku dan sentiasa membawa buku nota untuk mencatat. Dewasa kini terlalu banyak gajet-gajet yang boleh membantu anda menyimpan idea penulisan walaupun tidak membawa buku nota. Jadi gunakanlah gajet-gajet ini untuk membantu anda menyimpan memori atau idea penulisan anda. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, jika kita sudah berniat untuk menulis sesuatu perkara, Yang Maha Kuasa akan melontarkan idea kepada kita di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja seperti semasa memandu, dalam bas, semasa melepak, masa tengah bercuti, tengah bershopping, tengah bersembang dengan member, semasa mandi dan sebagainya. Jom tambah pendapatan dengan menulis kerana menulis tidak memerlukan modal, cuma perlukan sedikit masa dan tenaga. Jika kena dengan gaya, pendapatan lumayan menanti anda. Walau bagaimanapun, untuk menjadi penulis yang versatile, anda perlu sentiasa menambah ilmu di dada kerana garapan idea juga memerlukan ilmu dan pengetahuan.