PNC - Official Portal

VICE-CHANCELLOR OFFICE

Matlamat Hidup Sebagai Panduan

DrMansor1

Disediakan oleh :

Dr. Mansor Bin Sulaiman
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

Matlamat utama kejadian manusia di dunia ini adalah untuk menjadi makhluk yang mengabdikan diri kepada Allah dengan mentaati suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Perkara ini disebutkan al-Quran dalam Surah al-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku”. Penjelasan dan penentuan matlamat hidup yang diajar al-Quran ini bertujuan memandu manusia dalam menjalani kehidupan dunia yang penuh mencabar ini dan dalam masa yang sama membantu mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat. Tindakan menjauhkan diri daripada panduan ini akan menyebabkan manusia tersasar jauh daripada jalan kehidupan yang digariskan Allah yang secara tidak langsung menghakis daripada dalam diri manusia rasa keterikatan kepada Allah.

Keadaan ini mengundang unsur-unsur lain mengisi ruang kosong dalam diri manusia yang semakin terlerai daripada ikatan dengan tuhannya. Unsur-unsur ini seterusnya mengikat manusia kepada matlamat yang lain selari dengan sifat dan kecenderungan unsur-unsur tersebut. Antaranya ialah menjadikan makhluk dalam bentuk benda, objek, manusia dan seumpamanya sebagai matlamat utama hidup sehingga lupa kepada Tuhan yang sebenar.

Al-Quran mengajar manusia berkenaan kepentingan hidup dengan matlamat yang betul ini menerusi pelbagai pendekatan. Ia bertujuan memastikan manusia berpegang dengannya dan membawa mereka hidup di atas jalan kebenaran yang pengakhirannya adalah syurga. Antara pendekatan tersebut adalah menerusi penjelasan watak-watak manusia hebat dalam aspek berkaitan kehidupan dunia dan dalam dalam masa berpegang dengan matlamat hidup sepertimana digariskan Allah.

Salah satu watak tersebut ialah Nabi Nuh yang digambarkan sebagai rasul yang tidak jemu-jemu menyeru kaumnya untuk kembali kepada matlamat hidup yang sebenar. Dalam masa yang sama Allah menjelaskan bahawa baginda merupakan seorang yang hebat dalam aspek keduniaan pada zaman tersebut iaitu antaranya menerusi kepakaran dalam pembinaan kapal. Perkara ini dijelaskan secara tidak langsung menerusi nas-nas berkaitan kejayaan baginda membina kapal  yang ampuh menempuh banjir besar yang sangat luar biasa sepertimana disebutkan al-Quran dalam Surah Hud, ayat 42 yang bermaksud: “(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".

Walaupun menerusi cerita ini kita dapat bayangkan betapa hebatnya kepakaran Nabi Nuh menerusi kehebatan membangunkan kapal yang mampu menghadapi ombak setinggi gunung. Tetapi apa yang ditekankan Al-Quran berkenaan kisah ini adalah peranan baginda sebagai pemimpin ummah yang cuba membawa manusia kepada jalan Allah yang sepatutnya. Ia sebagai mesej kepada kita berkenaan perkara utama di dalam hidup ini iaitu memastikan kita tetap menjadi hamba Allah mengikut yang sepatutnya.

Ianya juga menunjukkan bahawa usaha merealisasikan matlamat untuk menjadi hamba Allah yang sebenar tidak sepatutnya menjadikan kita terpisah daripada dunia ini. Bahkan mereka yang memahami matlamat ini dan menghayatinya akan menjadi manusia yang dapat memenuhi ciri-ciri sebagai khalifah selayaknya untuk menjadi penghuni dunia ini seterusnya di akhirat pula mendapat syurga Allah. Tetapi sekiranya kita tersasar daripada matlamat ini, boleh jadi kita menjadi manusia yang hebat atau sebaliknya di dunia pada pandangan kasar mata manusia, tetapi di akhirat kita akan menjadi orang yang sangat rugi lantaran hilang kelayakan untuk mendapat tempat di syurga Allah.