Cuaca Panas Melampau: Pemanasan Global atau El-Nino?
Disediakan oleh:
Dr. Nurul Nadrah Aqilah Tukimat
Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam
Universiti Malaysia Pahang
Keadaan cuaca panas dan kering yang melampau di Malaysia kini berada di tahap yang sangat membimbangkan. Walaupun pada kebiasaannya, Malaysia menerima taburan hujan yang sedikit pada bulan-bulan tertentu (Jan-Feb dan Jun-Julai) iaitu ketika peralihan monsun, namun tahap kepanasan yang dialami pada tahun ini agak berbeza. Ianya bukan sahaja membataskan aktiviti harian malah memberi impak terhadap alam sekitar dan kesihatan akibat dari peningkatan suhu luar biasa.
Perubahan iklim kini menjadi tidak menentu dan sukar dijangka. Bencana-bencana besar seperti banjir, banjir kilat, dan kemarau berlaku tanpa mengira tempat dan masa. Tahun 2013 merupakan sejarah banjir terburuk di bandar Kuantan dalam tempoh 30 tahun menyebabkan seluruh bandar Kuantan ampuh. Pada tahun 2014, sekali lagi Pahang berhadapan dengan banjir besar tetapi kali ini tidak hanya tertumpu di Kuantan malah melibatkan daerah-daerah lain termasuk Maran, Temerloh, dan Pekan. Hujan bulanan yang direkodkan pada masa itu adalah melebihi 1200mm, 60 peratus lebih tinggi daripada kadar hujan bulanan biasa. Ianya kesan daripada pergerakan angin monsoon dari arah timur laut menyebabkan lapan buah negeri dan 160,000 penduduk terlibat dengan banjir besar.
Tamat episod banjir, musim kering pula menyusul dan kadang kala mencapai tahap ekstrim sekiranya berlaku dalam tempoh masa yang panjang. Kejadian kemarau direkodkan berlaku hampir setiap tahun sehingga memberi impak kepada sumber air dan pengeluaran sumber makanan. Ini akibat daripada peningkatan suhu secara mendadak dimana berlakunya kadar pengewapan yang tinggi dan dalam masa yang sama menerima taburan hujan yang sedikit. Berdasarkan rekod bulan Mac, 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), tiga buah daerah iaitu Alor Setar, Batu Embun dan Temerloh mencatat bacaan suhu tertinggi melebihi 37oC diikuti kawasan Kuala Pilah, Ipoh dan Keningau mencatatkan suhu melebihi 35oC, 10 peratus lebih tinggi berbanding suhu normal Malaysia. Keadaan ini telah berlarutan selama tiga bulan bermula dari Januari yang mana sebelum ini hanya tertumpu di kawasan utara tetapi kini meliputi hampir seluruh Malaysia.
Jika kita lihat senario iklim di Malaysia, bencana alam seperti ini memang telah dijangka berlaku pada setiap tahun akibat dari pengaruh angin monsun. Namun, kadang kala ianya berlaku ditahap ekstrim dan diluar jangkaan. Persoalannya: Adakah ketidaktentuan perubahan cuaca kini disebabkan pemanasan global atau El-Nino?
Menurut kajian dari National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), peningkatan karbon dioksida (CO2) sebagai agen utama kesan rumah hijau (GHGs) meningkat sebanyak 1.5 peratus setiap tahun dan 34 peratus sejak dari tahun 1990. Peningkatan agen-agen GHGs ini menyebabkan haba terperangkap di dalam atmosfera dan suhu bumi menjadi semakin panas. Kenaikan suhu global dan suhu laut pada Jan, 2016 dikatakan paling drastik dalam tempoh 137 tahun sehingga mencecah 1.56oC dan 0.86oC. Pemanasan global secara drastik ini berkemungkinan menjadi penyumbang utama kepada kekerapan pembentukan El-Nino sejak kebelakangan ini.
El-Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku di Lautan Pasifik berhampiran luar pantai Peru. Dianggarkan kejadian El-Nino berlaku setiap 2 hingga 7 tahun. Peningkatan suhu yang drastik pada permukaan lautan pasifik secara berkala ini mengakibatkan permukaan air laut menjadi tidak seimbang dan bergerak ke arah tekanan yang lebih rendah mengakibatkan banjir besar. Manakala tekanan atmosfera yang tinggi tertumpu di bahagian barat lautan Pasifik termasuk Malaysia lebih cenderung untuk berlakunya kemarau. Ketidakseimbangan suhu ini juga mengakibatkan perubahan yang tidak menentu pada pola hujan dan suhu di seluruh dunia.
Walaupun El-Nino telah wujud sejak dahulu lagi, tetapi El-Nino kini dilihat semakin kerap berlaku di Malaysia. Mengikut rekod, Malaysia telah berhadapan dengan fenomena ini sebanyak 12 kali bermula pada tahun 1951 hingga 1998. Tahun 1982, 1988 dan 1997 adalah rekod terburuk yang pernah dialami oleh Malaysia sehingga menyebabkan catuan air, jerebu, kemusnahan tanaman dan pencemaran. El-Nino dengan kesan sederhana direkodkan telah berlaku pada tahun 2002, 2007, 2010, 2014 dan kini 2016. Kala masa El-Nino dilihat makin kerap berlaku berbanding 20 tahun dahulu. Secara tidak langsung ianya menunjukkan bahawa pemanasan global yang meningkat secara drastik dan kejadian El-Nino saling berkait dan penyumbang dua arah dalam pembentukan fenomena tersebut.
Peningkatan suhu global secara berterusan menyebabkan ketidakstabilan iklim di serata dunia. Corak iklim menjadi semakin sukar diramal dan luar dari jangkaan berbanding corak iklim normal. Melalui pemerhatian pada akhir tahun 2015, corak iklim di Pantai Timur sangat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Kebanyakan kawasan di Pantai timur menerima kuantiti hujan dibawah paras purata normal dengan suhu yang lebih tinggi berbanding suhu normal. Kebiasaanya, kawasan-kawasan ini akan menerima kuantiti hujan yang tinggi disebabkan tiupan angin monsun yang kuat melebihi 20 knot dari arah timur Malaysia. Walaubagaimanapun, perubahan corak iklim ini berkemungkinan menjadi tanda awal pembentukan fenomena El-Nino.
Fenomena ini bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Namun ianya memerlukan perhatian dan tindakan yang drastik bagi mengurangkan kesan dan impak kepada manusia dan alam semester. Oleh itu, kajian dan pelan pengurusan sumber air jangka panjang perlu dirangka lebih teliti dengan mengambilkira faktor perubahan iklim jangka panjang dan kala masa ulangan bencana supaya lebih bersedia menghadapi keadaan cuaca di luar jangka pada masa akan datang.