Cara Hebat Menjadi Usahawan Belia E-dagang
- Disediakan oleh:
- Ida Rizyani Tahir
Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri - Dr. Zuraina Ali
Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan - Universiti Malaysia Pahang
“Tengok, ini barangan yang aku beli online,” sapa Nurain kepada rakannya, Zaima. Dia menunjukkan beg tangan yang baru dibelinya “Eh, tengok-tengok. Bila engkau beli beg tangan ini?,” soal Zaima kepada Nurain bertanyakan mengenai beg yang baru dibelinya. “Order tiga hari yang lepas. Hari ini sudah dapat. Guna pos laju sahaja,” jelas Nurain dengan panjang lebar. “Lagi satu, aku senang berurusan dengan distributor ini sebab dia akan respon cepat kalau kita ada apa-apa pertanyaan,” terang Nurain lagi seolah mencadangkan kawannya, Zaima, untuk membeli secara atas talian. “Cantiklah, Nuraian. Aku pun bercadang hendak membeli sebuah beg tangan untuk dihadiahkan kepada ibuku sempena hari ulang tahunnya nanti,” jelas Zaima yang membelek-belek dan menggayakan beg tangan yang dibeli rakannya itu. “Cantikkan, Zaima?,” Nuraian bertanya sambil benaknya membayangkan anggunya dia memakai beg berjenama yang dibeli secara talian ke pejabat nanti.
Perbualan di atas menggambarkan seorang pelanggan yang berpuas hati setelah berjaya membeli sebuah produk secara talian. Pembelian secara ini merupakan cara mudah untuk membeli barangan bagi masyarakat secara amnya dan ianya juga telah menjadi gaya terkini bagi para belia khususnya. Pendekatan seperti ini sebenarnya mempermudahkan pengguna membeli pelbagai barangan yang tidak memerlukan mereka untuk memandu ke destinasi membeli belah. Melalui pendekatan ini juga, sesiapa sahaja boleh menjadi seorang usahawan, apatah seorang belia. Walau bagaimanapun, para belia yang ingin memulakan perniagaan secara e-dagang ini perlu menguasai dan memiliki ciri-ciri tertentu bagi menjadikan mereka seorang usahawan yang hebat.
Perkasakan komitmen dan keazaman
Keazaman dan komitmen bergiat di dalam kerjaya e-dagang berakar umbi daripada mempercayai kejayaan perniagaan atas talian itu sendiri. Para belia yang ingin menceburi diri dalam perniagaan atas talian perlu mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan diri mereka berjaya berkecimpung dalam bidang ini. Hal ini juga bermakna para belia bersedia untuk mengorbankan masa untuk keinginan peribadi seperti yang normal dilakuakn oleh belia lain pada usia mereka dan seterusnya juga perlu bersedia untuk bekerja lebih masa.
Melalui komitmen yang jitu kepada perniagaan e-dagang, ianya secara tidak langsung dapat memberi pengetahuan kepada diri para belia itu sendiri walaupun mereka tidak mendapat hasil yang segera dalam menjual produk mereka. Sekurang-kurangnya jika mereka meneruskan usaha itu dengan sabar sudah tentuya mereka akan mendapat kejayaan dan keuntungan pada satu hari kelak. Selain itu, untuk memberi keazaman kepada diri para belia, mereka mestilah menyenaraikan ‘wishlist’ atau sasaran keuntungan untuk diperolehi pada satu jangka masa. Ini juga akan dapat meningkatkan keazaman seseorang belia yang mengusahakan perniagaan e-dagang. Mereka perlu menyasarkan angka yang perlu dicapai untuk memandu mereka kearah matlamat yang disasarkan.
Serlahkan kreativiti tersendiri merancana strategi pemasaran
Para belia yang berminat untuk berkecimpung dalam perniagaan e-dagang perlu kreatif dalam merangka taktik untuk memasarkan barangan yang hendak diniagakan. Mereka perlu menggunakan ayat-ayat menarik untuk memikat pembeli barangan yang dijual. Walau bagaimanapun, idea kreativiti juga bergantung kepada jenis perniagaan e-dagang yang dikendalikan oleh para belia.
Umpamanya, terdapat ramai dalam kalangan belia wanita yang menjual kek cawan secara e-dagang. Terdapat pelbagai blog menawarkan perkhidmatan ini dengan mengiklankan pelbagai cara untuk memasarkan produk yang dihasilkan seperti meletakkan gambar kek cawan yang dipesan oleh pelanggan, kemudahan menghantar kek cawan ke rumah serta mengambil kek cawan di lokasi-lokasi yang tertentu. Ini adalah cara biasa yang diamalkan oleh para peniaga e-dagang untuk memasarkan produk mereka.
Oleh itu, para belia perlu berfikir dengan lebih mendalam tentang cara yang boleh digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli kek cawan yang mereka tawarkan. Para belia juga perlu mencipta personaliti tertentu yang boleh dikatkan dengan kek cawan yang hendak dipasarkan. Hal ini perlu bagi memperlihatkan perbezaan serta keunikan kek cawan yang mereka jual berbanding penjual yang lain. Dalam hal ini, tidak ada sebarang petunjuk khusus bagi mencipta kelainan atau keunikan produk yang ditawarkan. Mereka boleh menggunakan gerak hati dalam mencari kelainan terhadap produk yang hendak dipasarkan. Malah para belia juga boleh mencipta personaliti penjenamaan yang lucu agar kek cawan yang dihasilkan dapat memberi kesan tersendiri dihati pelanggan mereka.
Gagahkan diri bagi tempoh enam bulan pertama berniaga
Bagi memastikan para belia berjaya dalam bidang e-dagang, mereka tidak boleh mengalah bagi tempoh enam bulan pertama memulakan berkecimpung dalam perniagaan jenis ini. Hal ini kerana dalam tempoh ini, pelbagai cabaran akan mereka hadapi seperti menjenamakan produk, membina rangkaian maklumat, hubungan dengan pelanggan, penyebaran maklumat dan sebagainya. Mereka tidak digalakkan untuk mengebumikan impian mereka untuk menjadi usahawan e-dagang jika mereka tidak mendapat keuntungan sebaik sahaja mereka memulakan sesebuah perniagaan. Ini kerana didalam mana-mana bidang perniagaan yang diceburi, seseorang usahawan memerlukan masa untuk membina akar perniagaan. Malahan para belia yang menceburi bidang e-dagang tidak boleh mengharapkan keuntungan yang segera.
Para pakar mencadangkan agar para belia terus bertahan dan tidak berputus asa untuk enam bulan pertama menceburi bidang ini. Mereka juga tidak digalakkan berhenti daripada bekerja sepenuh masa dalam tempoh enam bulan pertama menjalankan perniagaan menggunakan platform ini. Malah pakar juga menganjurkan agar mereka yang terlibat dalam bidang e-dagang mempelbagaikan sumber kewangan daripada saluran internet. Jika para belia ingin membina rangkaian perniagaan e-dagang menerusi laman blog umpamanya, platform tersebut tidak harus digunakan semata-mata untuk menceritakan kehendak peribadi mereka untuk berjaya dalam bidang ini. Bahkan blog tersebut sebenarnya perlu digunakan untuk menceritakan mengenai pembaca – tentang cara bagaimana para belia dapat menolong mereka.
Bersedia untuk menjual sesuatu yang berlainan
Sesebuah produk yang hendak dipasarkan secara talian haruslah berlainan daripada produk yang terdapat di pasaran. Ini bermakna ianya tidak terdapat di pasaran biasa. Adakala produk tersebut tidak terdapat di Malaysia dan jika para belia bercadang untuk menjual wangian, contohnya, ianya adalah satu keputusan yang baik kerana wangian digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Untuk ini, para belia perlu mengetahui tentang cara untuk mendapatkan pembekal dari luar. Peluang berniaga secara e-dagang ini akan lebih mudah jika mereka mempunyai rakan taulan atau sedara mara yang tinggal di negara asing. Walau bagaimanapun kerjasama yang jitu perlu wujud dan terjalin antara orang perseorangan yang berada di seberang laut dengan mereka yang berada di Malaysia. Ada juga para belia yang belajar diluar negara membuat perniagaan secara e-dagang dengan memilih untuk menjual produk ternama seperti Corelle. Justeru bagi pelajar yang berada di Amerika Syarikat, ini adalah satu cara yang bijak untuk berkecimpung dalam bidang e-dagang kerana mereka dapat membeli pinggan mangkuk secara terus dibeberapa kedai Corelle di benua tersebut.
Pelbagaikan cara mengiklankan produk
Mengiklankan produk pada masa kini adalah amat mudah dengan capaian internet. Para belia harus tahu menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan secara maya untuk mengembangkan perniagaan e-dagang mereka. Facebook, blog, twitter, instagram, dan E-mail adalah antara platform yang dapat digunakan secara peruma untuk memasarkan produk. Contohnya, penggunaan Facebook amat berleluasa pada masa kini kerana sebilangan besar daripada masyarakat Malaysia mempunyai akaun halaman sosial ini. Sebagai contoh jika perkataan ‘Coach’ atau ‘Coach handbags’ ditaip, terdapat ribuan pengguna yang memilih ‘Like’ untuk mengetahui produk terbaru yang berada di pasaran. Ramai pelanggan akan menjadi ‘Fan Page’ jika mereka mendapati pertanyaan mereka mendapat respon yang segera oleh pemilik akaun berkenaan. Laman Instagram juga dapat membantu para belia memasarkan produk secara online kerana gambar dapat dimuatkan dalam aplikasi ini. Dengan demikian para belia dapat berkongsi produk terbaru dengan pembeli secara lebih luas lagi.
Secara kesimpulannya, para belia perlu memastikan bahawa mereka bersiap siaga jika mereka ingin menceburkan diri dalam bidang e-dagang. Para belia perlu sedar bahawa mana-mana perniagaan sekalipun akan memakan masa untuk berkembang dan seterusnya membuahkan kejayaan. Mereka perlu cekal dan tabah menghadapi pelbagai ranjau dan duri dalam perniagaan ini. Selain dari itu, kreativiti dan perniagaan tidak dapat dipisahkan. Pelanggan berhak memilih produk serta ‘packaging’ yang mereka inginkan. Dengan itu, para belia perlu bertindak untuk mengkreatifkan gaya persembahan produk e-dagang mereka. Ciri-ciri yang membezakan produk mereka dengan produk yang terdapat dipasaran perlu difikirkan seolah-olah pelanggan mempunyai citarasa tersendiri memilih produk belia tersebut. Cabaran ini memerlukan para belia untuk tidak berputus asa seawal enam bulan melibatkan diri dalam bidang ini disebabkan masa untuk mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan produk akan menguji kesabaran mereka. Tempoh enam bulan ini adalah sangat kritikal memandangkan para belia perlu mencari pelbagai saluran pemasaran atas talian. Untuk memenuhi syarat enam bulan tersebut, sudah tentu produk yang dijual oleh para belia perlulah berlainan daripada produk yang tersedia ada dipasaran.
Hal ini menuntut agar para belia menjual sesuatu yang sukar didapati di negara ini. Justeru, para belia harus mencari orang hubungan yang dapat menolong mereka untuk mendapatkan produk tersebut. Selain itu, para belia seharusnya mengoptimakan penggunaan Facebook, blog, twitter, instagram dan E-mail bagi mengiklankan produk mereka kerana masyarakat Malaysia menggunakan media ini untuk membeli secara atas talian. Hanya dengan ilmu pelbagai medium ini dapat membantu para belia untuk menjadi usahawan yang hebat.