Persekitaran Sekolah Sihat Dan Selamat
Disediakan oleh :
Mohammad Affendy Omardin
Pensyarah
Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTEK)
Universiti Malaysia Pahang
Selesa dan selamat itu ungkapan ulung yang sering keluar dari hati penghuni sekolah. Bangunan sekolah yang selesa adalah idaman setiap warga yang menghuni bangunan. Umumnya sekolah merupakan landasan pertama untuk menimba ilmu baik disekolah rendah mahupun menengah. Suasana yang ceria, bersih dan selamat memberikan keselesaan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar. Ukur tahap kecemerlangan sekolah berdasarkan tahap penyelenggaraan fasiliti yang baik . Prestasi sekolah yang baik bukan sahaja dinilai dari segi penilaian kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah tetapi persekitaran sekolah yang ceria dan menarik. Tidak adil jika sesebuah sekolah cemerlang dari segi penilaian akademik tetapi keceriaan dan keselamatan penghuni sekolah ditahap yang rendah.
Ciri-ciri bangunan sekolah yang selamat
Secara umumnya bangunan haruslah selamat dan bebas dari risiko penyakit berjangkit. Reka bentuk longkang dan saliran air buangan perlu direka agar tidak menakung air. Sirkulasi dalaman yang selamat, Pemilihan bahan binaan yang tidak mencemarkan, tindakan sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran , berupaya menangani masalah banjir, bebas gangguan angina kencang, bebas dari runtuhan struktur utama dan system pendawaian elektrik yang tidak berbahaya. Ini perlu dititikberatkan semasa proses merekabentuk bangunan sekolah diperingkat awal reka bentuk. Arkitek dan para perekabentuk bangunan dan dalaman perlu meneliti cadangan reka bentuk perlu dengan lebih terperinci. Reka bentuk perlu menepati syarat-syarat undang-undang bangunan, memberikan keselesaan kepada penghuni.
Struktur bangunan selamat
Struktur bangunan perlu bebas dari elemen-elemen yang boleh menyebabkan runtuhan dan mendapan. Siling bangunan perlu diperiksa bagi mengelakkan runtuhan berlaku. Tiang-tiang dalaman dan luaran yang menyokong struktur utama bangunan perlu diperiksa bagi mengelakkan kejadian runtuhan bangunan.
Suasana kelas yang ceria dan segar
Minda pelajar akan lebih cergas apabila mempunyai kelas yang bersih dan teratur. Suasana dalaman kelas perlu ceria mempunyai pencahayaan dalaman yang baik. Keceriaan dalaman bangunan yang sihat menerusi pemilihan warna dalaman haruslah berwarna cerah. Kelas yang bersih dan selesa menjaminkan keceriaan pembelajaran. Pemilihan harus bebas dari bahan bertoksik yang tidak mencemarkan dan berbahaya kepada pelajar dan pengguna.
Perabot-perabot diselenggarakan dengan baik. Keselamatan pelajar perlu dilihat terutama kerusi dan meja belajar yang selesa dan selamat. Elemen air perlu ada bagi menceriakan suasana. Tanaman berpasu boleh menjadikan sekolah ceria dengan bunga-bungaan segar. Pemilihan pokok-pokok yang sesuai perlu bagi memudahkan penyelenggaraan.
Persekitaran bersih menceriakan suasana di setiap ruang
Selain ruang kelas, kantin dan tandas merupakan persekitaran yang aktif. Suasana kantin dan tempat makan perlu bersih dari kekotoran dan wabak penyakit dan bawaan binatang dan serangga-serangga kecil. Susunan meja makan dan kerusi perlu teratur dan selamat. Dapur menyediakan makanan perlu bersih. Sinki perlu bersih. Tandas perlu bersih dan segar. Lantai tidak licin dan berlumut. Tangki-tangki didalam tandas perlu diselenggarakan agar tidak bocor. Tandas perlu bersih dan tidak berlumut dan berbahaya kepada pelajar. Pengudaraan dalaman perlu segar. Sistem perpaipan yang baik dan tidak berlaku kebocoran.
Penyelenggaraan lanskap
Penyelenggaraan fasiliti bukan sahaja dibahagian hadapan sekolah tetapi perlu di semua kawasan. Rumput dan persekitaran padang perlu bersih dan dipotong rapi agar tiada gangguan binatang berbahaya dan berbisa. Dahan-dahan pokok perlu diselenggarakan. Pokok-pokok berpasu perlu dipilih agar tidak berbahaya kepada pelajar dan disusun teratur dan segar mata yang memandang.
Alir udara yang baik perlu bagi suasana dipersekitaran kelas. Tanaman herba wangi boleh menjadikan sekolah sebagai satu tempat pembelajaran yang ceria. Pepohon renek dan pepohon buah-buahan boleh menjadikan suasana persekitaran pembelajaran yang terbaik. Bunga-bunga segar perlu dikenalpasti bagi mengindahkan kawasan persekitaran sekolah.
Bahagian belakang bangunan sekolah sering diabaikan. Kebanyakan sekolah menjadikan ianya sebagai tempat perletakan bahan lupus dan tidak boleh digunakan. Ianya boleh menjadi sarang pembiakan serangga dan nyamuk. Selain itu tempat kegiatan jenayah.
Sekolah haruslah bebas dari gangguan dan kebisingan yang melampau terutama berdekatan dengan jalan raya yang sibuk. Elemen-elemen lembut seperti lanskap air perlu dilihat dan dibersihkan bagi menceriakan persekitaran. Langkah menanam pokok dedaun sesuai sebagai halangan bunyi dari masuk ke dalam bangunan.
Laluan pejalan kaki yang selamat
Laluan pejalan kaki , laluan koridor perlu selamat. Ianya perlu mempunyai pencahayaan yang cerah. Laluan ini selamat terutama apabila murid berjalan ke kelas, kantin, tandas dan perpustakaan. Laluan naik ke tangga bangunan haruslah bersih dan tidak licin. Pencahayaan dan pengudaraan semulajadi adalah perlu bagi keceriaan dan peredaran angin keluar masuk. Elemen-element struktur seperti tiang bangunan, dinding perlu bersih dan bebas dari elemen berbahaya.
Penyelenggaraan bukaan dan laluan ke kelas
Pintu dan tingkap-tingkap pelu diperiksa dan diselenggarakan . Siling dalaman perlu dilihat tidak menjadi ancaman berbahaya. Penghawa dingin perlu bersih. Lampu-lampu perlu ditukar agar pencahayaan dalaman kelas ceria dan terang. Meja dan kerusi perlu di selenggarakan agar tidak berbahaya kepada pengguna khasnya pelajar.
Kemudahan bagi pelajar kurang upaya (PKU) dan istimewa
Sekolah seharusnya perlu mempunyai kemudahan bagi pelajar-pelajar kurang upaya (PKU) . Kemudahan papan tanda, laluan PKU, tandas PKU. Laluan khas bagi kemudahan golongan PKU perlu disediakan. Tangga perlu bersih dan tidak licin. Tangga yang berfungsi sebagai laluan utama juga laluan kecemasan. Pemegang dan susur tangga perlu selamat bagi mengelakkan kejadian terjatuh semasa penggunaan. Tandas bagi PKU perlu disediakan di tingkat bawah. Sistem perpaipan khas perlu disediakan. Selain itu, kemudahan pembacaan dan tempat pembelajaran perlu disediakan terutama perabot untuk golongan pelajar kurang upaya
Persekitaran sekolah bebas dari risiko bencana
Sekolah harus mempunyai sistem pencegah kebakaran yang efektif dan mempunyai kaedah menangani semasa kecemasan iaitu laluan kecemasan, tempat berhimpun, alatan pemadam kebakaran. Ini perlu dilihat terutama dikawasan bangunan yang melibatkan makmal-makmal yang terdedah kepada risiko kebakaran. Penggunaan alatan pencegah kecemasan perlu didedahkan kepada pelajar-pelajar. Kerjasama dan bantuan pengajaran dan penggunaan boleh didapati dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Bagi sekolah yang mempunyai makmal dan bengkel pembelajaran,langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kemalangan berlaku di bengkel-bengkel. Lantai persekitaran ruang kerja tidak harus licin. Penyelenggaraan longkang dimana longkang-longkang persekitaran perlu bersih dan tidak menyebarkan bauan yang kurang menyenangkan. Penutup khas perlu disediakan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Sekolah harus mempunyai sistem pengairan air buangan yang baik agar tidak terdedah kepada ancaman banjir terutama apabila berlaku hari hujan lebat.
Laluan tangga tidak mempunyai halangan bagi turun dan naik. Laluan koridor perlu bebas dari pasu-pasu Bunga dan halangan lain yang boleh menyebabkan kemalangan. Kawasan perletakan kenderaan perlu selamat . Tempat perletakan kenderaan di dalam kawasan sekolah perlu disusun dengan baik. Suasana pembelajaran didalam kelas perlu ceria. Kawasan lanskap dikelilingi tumbuh-tumbuhan herba dan bunga-bunga segar boleh dijadikan tempat pembelajaran dan mengulangkaji pembelajaran selepas waktu sekolah.
Laluan trafik didalam sekolah perlu diadakan dengan tersusun agar kenderaan dapat diletakkan ditempat yang betul dan selamat. Laluan masuk ke kelas dan ke kawasan sekolah haruslah diadakan. Perlu dipastikan laluan selamat dan tidak mempunyai halangan seperti longkang. Penutup longkang perlu selenggarakan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Penutup tangki kumbahan perlu diperiksa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Amalan persekitaran sekolah selamat
Kesedaran tentang amalan penyelenggaraan dan kebersihan sekolah penting bagi menjamin persekitaran yang selamat. Ia juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan terutama berkaitan dengan kos penyelenggaraan tahunan. Kesedaran mementingkan kebersihan kawasan sekolah perlu dijadikan amalan. Jadikan kebersihan sebagai satu tugasan yang membantu pembelajaran. Kesedaran ini bukan sahaja bergantung kepada pekerja am yang membersihkan kawasan tetapi kesedaran masyarakat sekeliling. Jadikan diri kita sebagai pengurus fasiliti di sekolah. Amalan tidak membuang sampah merata-rata. Tong sampah perlu diadakan disetiap kawasan tumpuan dan ianya perlu ditutup.
Rekod penyelenggaraan fasiliti perlu ada disekolah. Nilai kecemerlangan sekolah berasaskan pananda aras lima bintang bagi sekolah yang baik keadaan persekitaran. Pentarafan sekolah lima bintang perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang sering diselenggaraan dengan baik. Kaedah memotivasikan pelajar-pelajar dengan mengadakan bulan penyelenggaraan fasiliti disekolah boleh mewujudkan rasa selamat berada disekolah. Aktiviti keceriaan dengan mengadakan hari keceriaan berbentuk pertandingan merekabentuk papan tanda, poster umum yang menunjukkan kepekaan terhadap kebersihan dan sekolah selamat. Aktiviti ini seakaligus memotivasikan pelajar-pelajar dari melakukan vandalism kemudahan sekolah.
Kebersihan dan selamat setiap ruang persekitaran sekolah adalah akar umbi minda kelas pertama menghargai kemudahan awam. Jadikan sekolah sebagai satu tempat yang ceria bagi suasana pembelajaran minda pertama. Kecemerlangan pelajar berakar umbi dari persekitaran sekolah yang ceria dan selamat.