Pendidikan fleksibel mendokong Pembelajaran Sepanjang Hayat
- Disediakan oleh:
- Dr. Mohd Rashid bin Ab Hamid
Pengurus Besar Akademik
UMP Advanced Education & Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Industri
Pembelajaran sepanjang hayat telah menjadi satu inisiatif kerajaan dalam mendepani cabaran untuk lanskap pembangunan negara yang utuh. Ianya juga merupakan usaha ke arah pendemokrasian pendidikan dalam membentuk rakyat Malaysia yang berpengetahuan menerusi penguasaan ilmu, kemahiran dan keterampilan sama ada secara formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman kerja atau semasa menjalani latihan. Golongan bekerja yang tidak berpeluang sebelumnya dapat meneruskan hasrat mereka untuk belajar dan mendapat pendidikan dengan pelbagai kaedah secara eksekutif, pembelajaran jarak jauh, e-pembelajaran, pembelajaran di tempat kerja, pembelajaran separuh masa atau mengikuti program pembangunan profesional.
Ini selaras dengan hasrat dalam merealisasikan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dalam kalangan massa dengan mengenengahkan konsep ‘pendidikan fleksibel’ seperti yang diuar-uarkan dalam Amanat Tahun Baharu 2016 oleh Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini. Kita tidak seharusnya memberikan kongkongan kepada mana-mana pihak dalam menimba ilmu dalam pelbagai cara dan tempat kerana yang paling penting adalah usaha ke arah kebaikan perlu digalakkan apatah lagi dalam aspek mencari ilmu pengetahuan. Bagi golongan pekerja yang telah mempunyai pengalaman, mereka sebenarnya telah memperoleh ilmu yang sangat bernilai disebabkan melalui pengalaman, mereka telah mempelajari sesuatu daripada sekeliling mahupun melalui tugasan atau kerja yang dilakukan. Mungkin pada satu ketika dahulu, golongan ini tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran secara formal disebabkan atas faktor desakan hidup, kurangnya pendedahan kepada laluan akademik dan kerjaya dan kesemuanya dapat diatasi dengan menyediakan satu platform pendidikan sepanjang hayat bagi melayakkan mereka untuk mencapai peningkatan kendiri dalam kemajuan kerjaya. Oleh yang demikian, untuk mencapai hasrat tersebut, konsep pendidikan fleksibel perlu difahami dan diterapkan dalam sistem pendidikan tinggi di samping memperkasa konsep PSH.
Dasar untuk mencari ilmu melalui pelbagai cara perlu dilihat sebagai satu usaha murni yang bukan sahaja manfaatnya dapat diraih oleh individu tersebut semata-mata, malah memberikan impak kepada organisasi itu sendiri, malah masyarakat sekeliling yang akhirnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Dengan penawaran program-program yang dapat menarik golongan bekerja untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, akses kepada pendidikan dapat diperluaskan dengan mewujudkan program bersifat modular dengan kaedah pengajian yang melibatkan pembelajaran berasaskan kerja. Kini, era pendidikan tidak boleh dilihat sebagai satu hak eksklusif kepada golongan yang pandai semasa di peringkat menengah sahaja walhal ia bersifat sejagat dan perlu didemokrasikan kepada semua. Ini tidaklah bermaksud dengan menyediakan laluan pembelajaran fleksibel seumpama ini dengan penawaran program-program akademik PSH, aspek kualiti diabaikan. Malah, aspek kualiti perlu dijaga dan dipertingkatkan lagi agar program akademik yang bercirikan pendidikan fleksibel ini setaraf dengan program akademik perdana yang diambil oleh golongan pelajar sepenuh masa.
Jika kita lihat di luar negara, banyak program-program pembangunan profesional juga dibangunkan khusus untuk memenuhi kehendak pasaran kerja di industri. ‘Graduan segar‘ yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam mana-mana peringkat mungkin berasa diri mereka telah mempunyai banyak ilmu disebabkan segulung ijazah, tetapi sedarkah mereka bahawa keperluan di industri yang mendesak berkemungkinan apa yang mereka pelajari merupakan sebahagian atau sekelumit kecil ilmu yang perlu mereka terokai untuk masa depan yang lebih panjang?. Rentetan itu, konsep pembelajaran sambil bekerja yang mana sebahagian tempoh pengajian digunakan sepenuhnya di tempat pengajian dan selebihnya digunakan sepenuhnya untuk menimba pengalaman di industri amat relevan. Di samping itu juga, situasi berbeza pula dengan golongan yang sudah bekerja dan mempunyai pengalaman industri tersendiri tetapi tidak mempunyai segulung kertas yang diiktiraf. Ekoran itu, peluang pendidikan kepada golongan ini perlu disediakan dalam mewujudkan rangka kerja yang mengiktiraf pencapaian terdahulu yang dicapai melalui pembelajaran melalui pengalaman sebelumnya.
Oleh hal yang demikian, program-program Eksekutif dan Pembangunan Profesional merupakan inisiatif PSH yang perlu dilihat sebagai satu pelengkap kepada laluan pendidikan sedia ada dan inisiatif pendidikan fleksibel yang dapat menyumbang secara langsung kepada Pelan Induk Pembudayaan Sepanjang Hayat (PSH) yang dilancarkan pada 2011. Kini, konsep PSH telah diambil perhatian sebagai satu agenda negara yang amat penting yang didokong oleh aspirasi pendidikan fleksibel melalui penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengajian yang bersifat antara bidang yang boleh merentas sempadan antara universiti, malah menjangkaui peringkat antarabangsa dengan mengiktiraf kursus atau program yang ditawarkan secara kolektif. Di samping itu, inisiatif untuk mobiliti pelajar dan tenaga pengajar boleh juga menyumbang kepada rancaknya hasrat pendidikan fleksibel ini dengan memanfaatkan inovasi dalam pendidikan serta meningkatkan konsep kesepunyaan dalam atmosfera pendidikan ke arah mencapai keunggulan pengajian tinggi negara di persada antarabangsa.
Natijahnya, negara kita memerlukan sumber manusia yang berpengetahuan, berkemahiran berkecekapan dalam memacu pertumbuhan dan kemakmuran dalam mencapai status negara maju. Untuk mencapai hasrat ini, kualiti pendidikan tinggi perlu diambil berat yang dapat menyemarakkan lagi program PSH di samping memperluas akses pendidikan kepada umum dalam memenuhi Lonjakan 3: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).