Transformasi Pengurusan Penyelenggaraan Bangunan Awam Dan Premis Kerajaan
Disediakan oleh:
Mohammad Affendy Omardin
Pensyarah
Fakulti Teknologi Kejuruteraan UMP
Setiap bangunan awam atau premis kerajaan perlu diurus dengan cekap dan berkesan supaya ianya mampu memberi perkhidmatan memuaskan kepada pengguna dalam mencapai matlamat operasi sesebuah organisasi. Premis ini sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat bagi orang ramai yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan seharian. Premis awam boleh dikenali iaitu hospital-hospital, klinik-klinik kesihatan dan pejabat-pejabat kerajaan. Bangunan merupakan aset organisasi yang amat bernilai, walau bagaimanapun ia dilihat sebagai aset kurang dititik beratkan dan seringkali tidak diurus dengan sempurna. Fungsi bangunan adalah bagi menjalankan aktiviti seharian dan aktiviti penyenggaraan bangunan diperlukan sebaik sahaja bangunan disiapkan.
Matlamat utama penyelenggaraan bangunan adalah untuk mengurangkan seberapa mungkin kegagalan dan kecacatan terhadap elemen dan peralatan bangunan secara efektif dan sistematik. Secara tidak langsung, segala aspek keselamatan dan keselesaan akan lebih terjamin bukan sahaja kepada pengguna malah kepada pemilik dan warga kerja sesebuah organisasi.
Sebarang kegagalan dan ketidaksempurnaan pengurusan bangunan boleh memberi kesan tidak baik kepada setiap komuniti yang telah berada di dalam persekitaran bangunan. Penghuni bergiat aktif didalam bangunan tidak kira waktu menjadikan tahap prestasi bangunan akan menurun hari demi hari. Tragedi yang menimpa beberapa bangunan awam haruslah dijadikan iktibar dan pengajaran dimasa hadapan. Setiap bangunan haruslah diperiksa tahap prestasi bermula dengan fungsi, keselamatan dan kesihatan.
Pengurusan penyenggaraan perlu dijalankan dengan cekap dan berkesan bukan sahaja untuk memelihara aset Kerajaan dan Keselamatan warga bangunan tetapi juga untuk mengelakkan daripada berlakunya insiden yang tidak diingini.
Beberapa langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan pada sesebuah organisasi seperti mewujudkan jawatan pengurus fasiliti bagi menjalankan pengurusan fasiliti.; mewujudkan satu garis panduan penyelenggaraan bangunan dalam sesebuah organisasi ;Mewujudkan kesedaran pada penghuni bangunan dan pengguna tentang keselamatan semasa berada didalam bangunan; mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat; memeriksa peralatan pencegah kebakaran dan diselenggarakan berkala.
Tindakan semasa merekabentuk bangunan
Bangunan yang baharu haruslah direka bentuk berdasarkan kegiatan dan risiko beroperasi rekabentuk bangunan dan susunatur perlu mengetengahkan reka bentuk berdasarkan keselamatan dan kesihatan penghuni.
Melakukan tinjauan dan pemeriksaan fizikal terhadap bangunan
Mengenal pasti bangunan-bangunan awam yang berisiko dan terdedah kepada bahaya dan bencana yang melibatkan aktiviti dalaman dan persekitaran yang kurang sihat.
Memastikan bangunan sihat dan bebas dari sindrom bangunan sakit
Setiap bangunan perlu mempunyai tahap pengudaraan dalaman tidak mencemarkan dan mempunyai pencahayaan dalaman yang mencukupi. Bangunan harus mempunyai tahap keselamatan yang tinggi dan mempunyai sijil keselamatan bagi menjalankan sebarang aktiviti berkaitan penubuhan bangunan.
Bina jaringan kepakaran penyelenggaraan bangunan
Kepakaran ahli-ahli akademik boleh membantu mengetengahkan teknik-teknik penyelenggaraan bangunan yang baharu. Bekerja sama dengan jabatan penyelamat bencana dan majlis berkuasa tempatan bagi memperkasakan dokumen-dokumen binaan bangunan dan kemudahan bangunan terkini. Memperkasakan dokumen-dokumen dan garis panduan menyelenggarakan bangunan-bangunan yang aktif beroperasi berisiko tinggi.
Penubuhan pasukan khas penyelenggaraan dan bencana
Penubuhan pasukan khas bagi setiap bangunan awam terutama aspek penyelenggaraan fasiliti. Pasukan khas yang diwujudkan ini akan berkongsi maklumat yang diperoleh daripada mana-mana insiden pencemaran dari sudut teknikal, siasatan dan hasil laporan kejadian dan bencana. Aspek keselamatan dan bencana alam serta kebakaran perlu diterapkan dalam penubuhan pasukan ini. Penghuni bangunan perlu didedahkan dengan latihan menghadapi kebakaran atau fire drill.
Mematuhi perundangan, akta, peraturan dan arahan-arahan berkaitan bangunan
Semua kerja-kerja penyenggaraan bangunan dan perkhidmatan kejuruteraan didalamnya adalah tertakluk kepada pematuhan akta, peraturan-peraturan dan arahan- arahan yang berkuat kuasa seperti mematuhi garis panduan rekabentuk berdasarkan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Uniform Building By-Laws 1984.) ;Occupational Safety and Health Act 514:1994.; Akta 447: Akta Bekalan Elektrik 1990; Peraturan – Peraturan Elektik 1994; Piawaian Malaysia (Malaysian Standards) yang berkaitan; perundangan dari Pihak Berkuasa Tempatan. Bangunan baharu dan sedang beroperasi perlu mendapatkan sijil keselamatan kebakaran bagi mengiktirafkan tahap keselamatan bangunan berpenghuni.
Mengadakan audit bangunan dan audit keselamatan
Bangunan awam yang telah berusia perlu menjalani audit bangunan. Ini bertujuan untuk melihat aspek kelemahan dari segi keselamatan dan kesihatan bangunan. Audit keselamatan boleh membantu untuk mengenalpasti dan memperkukuhkan pengurusan penyelenggaraan dengan menaik taraf bagi meingkatkan tahap keselamatan di bangunan awam.
Perlu mewujudkan satu system pengurusan keselamatan bagi setiap bangunan berpenghuni dan berisiko tinggi. Setiap bangunan perlu menjalani operasi penyelenggaraan berkala. Segala pengurusan perlu merujuk kepada perundangan melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan bangunan. Pemeriksaan bangunan perlu diperiksa oleh pemeriksa bangunan bertauliah. Mentauliahkan bangunan dengan tahap keselamatan tinggi.
Mewujudkan dokumen pasca binaan.
Mewujudkan dokumen pasca bina atau lukisan pasca bina atau as built drawing . Lukisan itu adalah gambar realisasi suatu binaan yg telah dilaksanakan. Dokumen ini perlu menyatakan spesifikasi bangunan dan bahan binaan yang digunakan bagi pembinaan dan pengubahsuaian yang telah dilakukan. Maklumat kontraktor pengubahsuaian perlu dinyatakan bagi memudahkan kerja-kerja pengubahsuaian dimasa hadapan.
Membudayakan kesedaran penyelenggaraan
Memewujudkan persekitaran sihat bagi meningkatkan tahap keselamatan bagi penghuni dan warga kerja disesebuah bangunan.Bangunan harus mempunyai tindakan keselamatan dan penyelamat sekiranya berlaku musibah seperti kebakaran, ancaman banjir , pencemaran dan ancaman-ancaman luar. Mengadakan dan dimasukkan kaedah menyelamat penghuni didalam pelan tindakan kebakaran. Mengurangkan risiko aktiviti penghuni yang memungkinkan berlakunya ancaman seperti kebakaran, kemalangan dan kecederaan, ancaman banjir dan pencemaran bahan kimia.Di samping itu, taklimat kesedaran keselamatan dan kesihatan kepada setiap penghuni dan pengguna bangunan perlu dilakukan sentiasa.
Mewujudkan kepakaran bidang penyelenggaraan bangunan dan pengiktirafan kerjaya penyelenggaraan bangunan
Mewujudkan bidang penyelenggaraan bangunan secara menyeluruh. Di peringkat pengajian tinggi, bidang pengajian ini perlu diperkasakan. Modul penyelenggaraan bangunan perlu diperkenalkan penyelenggaraan bangunan, bencana dan kebakaran. Modul penyelenggaraan bangunan perlu diperkasakan diperingkat pengajian tinggi bagi semua proram kejuruteraan dan teknologi bangunan dan pembinaan. Memperkenalkan modul penyelenggaraan bangunan di universiti awam dan swasta , institusi pengajian tinggi serta diperingkat sekolah menengah. Ini bagi melahirkan kesedaran budaya pemuliharaan bangunan dan penyelenggaan bangunan diperingkat awal.
Pengiktirafan di peringkat individu dan organisasi perlu diberikan bagi mewujudkan perjawatan professional. Kerjaya ini tidak boleh lagi dianggap sebagai tugas di luar waktu pejabat dan kerjaya sampingan.
Khidmat penyelenggaraan yang bertauliah dan berkelayakan.
Menggunakan khidmat pegawai operasi penyelenggaraan yang bertauliah dan khidmat kontraktor yang bertauliah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan.
Menyemak semula kos operasi penyelenggaraan bangunan.
Perlu melihat semula kos penyelenggaaan yang relevan. Ini termasuk kos menyelenggarakan kemudahan termasuk lif, pendawaian elektrik, escalator, system bekalan air didalam bangunan, kos penyelenggaraan alatan pencegah kebakaran seperti tabung pemadam kebakaran, pancur basah, pancur kering, pancuran semburan air dan pengesan asap.
Menyusun atur laluan dalaman bagi kegiatan didalam bangunan
Perlu dilihat dengan teliti bagi memudahkan pergerakan didalam bangunan. Susun atur perabot dalaman bangunan boleh menyebabkan pergerakan terbatas dan memungkinkan permasalahan berlaku apabila berlaku bencana terutama kebakaran. Selain itu kesukaran untuk kerja-kerja penyelamat dan larian kecemasan .
Mewajibkan penyelenggaraan bangunan dilakukan secara kerapkali dansebagai perakuan wajib selepas menduduki bangunan.
Pengiktirafan keselamatan dan kesihatan terhadap penghuni bangunan dan kemudahan bangunan perlu diadakan. Tahap prestasi bangunan berdasarkan kaedah merit bagi menunjukkan bangunan selamat untuk diduduki dan beroperasi. Pengubalan semula perakuan kelayakan menduduki dan jangka masa penyelenggaraan perlu dinyatakan setelah premis beroperasi mengikut jangka masa pendek atau panjang. Saranan jangka masa bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan premis iaitu 3 hingga 5 tahun , 6 hingga 10 tahun , 11 hingga 16 tahun, 20 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun. Bagi bangunan yang berusia 50 tahun keatas perlu melalui proses pembaharuan (refurbishment) dan konservasi atau pemuliharaan (conservation).
Aspek keselamatan perlu tekankan terutama aspek reka bentuk bangunan, kemudahan bangunan yang digunakan dalam bangunan awam serta mendapat persijilan dari aspek fungsi, kebakaran dan keselamatan.
Penyenggaraan hendaklah dilihat sebagai satu aspek yang perlu di beri keutamaan. Aktiviti penyenggaraan bangunan bukan lagi dilihat sebagai “rosak-baiki”, tetapi perlu dilihat secara menyeluruh. Ini termasuk diperingkat pra-rekabentuk, semasa merekabentuk bangunan, susun atur perabot dalaman, pemilihan bahan binaan dan kemasan dalaman, kos operasi penyelenggaraan Di peringkat awal perancangan, perlaksanaan penyenggaraan akan melibatkan kewangan yang tinggi tetapi jika di ambil kira kos jangka panjang ianya lebih ekonomik dan praktikal. Pengurusan bangunan perlu dilakukan dengan efektif bagi meminimumkan risiko kejadian seperti kebakaran, kemalangan melibatkan orang awam, ancaman banjir, keruntuhan bangunan atau struktur dalaman, terperangkap dalam lif, kemalangan melibatkan kemudahan awam didalam bangunan.
Ketidakcekapan dan kelememahan penyelenggaraan boleh memberikan kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Justeru itu aktiviti penyelenggaran bangunan perlu dilakukan oleh semua pihak dan tidak wajar bangunan dilepaskan kepada bahagian penyelenggaraan semata-mata. Justeru itu, penyelenggaraan perlu dilakukan seawal mungkin sebaik sahaja bangunan diserah kepada pemilik premis. Tidak adil menunding jari kemana-mana pihak apabila telah berlaku musibah. Kita perlu sedar dan mempemperkasakan budaya penyelenggaraan yang mungkin alpa dan kesibukkan membangunkan pembinaan struktur dan infrastruktur. Kesedaran dan tindakan penyelenggaraan di peringkat awal merupakan langkah untuk elakkan perkara yang tidak diingini berlaku dan mengurangkan kos operasi penyelenggaraan serta memudahkan pengurusan penyelenggaraan.