Berfikir Secara Kritis dan Kreatif
Disediakan oleh:
Jamal Rizal Razali & Imaduddin Abidin
Pensyarah
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
Pengenalan
Setiap hari kita berfikir. Proses berfikir atau juga disebut sebagai operasi mental ini tidak pernah berhenti dalam kehidupan kita seharian. Otak akan berhenti bekerja apabila kita mati. Namun demikian, kita juga sering mendengar istilah “mati otak” yang bermaksud otak tidak mampu digunakan untuk menghasilkan arahan-arahan yang disampaikan melalui urat saraf dalam tubuh badan manusia yang seterusnya mengarahkan otot untuk bertindak. Manakala “otak beku” pula sering dikaitkan dengan keadaan seseorang yang tidak dapat menghasilkan idea atau juga dikenali sebagai buah fikiran disebabkan oleh factor-faktor tertentu seperti sakit kepala, tiada pengalaman, tidak cukup maklumat dan sebagainya.
Otak yang dianugerahkan oleh Allah SWT merupakan satu organ yang sangat kompleks dan canggih. Otak digunakan untuk membina konsepsi tentang sesuatu dan mencetuskan arahan kepada saraf manusia sehingga otot melakukan pergerakan fizikal. Namun demikian, peranan otak yang paling penting ialah sebagai tempat memproses segala maklumat yang sering diibaratkan sebagai CPU (Central Processing Unit) bagi sebuah komputer.
Bagi menjalankan peranannya sebagai CPU, otak sering dikaitkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi. Berfikir seperti ini bermaksud melakukan proses pencerapan, pencernaan dan pentaakulan. Melalui proses ini, manusia akan dapat merumus dan membuat pertimbangan yang paling wajar baginya dalam menangani sesuatu isu atau perkara. Dalam dunia pendidikan, individu memainkan peranannya sebagai pengajar, pendidik dan juga sebagai pelajar. Bagi pendidik atau pengajar, mereka berhasrat untuk menyampaikan sebanyak mungkin maklumat yang dimiliki kepada kumpulan sasarannya iaitu pelajar. Bagi pihak pelajar pula, mereka seboleh mungkin akan berusaha untuk menerima, menganalisis dan menggunapakai maklumat tersebut yang disesuaikan dengan keperluan semasa.
Hal ini dapat dirujuk dengan jelas dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Matlamat akhir yang digariskan oleh FPN ialah menghasilkan insan kamil yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya (mungkin boleh dipertimbangkan untuk memasukkan “social” sebagai satu lagi ketrampilan yang wajib dimiliki oleh insan di Malaysia). Melalui pendidikan, individu tersebut akan mengalami perubahan daripada tidak tahu menjadi tahu. Perkara ini juga disebut sebagai proses mentransformasikan manusia daripada semua aspek kehidupannya. Matlamat ini akan tercapai apabila manusia yang melalui sistem tersebut mempunyai kualiti diri dan kemahiran JERI(S). Hal ini akan tercermin melalui tindakan individu tersebut sama ada secara fizikal, mental mahupun kognitif.
Daripada sudut pandang kognitif atau pemikiran, terdapat dua aspek yang menjadi penumpuan dalam sistem pendidikan, sama ada pendidikan formal mahupun tidak formal. Pendidikan formal bermaksud seseorang itu memasuki sebuah sistem pendidikan yang berstruktur. Sistem pendidikan formal boleh dilihat dilaksanakan di sekolah, institusi pengajian, kolej dan sebagainya. Manakala pendidikan tidak formal pula ialah sistem pendidikan yang bersifat bebas dan lebih bersifat peribadi. Maksudnya di sini ialah, individu yang mendapat pendidikan secara tidak formal belajar melalui pemerhatian, pergaulan, pembacaan sendiri, pemindahan ilmu secara peribadi dan sebagainya. Namun demikian, kedua-dua factor tersebut merupakan sumber ilmu yang penting kerana individu yang melalui kedua-dua kaedah pendidikan tersebut akan dapat melakukan transformasi diri mereka daripa “tidak tahu” menjadi “tahu” akan sesuatu perkara.
Dalam kedua-dua sistem itu juga, individu yang terlibat perlu memanfaatkan otak mereka sebagai alat yang paling penting sebagai perakam maklumat atau ilmu, penganalisis sesuatu isu atau masalah, alat yang membuat pertimbangan kepada pelbagai pilihan dan pemutus atau penyelesai kepada sesuatu masalah. Bagi melaksanakan peranan tersebut, individu perlu berfikir secara kritis dan kreatif. Melalui kedua-dua kemahiran berfikir tersebut, pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh individu tersebut akan lebih efektif dan efisien. Walaupun kedua-dua kemahiran tersebut dimiliki secara semula jadi, namun perlu diasuh dan dipertajam supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh individu terbabit.
Berfikir secara Kritis
Berfikir secara kritis bermaksud mempunyai kemahiran dan kecekapan menggunakan minda untuk menilai kewajaran sesuatu idea, meniliti kelebihan serta kebaikan dan juga kelemahan sesuatu perkara sebelum membuat pertimbangan wajar dengan mengemukakan bukti dan alasan yang benar serta berkaitan (Som Hj. Nor dan Dahalan, 2000). Berfikir secara kritis dikaitkan dengan otak sebelah kiri.
Perkataan “kritis” berkaitan dengan perkataan “critical” yang berasal daripada “kritikos” yang bermaksud menyoal atau mempertingkatkan pengetahuan. Bloom (1956) mengatakan bahawa pemikiran kritis melibatkan tiga jenis aktiviti minda iaitu analisis, sintesis dan penilaian. Terdapat beberapa tahap yang mesti dilalui dan digunakan oleh individu apabila berfikir secara kritis. Berikut adalah kemahiran atau perkara yang dilakukan:
- Membanding beza
- Membuat kategori
- Meneliti bahagian-bahagian kecial secara bebas dan juga secara keseluruhan
- Menerangkan sebab akibat
- Menyusun mengikut aturan
- Membuat andaian atau ramalan (berdasarkan pola)
- Mempertahankan idea
- Meringkas
- Menghubungkaitkan kronologi sebab-kesan
- Mengusul periksa andaian atau membuat periksa silang dengan maklumat lain bagi mendapat pengesahan
- Membuat inferens
- Membuat generalisasi
Berfirkir secara kritis banyak dikaitkan dengan kecenderungan atau keperluan dalam bidang Matematik, Kejuruteraan, Sains dan sebagainya yang lebih bertumpu kepada fakta dan logic akal. Namun demikian, perkara tidaklah mutlak kerana bidang-bidang lain juga memerlukan kita berfikir sedemikian.
Berfikir Secara Kreatif
Bagi berfikir secara kreatif pula, bahagian otak yang paling banyak digunakan ialah bahagian kanan. Individu yang mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif menggunakan minda untuk menerokai pelbagai kemungkinan dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan asli sama ada bersifat konkrit (wujud) mahupun secara abstrak (konseptual atau idea). Dalam hal ini, perkara yang paling penting ialah individu tersebut berkemampuan menghasilkan sesuatu yang baru (to create). Berikut adalah perkara atau tahap yang termasuk dalam kemahiran berfikir secara kreatif:
- Penyediaan – fasa asas melibatkan pengumpulan maklumat, membuat kajian, emndapatkan data dan pendapat khusus tentang sesuatu isu atau perkara (cth, kaedah mengatasi masalah serangan tikus terhadap tanaman padi)
- Pemeraman – pemikiran separa tidak sedar (subconscious mind) mengawal individu dan proses berfikir berlaku secara tidak disedari dan sebagai contoh, individu akan memikir atau mendapat imbasan tentang sesuatu perkara yang tidak berkaitan dengan perkara yang sedang dilakukannya. Hal ini sering kita alami apabila terdapat sesuatu isu yang belum diselesaikan seperti melakukan sesuatu
- Pencetusan – manusia mencetuskan idea atau buah fikiran berdasarkan pemerhatian, analisis dan hubungkait sebab dan akibat sesuatu, proses ini juga berkaitan dengan penjanaan idea yang bermaksud indvidu memperluaskan domain pemikirannya kepada perkara-perkara yang difikirkan berkaitan dengan isu sebenar yang dihadapinya (contoh, masalah banjir difikirkan berkaitan dengan kemusnahan tanaman, penempatan penduduk, binatang ternakan, dan pada masa yang sama juga boleh mendatangkan kebaikan seperti aliran sungai akan menjadi lebih lawas, memperbaharui kadar kesuburan tanah, membekal sumber makanan kepada binatang yang tinggal di sekitar sungai, manusia yang terlibat akan mempertingkatkan hubungan dan ukhuwah sesama sendiri, mereka kembali mengingati bahawa Allah lebih berkuasa mengatur perjalanan hidup manusia, peringatan terhadap pencerobohan alam sekitar, mencetus perkembangan ekonomi dan sebagainya)
- Pengesahan – setelah keputusan dibuat dan tindakan dilakukan, manusia akan membuat penilaian semula adakah keputusan dan tindakan tersebut memberi lebih banyak manfaat atau sebaliknya. Jika tindakan tersebut memberi lebih banyak kebaikan, maka keputusan yang dibuat merupakan keputusan yang tepat dan begitulah juga sebaliknya.
- Mencipta analogi – persamaan atau perbandingan antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, kias atau perbandingan. Pada tahap ini, indvidu berkaitan perlu mempunyai banyak maklumat dan pengalaman untuk mencipta analogi kerana analogi merupakan suatu konsep yang membawa banyak makna (contoh, walaupun ayah seorang petani tetapi tugasnya seperti Perdana Menteri)
- Mencipta metafora – menggunakan sesuatu yang lain (tidak ada kaitan) untuk menyatakan tentang sesuatu, juga disebut sebagai kejanggalan berbahasa, penggunaan sesuatu unsur untuk menggambarkan sesuatu unsur yang lain. Metafora digunakan apabila individu yang berkomunikasi merasakan tidak mempunyai kosa kata yang tepat untuk menggambarkan makna yang dikehendakinya (contoh, “lembu sungguh budak ini” bermaksud “budak” yang dirujuk oleh individu tersebut mungkin mempunyai sifat, perangai, pemikiran, fizikal atau apa sahaja yang berkaitan dengan “lembu”).
Daripada kedua-dua kemahiran seperti yang dibincangkan di atas, individu akan menjadi lebih efisen dan efektif dalam menjalankan tugasnya. Hal ini terbukti apabila indvidu tersebut akan dapat dapat memanfaatkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses penyelesaian masalah. Namun demikian, kemahiran-kemahiran tersebut perlu dipelajari dan dilatih supaya individu menjadi seorang yang mahir dan berkeupayaan menggunakannya dalam semua keadaan.
Selain itu, akhir-akhir ini terdapat pula pandangan yang mengatakan bahawa kita sebaiknya mengabungjalinkan kedua-dua bahagian otak semasa berfikir. Pandangan ini dikaitkan dengan penggunaan “otak tengah” yang dikatakan mempunyai 300 juta saraf neuron yang memabntu manusia berfikir (Sawiah Omar 2012 dlm Utusan Malaysia). Penggunaan otak tengah akan dapat melipatgandakan keupayaan manusia memproses maklumat dan secara tidak langsung mempertingkatkan IQ. Sama seperti berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menggunakan otak tengah ini juga perlu dipelajari dan diasuh oleh individu yang berminat supaya dapat melipatgandakan kemahiran berfikir.